Mahathir Umum Potongan Gaji Menteri, Kecilkan Sektor Awam

Hareez Lee & Lex Radz
2018.05.23
Putrajaya, Malaysia
kabinet620.jpeg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bergambar bersama anggota Kabinetnya sebelum bermesyuarat di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Malaysia, 23 Mei 2018
[BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia pada Rabu mengumumkan beberapa langkah untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dengan mengecilkan saiz sektor awam dan mengurangkan gaji barisan menteri termasuk perdana menteri sebanyak 10 peratus.

Tindakan kerajaan itu dibuat berikutan kebimbangan mengenai jumlah hutang negara yang telah mencecah  RM1 trilion.

Mahathir Mohamad membuat pengumuman itu di pusat pentadbiran negara, Putrajaya, selepas mengadakan mesyuarat pertama kabinet kerajaan Pakatan Harapan di Pejabat Perdana Menteri, dua minggu selepas ia memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

Mahathir mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang turut dihadiri 13 menteri kabinet pentadbirannya.

Mahathir, 92, yang kembali daripada persaraannya untuk menjadi perdana menteri ketujuh Malaysia selepas memimpin  Pakatan Harapan dan mencipta kemenangan besar dalam pilihan raya umum itu berkata, menteri-menteri Kabinet yang mengangkat sumpah pada Isnin telah bersetuju supaya gaji mereka dipotong sebanyak 10 peratus.

"Ini menunjukkan bahawa kami bimbang dengan masalah kewangan yang dihadapi negara tetapi (potongan) ini adalah bagi gaji pokok. Kami mendapati gaji menteri adalah lebih rendah daripada gaji beberapa pegawai kanan kerajaan. Kami tidak bercadang untuk menaikkan gaji menteri. Kami akan mengurangkannya sebanyak 10 peratus."

Selain itu, Perdana Menteri berkenaan turut mengumumkan bahawa lima badan berkaitan kerajaan, yang ditubuhkan oleh kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak, akan dibubarkan kerana tidak lagi diperlukan.

Badan kerajaan itu ialah Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Hal Ehwal Khas.

Menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, Perdana Menteri Malaysia layak menerima gaji bulanan sebanyak RM22,800 (AS$5,747) manakala Timbalan Perdana Menteri menerima RM18,100 (AS$4,562).

Seorang menteri kabinet Malaysia pula layak menerima gaji bulanan sebanyak RM19,400 (AS$4,890) selain daripada elaun yang mereka perolehi sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara.

Sebagai perbandingan dengan negara jirannya, Singapura, gaji asas Perdana Menteri adalah kira-kira SGD$147,000 (AS$109,000) sebulan, menurut maklumat yang diperolehi daripada portal rasmi Kerajaan Singapura. Ia merupakan gaji paling tinggi yang dibayar kepada seorang perdana menteri di seluruh dunia. Di Indonesia pula, gaji bulanan Presiden boleh mencapai sebanyak RP$30.2 juta (AS $2,130).

Kerajaan baru Malaysia juga mengumumkan minggu lalu bahawa ia akan memastikan Kabinetnya mempunyai 25 menteri atau kurang daripada itu. Pada masa ini, kerajaan baru belum melantik beberapa menteri berpotfolio penting seperti kementerian luar negara, belia dan sukan serta timbalan menteri.
Pentadbiran di bawah Mahathir juga dijangka mengumumkan beberapa jawatan menteri dalam masa terdekat.

Selain potongan gaji itu, Mahathir berkata, pentadbirannya juga memberi perhatian kepada pegawai lantikan politik yang bekerja secara kontrak dengan kerajaan dahulu.

Dengan menyatakan bahawa kebanyakan daripada mereka akan diberhentikan, Mahathir berkata, mereka adalah orang yang memainkan "peranan yang diwujudkan tanpa sebab."

"Ini termasuk badan-badan tertentu yang ditubuhkan dengan tujuan kononnya untuk menjalankan tugas-tugas tertentu," katanya kepada media.

