Dua Rakyat Malaysia Cedera Dalam Serangan Di Jordan
2016.12.19
Kuala Lumpur
Dua rakyat Malaysia cedera manakala 18 yang lain berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan Jordan dalam satu serangan disyaki berkaitan dengan pengganas keatas sebuah pusat pelancongan terkenal di negara itu, di Istana Karak, Bandar Karak kira-kira 132 kilometer daripada ibu kota Amman.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negara Malaysia pada Isnin, serangan pada petang Ahad itu telah mengakibatkan beberapa kecederaan termasuk kematian seorang pelancong dari Kanada dan beberapa orang anggota polis Jordan.
Menurut kenyataan itu, sekumpulan 20 pelancong dari Malaysia turut berada di tempat kejadian di Karak Castle, dan mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan negara berkenaan dan kini sedang diberi perlindungan dan bantuan.
“Kira-kira 20 pelancong warganegara Malaysia yang berada di Karak Castle apabila kejadian tembak menembak itu berlaku dan dua daripada mereka dilaporkan cedera, dan telahpun menerima rawatan di hospital berdekatan. Kesemua mereka dilaporkan selamat,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra itu.
Namun, kenyataan tersebut tidak memberikan sebarang butir lanjut mengenai dua rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Kenyataan itu turut menyebut yang Kedutaan Malaysia di Amman telah mengeluarkan peringatan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya pelajar di Universiti Mu’tah berhampiran Bandar Karak untuk mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan kedutaan.
“Sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut,” menurut kenyataan tersebut.
The New York Times melaporkan pelancong dari Kanada, Britain dan Malaysia telah bersembunyi di dalam Istana Crusader semasa pertempuran bersenjata antara pihak tentera Jordan dan lelaki bersenjata di tempat kejadian, Menteri Dalam Negeri Jordan pada Isnin turut menafikan bahawa warga asing telah dijadikan tebusan.
Menteri Dalam Negeri Salameh Hammad semasa bercakap kepada pemberita pada Isnin memaklumkan bahawa empat lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah polis dan pelancong dari bumbung Karak Castle.
14 terbunuh termasuk pengganas
Menurut laporan Jordan Times, seramai 14 orang terbunuh termasuk seorang pelancong dari Kanada dan empat pengganas dalam satu serangan di mana empat pengganas itu dipercayai menyerbu bandar pelancongan Karak dan melepaskan tembakan terhadap pihak berkuasa dan orang awam sebelum menuju ke Istana Karak.
Laporan itu menyebut, tujuh anggota keselamatan dan dua penduduk tempatan terbunuh sementara 27 orang lain cedera.
Serangan pertama dipercayai berlaku apabila pasukan keselamatan Jordan yang sedang menyiasat kejadian kebakaran di sebuah rumah di Karak, tetapi telah diserang lelaki bersenjata di dalam rumah terbabit pada petang Ahad dan turut mencederakan dua anggota polis.
Pada masa yang sama sekumpulan penyerang melakukan serangan keatas balai polis Karak dan telah mencederakan beberapa anggota polis dan orang awam yang melalui kawasan itu, menurut Jordan Times.
Pasukan keselamatan Jordan kemudian mengepong Istana Karak dan kawasan sekitarnya untuk menangkap penyerang dan menyelamatkan pelancong-pelancong yang berada di kawasan tersebut.
Sehingga kini tiada kumpulan pengganas yang bertanggungjawab dengan serangan itu tetapi Jordan telah digegarkan dengan beberapa siri serangan yang melibatkan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Laporan The New York Times juga menyebut Hammad tidak mengeluarkan sebarang identiti penyerang atau bangsa mereka, tetapi berkata sebahagian daripada mereka kelihatan seperti sudah biasa dengan keadaan di istana.
Hammad berkata, beberapa pucuk senjata dan lima atau enam bahan letupan tali pinggang ditemui bersama lelaki bersenjata, yang sekaligus menunjukkan mereka telah merancang serangan lain.
"Saya tidak fikir sasaran itu hanya Karak Castle," katanya. "Mungkin terdapat lebih banyak sasaran, tetapi Allah membantu kita menemui sel ini sebelum lebih banyak serangan berlaku."