Rombakan Kabinet: Perdana Menteri kongsi portfolio kewangan dengan menteri kedua

Anwar Ibrahim berusaha untuk meningkatkan ekonomi di tengah-tengah pertumbuhan perlahan dan kenaikan harga barang.
Minderjeet Kaur, Ili Shazwani Ihsan dan Iman Muttaqin Yusof
2023.12.12
Kuala Lumpur
Rombakan Kabinet: Perdana Menteri kongsi portfolio kewangan dengan menteri kedua Menteri Sumber Manusia Steven Sim (kiri), Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Digital Gobind Singh Deo yang dilantik menyertai Kabinet baharu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, 12 Dis 2023.
[Ihsan Parlimen Malaysia melalui Facebook]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Selasa melakukan rombakan Kabinet buat pertama kali, termasuk melantik seorang CEO terkenal sebagai menteri kewangan kedua untuk berkongsi tugasannya memulihkan ekonomi negara yang sedang bergerak perlahan serta berdepan isu kenaikan harga barang.

Dalam rombakan itu, Anwar dilihat melantik individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam Kabinetnya dengan beberapa lagi menteri baharu termasuk menukar portfolio sesetengah menteri sedia ada, dengan turut mengumumkan yang Kerajaan memberi keutamaan kepada sektor ekonomi, kesihatan dan pendidikan.

"Keadaan telah berubah, bukan sahaja dari segi pencapaian yang lepas, tetapi juga disebabkan kemajuan ekonomi, kos sara hidup yang harus ditangani dengan baik, serta penerimaan peringkat antarabangsa telah menyebabkan tanggungjawab Kementerian Luar berubah," kata Anwar dalam satu sidang media khas.

Senarai ahli kabinet yang baharu itu menyaksikan pertambahan bilangan menteri daripada 28 orang kepada 31, manakala timbalan menteri turut meningkat daripada 27 kepada 29 orang, dengan keseluruhan bilangan anggota pentadbiran Anwar kepada 60.

Seorang menteri, V. Sivakumar, yang sebelum ini menerajui portfolio Kementerian Sumber Manusia, telah digugurkan daripada kabinet.

Menurut laporan media tempatan, beliau sebelum ini berdepan gesaan supaya meletak jawatan selepas beberapa orang pegawainya didakwa atas kesalahan rasuah.

Beberapa menteri lain pula kekal di dalam Kabinet tetapi ditukar portfolio mereka.

Anwar kekal menerajui Kementerian Kewangan dan melantik ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan kedua.

Amir merupakan muka baru dalam politik tetapi mempunyai pengalaman lebih 25 tahun termasuk di syarikat elektrik Tenaga Nasional Berhad dan syarikat carigali petroleum negara Petronas.

"Pandangan peribadi saya, bagi Kementerian Kewangan selain diketuai oleh saya, kita mesti mempunyai pasukan profesional yang kuat untuk memastikan kita berada di landasan yang betul dan tidak dipesongkan oleh tekanan politik," kata Anwar.

Pelantikan Menteri Kewangan daripada kalangan ahli korporat itu dibuat selepas Anwar menerima kecaman kerana turut memegang portfolio kewangan ketika menjadi perdana menteri.

Beberapa lagi perdana menteri sebelum ini, antaranya Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawai dan Najib Razak, juga pernah membuat perkara yang sama dengan turut menggalas jawatan menteri kewangan ketika memerintah negara.

Sementara itu, beberapa menteri yang ditukarkan portfolio mereka adalah Zambry Abdul Kadir, seorang veteran parti UMNO, yang bertukar ke Kementerian Pendidikan Tinggi daripada Kementerian Luar Negeri.

Timbalan presiden UMNO Mohamad Hasan, yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan, kini diletakkan menerajui Kementerian Luar Negeri.

"Insya-Allah, komitmen saya ialah untuk meneruskan dasar luar yang progresif, bebas dan berkecuali, selari dengan kepentingan nasional dan peranan antarabangsa Malaysia," kata Mohamad selepas pelantikannya itu.

Anwar juga telah menukarkan Naib Presiden UMNO Khaled Nordin daripada Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil alih tugas Mohamad di Kementerian Pertahanan.

Seorang lagi menteri Kabinet yang baru dilantik Anwar adalah Johari Ghani, yang juga merupakan seorang Naib Presiden UMNO.

