Polis Malaysia selamatkan enam buruh kanak-kanak Myanmar di Selangor

Operasi anti-pemerdagangan manusia giat dilaksanakan ketika negara Asia Tenggara itu berusaha memperbaiki penarafannya elak kembali jatuh ke Tahap-3.
Helmi Foad dan Nisha David
2024.06.13
Kuala Lumpur
Polis Malaysia selamatkan enam buruh kanak-kanak Myanmar di Selangor Anggota polis Bahagian D3 Bukit Aman bertanyakan sesuatu kepada lima remaja Myanmar yang diselamatkan dalam operasi anti-pemerdagangan manusia di sebuah bengkel kenderaan di Subang Jaya, Selangor, 12 Jun 2024.
[Ihsan Polis Diraja Malaysia]

KEMASKINI pada 11 malam waktu tempatan ETS - 2024-06-13

Pasukan anti-pemerdagangan manusia Malaysia pada Khamis berkata mereka telah menyelamatkan enam remaja Myanmar yang digunakan sebagai buruh kanak-kanak di sebuah bengkel dan kedai membasuh kenderaan di negeri Selangor ketika Putrajaya meningkatkan usaha memerangi pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ke negara itu.

Semua mangsa berusia dari 13 hingga 17 tahun diselamatkan hasil serbuan dalam Op Pintas Mega dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di sebuah premis di Subang Jaya dan Shah Alam pada Rabu.

Lima kanak-kanak diselamatkan daripada sebuah kedai membaiki kenderaan manakala seorang lagi di sebuah tempat cuci kereta, dengan 24 pekerja tanpa izin dari Myanmar dan dua dari Bangladesh turut ditahan, bersama dua rakyat Malaysia yang dipercayai menjalankan perniagaan itu.

Ketua Penolong Bahagian D3 ATIPSOM Bukit Aman, Soffian Santong berkata lima mangsa bawah umur warga Myanmar diselamatkan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Subang Jaya mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

“Fokus operasi adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0),” katanya pada Khamis.

Beliau berkata kelima-lima mangsa dipercayai diupah sebagai pembantu bengkel dengan bayaran antara RM800 hingga RM1,800 sebulan mengikut pengalaman bekerja.

"Salah seorang mangsa yang berusia 13 tahun memberitahu, dia telah bekerja di bengkel tesebut sejak setahun lalu bersama bapanya dan diberikan tugas mengetuk badan kenderaan," ujarnya.

Dalam serbuan berasingan oleh pasukan sama di sebuah premis cuci kereta di Shah Alam pada Rabu malam, seorang remaja lelaki warga Myanmar berusia 16 tahun yang digaji sebagai pencuci kereta turut diselamatkan.

“Serbuan dijalankan hasil maklumat mengenai eksploitasi kanak-kanak, dengan siasatan awal mendapati mangsa sudah bekerja enam bulan di premis terbabit dan menerima bayaran gaji sebanyak RM40 untuk tempoh bekerja sekitar 12 jam sehari,” katanya.

Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 serta Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) 2024 terdapat seramai 166,290 orang pelarian dan pencari suaka dari Myanmar membabitkan 109,230 etnik Rohingya, Chin (26,350) dan 30,710 lagi dari etnik lain yang datang dari kawasan konflik atau melarikan diri daripada kekejaman.

Isu kompleks

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata pengambilan pekerja migran bawah umur atau kanak-kanak pelarian di Malaysia merupakan isu yang kompleks dengan pelbagai faktor penyumbang.

Berdasarkan pengurusan kes yang dikendalikan Tenaganita, jelas beliau kanak-kanak pendatang dan pelarian terdedah kepada eksploitasi kerana status undang-undang mereka yang tidak menentu dan kekurangan perlindungan sosial.

"Kita tahu bahawa keluarga kanak-kanak migran atau pelarian sering menghadapi masalah kewangan yang melampau.

"Mereka terpaksa bekerja untuk menyara keluarga dan terus dieksploitasi dengan segelintir majikan mungkin tidak menyedari sepenuhnya kesan undang-undang menggajikan kanak-kanak bawah umur atau percaya mereka boleh terlepas daripada tindakan undang-undang," ujarnya.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang aktif mengenai isu buruh paksa pula berkata Malaysia masih bergelut dengan amalan pengambilan pekerja yang tidak teratur dan kos yang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Tidak ada tanda-tanda kemahuan politik untuk menyelesaikannya," kata Pengarah Eksekutif North South Initiative, Adrian Pereira kepada BenarNews.

Jelasnya kos pengambilan pekerja yang tinggi dan penyumberan luar haram terus menjadi masalah yang mesti diselesaikan segera.

"Kami percaya beberapa 'pelakon' telah bekerja keras untuk membawa pembaharuan undang-undang dan memastikan perhambaan moden dikurangkan di negara ini.

"Namun kita masih melihat beribu-ribu pekerja ditipu gaji mereka dan ramai yang dibawa masuk ke Malaysia tanpa pekerjaan sebenar menanti mereka," katanya. 

Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2023 meletakkan Malaysia dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2 iaitu negara yang tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS untuk memerangi pemerdagangan manusia tetapi sedang melakukan usaha yang ketara.

Ia adalah peningkatan daripada berada dalam kategori Tahap 3 terendah pada 2021 dan 2022 yang memberi kesan positif dari segi melonggarkan sekatan ke atas eksport Malaysia ke AS.

Negara dalam Tahap 3 berkemungkinan berdepan dengan sekatan bantuan daripada AS.

Pada Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri menyatakan sebanyak 289 kes pemerdagangan manusia direkodkan di Malaysia dari 2022 hingga tiga bulan pertama tahun ini dengan sebanyak 992 mangsa diselamatkan dan 526 tangkapan.

"Bagi tahun 2024 iaitu sehingga Mac, sebanyak 38 kes pemerdagangan orang telah dilaporkan yang melibatkan 59 tangkapan dengan seramai 141 orang diselamatkan," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.