Ismail Sabri Umum Kabinet Baharu, Hampir Semua Muka Lama

Ismail Sabri tidak punyai pilihan untuk membuat perubahan drastik dalam Kabinetnya disebabkan majoriti tipis, kata penganalisis.
Hadi Azmi
2021.08.27
Kuala Lumpur
Ismail Sabri Umum Kabinet Baharu, Hampir Semua Muka Lama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (kanan) mengumumkan barisan Ahli Kabinet barunya dalam siaran langsung dari Putrajaya, 27 Ogos 2021.
[Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri Malaysia pada Jumaat mengumumkan barisan ahli Kabinet baharunya, dengan hampir kesemua Menteri yang dilantik terdiri daripada muka-muka lama kerajaan sebelum ini, satu langkah yang disifatkan penganalisa politik serta pembangkang sebagai mengecewakan ramai rakyat.

Dari perspektif Perdana Menteri pula, Ismail Sabri Yaakob berkata susunan ahli Kabinet baharu beliau itu adalah satu "formulasi semula" yang bertujuan untuk mengekalkan kestabilan politik, dengan menteri yang dilantik perlu membuktikan keupayaan masing-masing dalam tempoh 100 hari.

Dengan struktur pentadbiran yang identikal dengan apa diperkenalkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini, Ismail Sabri mengekalkan empat jawatan Menteri Kanan yang disandang orang yang sama tanpa melantik Timbalan Perdana Menteri.

Daripada keseluruhan 31 kementerian, hanya lima muka baharu dilantik sebagai menteri penuh manakala bagi selebihnya, seramai 16 orang kekal dengan portfolio lama sementara 10 menteri lagi bertukar tempat.

"Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan ‘Keluarga Malaysia’ lebih daripada segala-galanya," kata Ismail Sabri semasa mengumumkan barisan Kabinet baharunya pada pagi Jumaat.

'Keluarga Malaysia' adalah visi baru yang diperkenalkan Perdana Menteri baharu itu sebaik sahaja dilantik seminggu ke jawatan itu pada minggu lalu, susulan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, di mana Ismail sendiri menggalas tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam tempoh yang sangat singgat, iaitu selama 40 hari.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri itu berjanji kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan pimpinannya akan menjalankan tanggungjawab dengan baik, dan memberikan semua menteri Kabinet tempoh 100 hari untuk membawa Malaysia keluar dari krisis pandemik COVID-19 serta kegawatan yang disebabkan pandemik berkenaan.

Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) juga berkata bahawa barisan Kabinetnya dipilih daripada kombinasi pemimpin yang berpengalaman dan diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi.

Katanya lagi, Kabinet perlu berorientasikan hasil dengan berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah, serta mengembalikan keyakinan rakyat.

"Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan… dengan setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama," tambah Perdana Menteri itu.

Ismail Sabri dan juga Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun tidak memperincikan dengan lebih lanjut mengenai butiran pencapaian yang perlu dibuktikan dalam tempoh 100 hari itu.

Kesemua 31 Menteri Kanan dan Menteri kabinet serta 38 orang timbalan telah dijadualkan untuk mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada jam 2.30 petang Isnin hadapan.

Antara jawatan penting yang melihat pertukaran menteri adalah Menteri Luar Negeri yang diisi bekas Menteri Komunikasi Saifuddin Abdullah, jawatan yang pernah disandangnya pada 2018 di bawah kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir Mohamad sebelum ditumbangkan pada Februari tahun lepas.

Bekas Menteri Luar Negeri Hishamuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan, yang turut pernah disandangnya semasa pentadbiran Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang sebelum ini dipertanggungjawabkan mengurus program vaksinasi COVID-19 negara bertukar tempat dengan bekas Menteri Kesihatan Adham Baba.

Bagaimanapun, masih kurang jelas sama ada Khairy akan kembali mengurus program vaksinasi atau posisi itu akan digalas oleh Adham selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang baharu.

Walaupun UMNO dilihat sebagai parti dominan, presidennya Ahmad Zahid Hamidi tidak memegang sebarang jawatan di dalam kabinet.

Ahmad Zahid adalah pemimpin parti itu yang memainkan peranan besar dalam memaksa kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional selepas beliau serta 14 lagi Anggota Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga membawa kepada perletakan jawatan Presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia itu.

Turut tiada dalam barisan Kabinet baharu itu ialah Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang yang sebelum ini memegang jawatan bertaraf Menteri, iaitu sebagai Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah.

