Jurutera Malaysia Ceritakan Situasi Pencerobohan Rusia di Ukraine
2022.03.02
Kuala Lumpur
Peperangan hanyalah sesuatu yang dibaca dalam buku sejarah atau melihat terjadi di negara lain melalui kaca televisyen kata seorang rakyat Malaysia yang kini berdepan dengan suasana perang yang menakutkan apabila Rusia menceroboh Ukraine minggu lepas.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai KK Samy dalam siri temubual secara online di laman media sosial memberitahu BenarNews bahawa beliau terjaga dari tidur selepas tersentak dengan satu letupan kuat yang menggegarkan kawasan perumahannya yang terletak di sebuah bandar pesisir pantai yang dikenali sebagai Odessa, di Ukraine antara jam 4.30 pagi dan 5 pagi pada 24 Februari lepas.
Akibat daripada letupan kuat yang menggegarkan itu, jurutera perisian komputer rakyat Malaysia tersebut bingkas bangun dan memeriksa saluran Telegram tempatan untuk mencari kepastian apa yang sedang berlaku di negara berkenaan kerana umum mengetahui terdapatnya ketegangan antara Rusia dan Ukraine berminggu-minggu sebelum itu.
“Bagi seorang rakyat Malaysia, peperangan hanyalah sesuatu yang dibaca dalam buku sejarah atau melihat berlaku di negara lain melalui kaca televisyen, tetapi gegaran yang mengejutkan saya dari tidur itu adalah satu realiti buruk, dengan kami kini telah menjadi sasaran serangan Rusia," katanya merujuk kepada tindakan ketenteraan yang dibuat Moscow terhadap Ukraine.
"Rakyat Malaysia dari generasi saya tidak faham mengenai perang, tidak langsung boleh membayangkan bagaimana takutnya perasaan duduk di rumah ketika kawasan-kawasan lain di seluruh negara hancur diserang, dan sentiasa memikirkan bila masanya tiba untuk kami pula. Saya mendoakan supaya Malaysia tidak akan pernah merasai perang sebegini," kata Samy dalam siri temubualnya bersama BenarNews.
Beliau yang berusia lingkungan 30-an dan sudah lima tahun menetap di negara tersebut telah memilih untuk kekal di Odessa, yang terletak kira-kira 298 batu daripada Kyiv bersama teman wanita warga Ukraine dan keluarga wanita itu walaupun mengetahui apa yang sedang berlaku di negara berkenaan.
Samy tidak berkongsi banyak mengenai butiran peribadi atau latar belakangnya dengan BenarNews kerana khuatir mengenai keselamatan dirinya dan orang lain yang berada bersama sekiranya negara itu jatuh ke tangan musuh.
Menceritakan mengenai detik-detik awal ketika serangan bermula minggu lalu, Samy memberitahu yang situasi pada waktu itu sangatlah huru-hara dan tidak menentu.
"Terhadap laporan berita mengenai banyak tempat di seluruh Ukraine telah menjadi sasaran, anggota tentera telah dihantar menggunakan payung terjun ke bandar-bandar besar, serta bot penyerang mendarat di Odessa.
"Saya bersama teman wanita terus mencapai semua dokumen kami, memakai kot masing-masing dan terus bergerak ke tingkat satu apartmen, kerana takut jika kami dibom. Kekeliruan semasa perang adalah sangat luar biasa dan dasyat, dengan maklumat tidak sahih tersebar luas dengan cepat sekali," kata beliau yang tinggal di tingkat enam sebuah apartment tinggi di bandar tersebut.
Tambahnya lagi, beliau bersama teman wanitanya berteduh sementara di tingkat satu bangunan berkenaan sehingga terbit matahari kerana berasa amat takut apartment mereka dibom pada bila-bila masa, dan dalam masa yang sama mereka tidak berani untuk meninggalkan bangunan itu dalam kegelapan malam.
Mereka bagaimanapun mengambil keputusan untuk meninggalkan bangunan apartmen mereka dan berpindah ke rumah ibu bapa teman wanita Samy, yang terletak di tingkat satu di sebuah bangunan lain, di mana kata Samy mempunyai peluang yang tinggi dan mudah untuk melarikan diri berbanding apartmen mereka di tingkat enam itu. Rumah ibu bapa teman wanitanya itu juga terletak berhampiran dengan sebuah balai polis.
Selepas kejadian serangan pada malam tersebut, Odessa menjadi sepi dan penduduk yang ketakutan telah membuat pengeluaran wang dari bank dan menambah stok simpanan barangan keperluan mereka.
Hidup dalam ketakutan
"Saya hanya keluar dari apartmen beberapa kali sahaja sejak serangan awal berlaku. Walaupun persekitaran di jalan nampak aman, dan ramai orang mulai keluar untuk melakukan aktiviti harian termasuk haiwan peliharaan keluar, tetapi masih terdapat perasaan tidak tenang dengan keadaan terkini yang terjadi di sini.