Beliau dilantik untuk menerajui kementerian komoditi di mana Johari sebelum ini telah banyak kali menyuarakan kebimbangan terhadap isu keselamatan makanan di Parlimen selepas golongan peniaga melaporkan kekurangan produk makanan seperti ayam, telur dan gula.

Beliau memberitahu pemberita bahawa beliau perlu menangani beberapa cabaran dalam memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

Fadillah Yusof, salah seorang Timbalan Perdana Menteri dalam pentadbiran Anwar, juga turut memegang portfolio baharu iaitu sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

Seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan Presiden UMNO, kekal menerajui Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah.

Beberapa bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepaskan beliau daripada 47 pertuduhan rasuah berkait dengan penyalahgunaan jutaan dolar milik sebuah yayasan yang ditubuhkan Zahid bagi melawan kemiskinan.

231212-MY-Anwar-Kabinet.jpeg

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri), disertai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan rombakan Kabinet semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur, 12 Dis 2023. [Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Rombakan pada Selasa turut menyaksikan Anwar menukarkan Menteri Kesihatan, Zaliha Mustafa ke Kementerian Wilayah, dengan Perdana Menteri itu melantik pakar toksikologi Dzulkefly Ahmad, yang pernah memegang jawatan tersebut antara 2018 hingga 2020, untuk menerajui hal ehwal kesihatan negara itu.

Anwar berkata, beliau memberikan Dzulkefly portfolio kesihatan kerana Kerajaan memerlukan pengalaman dan fokus yang lebih kuat.

Selain itu, Perdana Menteri juga memisahkan portfolio komunikasi dengan digital, dengan menyaksikan Gobind Singh Deo kembali ke Kabinet sebagai menteri digital manakala Fahmi Fadzil kekal sebagai Menteri Komunikasi.

Menurut Anwar, Kementerian Digital akan mempertingkatkan usaha dalam bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan transformasi digital, manakala Fahmi pula bertanggungjawab menyebarluaskan polisi dan maklumat kerajaan.

Kesemua menteri baharu yang dilantik Anwar mengangkat sumpah jawatan mereka di Istana Negara pada tengahari Selasa. Anwar memberitahu wartawan bahawa beliau berharap bahawa senarai menteri baharu itu tidak akan berubah sehingga pilihan raya umum yang akan datang, yang dijangkakan berlaku pada 2027.

Reaksi pelbagai

Tunku Mohar Mokhtar, seorang penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata rombakan Kabinet itu merupakan sesuatu yang sudah dijangka disebabkan oleh keperluan untuk mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas kematian penyandangnya Salahuddin Ayub.

Menurut Tunku Mohar, Anwar telah mengambil kira dua faktor signifikan dalam mengisi Kabinetnya - komposisi ahli parti gabungan kerajaan serta pelantikan individu yang berpengalaman.

Sebagai contoh, penganalisis itu berkata pelantikan Johari Ghani, Dzulkefly dan Gobind Singh adalah merupakan beberapa menteri yang mempunyai pengalaman.

"Pengalaman mereka akan memberikan kestabilan kepada Kabinet. Mempunyai Menteri Kewangan kedua juga akan mengangkat sedikit beban daripada Perdana Menteri," kata beliau kepada BenarNews.

James Chin, profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania pula berkata, dua sebab utama rombakan Kabinet adalah bagi memulihkan persepsi rakyat kepada kerajaan, iaitu dengan melantik Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan, serta menunjukkan bahawa kerajaan bersedia meneroka strategi baharu.

Bagaimanapun, merujuk kepada Fadhlina Sidek yang dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan, Chin berkata rombakan itu mungkin tidak akan mencapai tahap keyakinan yang diinginkan.

Fadhlina sebelum ini menerima kritikan kerana penganjuran Minggu Solidariti Palestin, yang menyaksikan banyak gambar dan video pelajar serta guru memegang senjata api sambil mengibarkan bendera Palestin di beberapa sekolah awam.

Chin menyokong tindakan Anwar melantik Steven Sim, bekas Timbalan Menteri Kewangan, bagi menggantikan Sivakumar sebagai Menteri Sumber Manusia.

Sementara itu, Syaza Shukri, Profesor Madya Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, pelantikan semula beberapa menteri lama ke dalam kabinet merupakan langkah positif.

"Perubahan ini mungkin disebabkan tekanan yang memuncak," kata beliau kepada BenarNews.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.