Kabinet kitar semula

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan barisan Kabinet yang diumumkan sebagai kabinet kitar-semula, dan ia adalah sesuatu yang kurang memuaskan serta berkemungkinan tidak akan membawa sebarang perubahan kepada negara.

“Apa kita harapkan ialah satu perubahan, tapi ini tidak berlaku. Perdana Menteri memberikan tempoh 100 hari bagi menteri menunjukkan prestasi, [akan tetapi sejak] satu setengah tahun yang lalu tidak ada kemajuan yang membanggakan," kata Anwar, merujuk kepada prestasi Kabinet semasa di bawah pimpinan Muhyiddin sejak Mac tahun lalu.

Tambah Anwar, pembangkang akan terus memerhatikan kerajaan dan akan membuat bantahan sekiranya tiada program yang berkesan dilaksanakan mereka bagi menghadapi pandemik COVID-19 serta membawa perubahan kepada kehidupan rakyat.

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng pula menyatakan bahawa "Kabinet yang dikitar semula" itu menimbulkan keraguan terhadap komitmen Perdana Menteri untuk membawa perubahan yang bermakna kepada negara.

"Pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri yang baharu, Ismail Sabri Yaakob dengan barisan yang hampir sama seperti kerajaan gagal sebelum ini telah mengecewakan banyak pihak yang mengharapkan beberapa muka baharu untuk mencari jalan penyelesaian baharu terhadap pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi sekarang,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan Ismail Sabri untuk melaksanakan reformasi institusi seperti yang dinyatakan ketika pertemuan dengan Anwar, Lim serta presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu pada Rabu lepas.

“Ini juga akan meningkatkan penelitian terhadap adakah Ismail benar-benar ikhlas mahu melakukan reformasi institusi yang nyata untuk melindungi hak demokratik dan perlembagaan kita seperti yang dinyatakan semasa pertemuan bersama tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan dua hari lalu?”

Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani empat pemimpin politik itu, kesemua parti terbabit bersetuju untuk memperkukuhkan fungsi Parlimen sebagai sebuah institusi semak dan imbang kepada eksekutif, supaya kerajaan akan lebih telus dan mengikut kehendak rakyat.

Kenyataan itu dilihat sebagai satu bentuk 'gencatan senjata politik' dari kedua-dua pihak, seperti apa yang dimahukan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang menitahkan bahawa "yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua" selepas mengumumkan pelantikan Ismail Sabri pada Jumaat lepas.

Majoriti tipis kekang perubahan drastik

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Tasmania berkata Ismail Sabri tidak mempunyai pilihan untuk membuat perubahan drastik dalam barisan Kabinetnya disebabkan majoriti yang tipis, iaitu hanya 114 daripada keseluruhan 220 kerusi Parlimen.

"Anggota-anggota Parlimen yang menyokong beliau adalah orang yang sama yang menyokong Muhyiddin sebelum ini, jadi sekiranya beliau mengganggu formula sedia ada terlalu banyak, beliau akan meletakkan diri dalam situasi bahaya.

"Perkara ini sudah dijangka, tetapi ia masih menjadi sesuatu yang mengejutkan kepada mereka yang mengharapkan beliau untuk sekurang-kurangnya membawa muka-muka baharu ke dalam susunan Kabinetnya," kata Chin kepada BenarNews.

Bridget Welsh penganalisis politik dari Universiti Nottingham berkata Perdana Menteri telah kehilangan peluang untuk membina keabsahan dan memperkukuhkan negara kerana senarai kabinet secara asasnya adalah sama.

"Yang membezakan cuma pertukaran jawatan," menurut Welsh dalam laman sosial beliau.

Secara asasnya juga menurut Welsh kerajaan dipimpin Ismail Sabri adalah 'Kerajaan Perikatan Nasional 2.0' yang mengekal atau mengukuhkan kuasa buat rakan sekutu Bersatu, PAS (memegang portfolio agama) dan GPS.

"Ia tidak membawa masuk ahli dari kem UMNO yang lain. Tambahan dari UMNO sebahagian besarnya merupakan penyokong kerajaan PN terdahulu manakala pesaing kepada pimpinan tertinggi UMNO dinaikkan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional [2.0]," kata Welsh.

Malaysia mengalami krisis politik berpanjangan yang turut membantutkan usaha kerajaan dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat dari pandemik COVID-19.

Perlantikkan Ismail Sabri merupakan perlantikkan kedua yang dilakukan tanpa melalui pilihan raya dalam tempoh tiga tahun berikutan pandemik COVID-19 yang kini sudah menjangkiti lebih 1.5 juta penduduk di Malaysia dan meragut lebih 15,000 nyawa sejak Januari 2020.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.