"Senjata anti kapal terbang ditembak setiap malam sejak pencerobohan berlaku, dron peninjau yang dihantar pihak penceroboh dan pesawat pejuang telah ditembak jatuh .
“Tembakan ke atas pesawat pejuang penceroboh itu amat kuat bunyinya, dan menyebabkan kami semua bergerak ke bahagian tengah apartmen dengan menutup semua pintu rumah. Dua hari yang lalu penggera serangan udara di kawasan kami telah dibunyikan, akan tetapi kami bernasib baik tidak berlaku serangan dari udara sejak kejadian hari pertama," kata Samy lagi.
Beliau menambah, walaupun Odessa dikira sebagai lokasi yang agak selamat berbanding kawasan-kawasan lain di Ukraine, perintah berkurung masih berkuatkuasa dan sesiapa yang dilihat berada di luar rumah selepas jam 7 malam akan dianggap sebagai pengkhainat yang dihantar pihak penceroboh, dan akan dikenakan tindakan.
"Kumpulan-kumpulan yang menjadi tali barut Rusia meletakkan 'beacons' (lampu isyarat) dan tanda cat menggunakan cat jenis ultra violet untuk memberi pandu arah kepada pesawat penyerang. Sebuah kumpulan telah dihapuskan di kawasan utara kami, mereka mempunyai senjata dan periuk api dalam kenderaan mereka.
"Kawasan tengah Odessa telah diletakkan dengan perangkap kereta kebal, termasuk periuk api yang ditanam di kawasan-kawasan pantai. Kereta perisai juga telah mengambil posisi masing-masing. Kami sedar bahawa kini hanya menunggu masa sebelum penceroboh sampai ke tempat kami," beliau menceritakan mengenai apa yang sedang berlaku di negara tersebut berdasarkan pengalaman dan maklumat sahih yang terkini diterima.
Samy turut berkongsi cerita mengenai beberapa rakannya di Kyiv yang telah dipaksa meninggalkan rumah dan tinggal di stesen-stesen metro, tetapi tidak semua yang bernasib baik dapat meninggalkan bandar berkenaan.
Keluarga risau keselamatan
Sementara itu, keluarga Samy di Malaysia amat risaukan keselamatannya dan mereka sentiasa berhubung dengan jurutera itu ditalian bertanyakan khabar sekerap yang mungkin.
“Keluarga saya memahami keputusan saya untuk kekal di Ukraine bersama teman wanita dan keluarganya, yang enggan meninggalkan rumah mereka. Saya rasa sangat bersyukur dengan sokongan keluarga di Tanahair dan juga dari rakan-rakan di seluruh dunia," katanya.
Malaysia pada Selasa menyatakan bahawa Putrajaya telah berjaya mengeluarkan sembilan rakyat Malaysia dan dua waris mereka dari Kyiv, dengan ke Tanahair, manakala dua lagi memilih untuk tinggal di Poland, dan dua lagi ke Jerman.
Putrajaya berkata terdapat 23 rakyatnya berdaftar dengan Pejabat Kedutaan di Ukraine, dan 12 daripada mereka telah kembali ke tanah air sebelum serangan berlaku.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Pejabat Kedutaan Malaysia di Warsaw akan memantau situasi di Ukraine dan memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia sekiranya diperlukan.
Pada Rabu, Malaysia adalah antara 141 negara yang menyokong draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membantah keras pencerobohan oleh Rusia ke atas Ukraine dengan menuntut supaya Moscow segera memanggil pulang pasukan tenteranya semasa undian dibuat di badan dunia itu.
Lima negara yang mengundi menentang draf resolusi itu ialah Rusia, Belarus, Syria, Korea Utara dan Eritrea, manakala 35 lagi negara mengambil pendekatan berkecuali.
Sehari sebelum itu, Malaysia semasa menghadiri sesi persidangan tergempar Perhimpunan Agung PBB di New York itu telah menyatakan persetujuan negara berkenaan untuk menyokong draf tersebut dan membantah keras pencerobohan oleh Rusia.
"Malaysia mengulangi komitmen kami kepada penyelesaian secara aman semua pertikaian, dipandu oleh prinsip-prinsip dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa untuk menjaga keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta meganjurkan kemakmuran yang meluas. Dalam hal ini, Malaysia akan mengundi menyokong draf resolusi itu yang dibawa ke hadapan perhimpunan ini," kata Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York, Syed Mohamad Hasrin Aidid pada Selasa.
Pada 24 Februari lepas, Presiden Rusia Vladimir Putin telah melancarkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine dan susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara termasuk penutupan ruang udaranya bagi kegunaan awam kerana “berisiko tinggi” kepada penerbangan awam.
Pencerobohan itu berlaku semasa 15 negara anggota Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat di New York lewat Rabu untuk mencuba meredakan ketegangan yang semakin memuncak selama berminggu-minggu itu.
Malaysia turut sama terkena tempias konflik antara Rusia dan Ukraine itu, apabila pesawat MH17 milik Malaysia Airlines ditembak jatuh lapan tahun lalu yang meragut 298 nyawa mereka yang tidak bersalah.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.