Pencemaran bau gas ammonia, tiga sekolah ditutup di Johor

Jabatan Alam Sekitar berkata pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa bahan kimia ke dalam sungai melibatkan dua taman perindustrian.
Minderjeet Kaur dan Nisha David
2024.09.10
Kuala Lumpur
Pencemaran bau gas ammonia, tiga sekolah ditutup di Johor Pegawai Jabatan Alam Sekitar mengambil sampel bagi mengenal pasti punca pencemaran bau dari anak Sungai Pandan, berhampiran kawasan Taman Daya, Johor Bahru, 5 September 2024.
[Ihsan Ling Tian Soon melalui Facebook]

Negeri Johor di Malaysia terpaksa menutup tiga buah sekolah di daerah Kempas selepas hampir 140 penduduk dan pelajar dari dua kampung mengalami gejala loya dan pening akibat pencemaran bau disebabkan paras ammonia yang tinggi berpunca daripada sisa bahan kimia dibuang ke dalam sungai berhampiran.

Aznan Tamin, exco pendidikan negeri berkata keputusan menutup sekolah sehingga Rabu bertujuan bagi mengelak risiko kesihatan terhadap 3,000 murid dan guru di sekolah terbabit.

“Sekolah yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan Maju Jaya, Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah. Setakat ini ketiga-tiga sekolah itu ditutup, bergantung kepada laporan semasa keadaan pencemaran,” kata Aznan kepada media pada Selasa.

Kesemua 3,013 pelajar dan 231 orang guru sekolah tersebut akan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah, kata Aznan.

Kementerian Kesihatan pula pada hari yang sama memberitahu BenarNews bahawa seramai 139 orang termasuk pelajar telah dirawat kerana mengalami gejala loya dan pening.

Daripada jumlah itu, seramai tiga mangsa dimasukkan ke hospital termasuk seorang wanita hamil, kata kementerian itu.

Menurut Jabatan Alam Sekitar negeri, paras gas ammonia tinggi mula dikesan di udara sekitar Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan di daerah Tebrau melepasi "ambang normal" pada 3 September lalu sebelum ia merebak ke kawasan lain.

“Jabatan Alam Sekitar Johor mengesan kehadiran gas ammonia yang tinggi melebihi paras normal di sekitar Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan pada 3 September.

“Semalam (Isnin), pencemaran bau dikesan di sekitar Kampung Maju Jaya di Jalan Seelong-Senai, Taman Perling dan Bandar Baru Uda,” kata JAS Johor dalam satu kenyataan.

JAS berkata pencemaran itu berpunca daripada dua taman perindustrian di Ulu Tiram dan Tebrau.

Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dalam satu kenyataan pada Selasa pula berkata pihaknya menerima laporan pertama mengenai pembuangan sisa kimia sekitar tengah hari pada 5 September lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau Muhamad Syahhir Ikhwan Mohamad berkata, pasukan operasi mengesahkan kehadiran sisa kimia tidak dikenal pasti di sepanjang tebing sungai.

Tambah beliau kawasan yang terjejas akibat sisa kimia itu dianggarkan sekitar 15.2 meter persegi meliputi Sungai Tebrau dan Sungai Pandan di Tebrau.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 28 tahun telah ditahan pada pukul 11 malam Isnin di sebuah pangsapuri kerana disyaki mencemarkan Sungai Tebrau dan Sungai Pandan.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 16 September bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, kata Raub.

Usaha bersepadu

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (ECOMY), Andrew Sebastian berkata pihak berkuasa perlu menggalakkan pemberi maklumat menyalurkan maklum balas mengenai punca terjadinya pencemaran alam sekitar itu.

“Sebelum ia berlaku lagi, perlu ada sikap proaktif dalam melakukan tugas,” katanya kepada BenarNews.

Beliau juga menggesa kerajaan melantik sukarelawan dan kumpulan tempatan untuk membantu “menjadi mata dan telinga” pihak berkuasa dalam memantau kawasan kritikal terutama di kawasan perindustrian.

Universiti tempatan di Johor juga boleh bekerjasama menggabungkan sumber yang luas untuk membantu, tambah Sebastian.

"Akses kepada udara bersih adalah hak asasi semua orang termasuk hidupan liar dan sesiapa yang didapati melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab perlu dikenakan hukuman berat," katanya.

Pada Isnin, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi ketika turun membuat pemeriksaan ke lokasi pencemaran itu berkata bahan kimia yang ditemui di kawasan tersebut berpotensi membahayakan kesihatan awam dengan komponen toksik mencemarkan udara dan menghasilkan "bau yang sangat kuat dan tidak menyenangkan."

Sebagai tindak balas kepada insiden pencemaran itu, polis dan agensi berkaitan telah digesa membentuk pasukan petugas khas bagi menangani isu tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab, katanya.

"Saya amat berharap isu ini tidak akan berulang lagi. Saya menggesa pengusaha industri dan orang ramai dapat bersama-sama menjaga kebersihan dan kualiti persekitaran.

"Semua ini penting bagi memastikan kesejahteraan bersama, melindungi kesihatan awam dan memelihara alam sekitar kita untuk generasi akan datang," kata Onn Hafiz.

Pada 2019, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, bencana alam sekitar utama di Pasir Gudang, Johor menjejaskan lebih 6,000 orang dan seramai 2,775 mangsa dimasukkan ke hospital.

Insiden itu mencetuskan ketakutan yang meluas dan menimbulkan kebimbangan serius tentang keselamatan persekitaran tempatan.

Siasatan mendapati pencemaran gas beracun itu berasal daripada bahan kimia berbahaya yang dibuang secara haram ke dalam sungai sehingga menyebabkan masalah pernafasan dan loya dalam kalangan penduduk terutama murid sekolah.

Pihak berkuasa kemudiannya telah melancarkan usaha pembersihan besar-besaran, manakala beberapa individu telah ditangkap berkaitan dengan pembuangan sisa kimia itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.