Jabatan Penyelidikan, agensi perisikan Malaysia yang memberi laporan terus ke Pejabat Perdana Menteri, juga akan dikaji semula dan berdepan dengan kemungkinan akan dibubarkan.

Agensi tersebut menjadi perhatian baru-baru ini susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) selepas didakwa disalahgunakan untuk melakukan kerja-kerja bagi memastikan BN, yang diterajui Najib, terus memegang kuasa pemerintahan negara.

Satu lagi badan yang dibubarkan dengan serta-merta ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang peranan utamanya mengawal selia perkhidmatan teksi. Peranan suruhanjaya itu akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.

Mahathir berkata, kerajaan mendapati gaji yang dibayar kepada Majlis Pembangunan Luar Bandar Persekutuan adalah hampir sama seperti kerajaan di negeri-negeri dan ia akan dimansuhkan kerana berunsurkan politik dan bukannya pentadbiran.

"Kita sudah pun mempunyai pegawai kerajaan yang boleh melaksanakan peranan tersebut, kami tidak mahu mengamalkan politik seperti kerajaan terdahulu," tegasnya.

Beliau bagaimanapun mengulangi  janji pentadbiran baru itu untuk "mengambil semula" pekerja yang penting serta yang bergaji rendah tanpa berunsurkan politik, seperti pemandu. Tetapi, perkhidmatan mereka perlu ditamatkan dahulu sebelum diambil bekerja semula.

Pada Selasa, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan bahawa hutang Malaysia telah melebihi RM1 trilion berikutan skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd dan projek mega yang dijalankan kerajaan BN.

"Berdasarkan maklumat yang disatukan daripada pelbagai kementerian, setakat ini, saya dapat mengesahkan bahawa hutang negara melebihi RM1 trilion," kata Lim dalam sidang berita di Putrajaya.

Dr Mahathir, dalam pengumumannya mengenai jumlah hutang sehari sebelum itu, memberi jaminan bahawa langkah-langkah penting akan diambil agar negara dapat pulih segera daripada keadaan perit itu. Beliau juga menegaskan bahawa sebelum ini, Malaysia hanya mempunyai hutang kira-kira RM300 bilion ketika beliau menjadi perdana menteri antara 1981 dan 2003.

Sehingga Jun 2017, data daripada Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa hutang Persekutuan kini berjumlah RM685.1 bilion.

Potongan gaji langkah baik dapat kepercayaan

Keputusan untuk memotong gaji menteri sebanyak 10 peratus adalah langkah yang baik bagi mendapatkan kepercayaan awam, demikian menurut pandangan orang ramai mengenai pengumuman itu kerana sesetengah daripada mereka berpendapat gaji semasa 'tidak masuk akal'.

"Gaji menteri terlalu tinggi. Itu tidak termasuk semua tuntutan yang boleh diperolehi daripada agensi kerajaan. Ini penyebab inflasi. Mana-mana badan berkaitan kerajaan yang menjadi liabiliti kepada negara juga perlu dibubarkan, "kata Baira Imran, 26.

Baira yang bekerja sebagai setiausaha di Kuala Lumpur berkata,  kerajaan baru memerlukan masa untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai memandangkan rakyat Malaysia sedang memerhati bagaimana mereka akan mentadbir negara.

"Pada masa ini, mereka telah memenuhi beberapa janji yang dibuat pada pilihan raya. Ini langkah yang baik untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai dan kami berharap kerajaan baru ini tidak akan melakukan perkara ini separuh jalan.

Johan Ariff Salim, 33, pula berkata, kerajaan sedang melakukan apa yang ia perlu dibuat bagi mengurangkan semua perbelanjaan yang tidak perlu demi membayar hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu, selain membina semula negara.

"Buat masa ini, langkah-langkah ini sudah cukup baik untuk mengembalikan keyakinan orang ramai," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.