Kapal tempur persisir pertama siap 2024, kata Menteri Pertahanan

Kapal pertama daripada enam buah yang pembinaannya penuh kontrovesi itu hanya tinggal satu blok di bahagian atas untuk disiapkan, kata Mohamad Hassan.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.01.09
Kuala Lumpur
Kapal tempur persisir pertama siap 2024, kata Menteri Pertahanan Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Hasan (empat dari kiri) mendengar taklimat semasa melawat tapak pembinaan kapal tempur pesisir di Lumut, Perak, 9 Januari, 2023.
[Ihsan Kementerian Pertahanan Malaysia]

Kapal tempur pesisir (LCS) Malaysia yang pertama daripada keseluruhan enam buah ditempah bawah sebuah projek yang diberikan kepada sebuah syarikat pembina kapal swasta akan disiapkan pada 2024, lima tahun lewat daripada jadual asal yang sepatut diserahkan kepada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), kata Menteri Pertahanan pada Isnin.

Satu laporan kerajaan yang dinyahklasifikasikan pada Ogos lepas menunjukkan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2 bilion) yang diberikan kerajaan kepada Boustead Naval Shipyard berikutan kegagalan syarikat itu menyiapkan walau sebuah kapal dalam tempoh lapan tahun sejak perjanjian projek dimeterai dengan yang pertama dijadualkan siap sepenuhnya pada 2019.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata beliau telah melihat sendiri progres pembinaan LCS pertama semasa lawatannya ke limbungan syarikat pembuat kapal berkenaan pada Isnin dan berpuas hati dengan tahap pencapaian projek tersebut, yang mana kapal pertama sudah 70 peratus siap.

"Saya gembira melihat perkembangan ini, dan yakin kapal pertama dapat siap pada tahun 2024, boleh jadi dalam pertengahan tahun. Dan selepas itu, kita akan buat percubaan bagi melihat kebolehannya untuk belayar (seaworthiness) dan kemudiannya boleh diberikan pentauliahan," kata menteri tersebut.

Tambah beliau, lima buah kapal LCS yang ditempah itu sedang dalam pembinaan dan kapal pertama kini hanya tinggal satu lagi "blok" iaitu di bahagian atas kapal untuk disiapkan, dimana peralatan penting lain seperti empat buah enjin, kotak gear, kipas dan lain-lain telah siap dipasang.

Ia kemudiannya perlu dipasang dengan kelengkapan elektronik dan diikuti peralatan persenjataan, satu proses yang akan mengambil sedikit masa, kata beliau.

Kementerian Pertahanan juga menjangkakan bahawa kapal LCS yang kedua, ketiga dan keempat boleh disiapkan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Mengulas mengenai isu kelewatan projek berkenaan, Mohamad berkata ia terpaksa diberhentikan pada tahun 2019 kerana "sebab-sebab tertentu", dan sepatutnya disambung semula selepas itu namun tergendala sekali lagi ekoran negara dilanda pandemik COVID-19 pada 2020 yang menyebabkan projek tidak dapat disambung selama dua tahun lagi.

Kerajaan kini dalam proses menyelesaikan beberapa isu dengan pembekal utama serta vendor sebelum kapal pertama boleh disiapkan sepenuhnya.

"Insha Allah (isu dengan vendor dan pembekal) dapat diselesaikan dan projek ini akan dapat diteruskan dan saya yakin kapal pertama LCS ini akan dapat disiapkan pada tahun depan," kata Mohamad lagi.

Pada Ogos 2022, kerajaan telah menyahklasifikasikan satu laporan audit forensik yang dibuat ke atas projek LCS itu yang antara lain mendedahkan bahawa Kementerian Pertahanan tidak mengendahkan kebimbangan yang dibangkitkan pada 2011 oleh panglima tentera laut Malaysia ketika itu mengenai potensi penyelewengan dalam projek tersebut.

Kementerian Pertahanan pada masa berkenaan diterajui oleh Ahmad Zahid Hamidi, yang kini adalah Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Laporan itu menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan menolak syor yang dikemukakan oleh Laksamana Abdul Aziz Jaafar, panglima tentera laut ketika itu, untuk reka bentuk kapal perang berkenaan dan meneruskan cadangan yang dikemukakan oleh Boustead.

Menurut laporan itu juga, reka bentuk tersebut ditukar kepada reka bentuk Gowind pada 11 Julai 2011, tiga hari selepas BNS mencadangkan perubahan itu kepada Kementerian Pertahanan.

Kepentingan kapal tempur

Dalam satu kenyataan di akaun media sosial beliau, Menteri Pertahanan itu menekankan mengenai kepentingan kapal-kapal LCS yang ditempah itu disiapkan bagi kegunaan TLDM.

"Kapal-kapal ini mesti ada untuk melengkapkan keperluan pertahanan hadapan demi menjaga kedaulatan negara."

Pada 2014, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2 bilion) kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), syarikat pembuat kapal milik kerajaan, untuk membina enam buah LCS bagi kegunaan TLDM.

Lima daripada kapal tersebut dijadualkan siap dan sepatutnya dihantar kepada TLDM secara berperingkat antara 2017 dan 2022, namun tidak ada satu pun yang berjaya disiapkan sehingga kini.

Seorang pegawai tinggi TLDM sebelum ini pernah dilaporkan berkata bahawa kelewatan projek LCS itu melemahkan pertahanan negara kerana ia berhadapan dengan kekurangan kebolehan tempur di laut kerana kapal perang yang dioperasikan pada masa kini semuanya telah tua dan usang.

Pegawai memerintah Armada Timur Laksamana Madya Sabri Zali dilaporkan berkata tentera laut tidak mampu untuk bertindak tanpa aset kombatan sekiranya berlaku peperangan atau konflik di perairan negara.

Sementara itu, seorang pakar keselamatan serantau menyambut baik pengumuman Menteri Pertahanan mengenai progres dan jangka masa baru projek LCS itu.

Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berkata tentera laut amat memerlukan kapal-kapal baru kerana ia kekurangan aset untuk menjalankan operasi dan mempertahankan negara terutamanya di Laut Cina Selatan, di mana terdapat ancaman dari negara China.

"Kapal-kapal ini amat diperlukan oleh TLDM kerana kita kekurangan aset terutama di Laut Cina Selatan. Sehingga ke hari ini, kapal pengawal pantai China datang hampir ke kawasan perairan negara kita. Kita mempunyai pelantar-pelantar minyak di Laut Cina Selatan, dan beberapa kali perairan negara telah diganggu oleh kapal pengawal pantai China," kata beliau kepada BenarNews.

Mizan berkata, pengumuman pada Isnin itu tiba tepat pada masanya, tetapi menegaskan bahawa kerajaan perlu mempunyai satu jawatankuasa kerja atau pasukan petugas bagi memantau perkembangan projek LCS.

"Jika tidak, dan kita hanya membuat pengumuman saja dan membiarkan begitu, saya sangsi jika projek itu dapat disiapkan."

Mizan yang merupakan seorang ahli akademik dan penganalisis keselamatan turut menyuarakan kebimbangan mengenai kelengkapan LCS yang ditempah -- sama ada ia akan memiliki teknologi terkini apabila siap kelak -- memandangkan projek berkenaan lewat dari garis masa dijadualkan.

"Sekiranya kita mendapat teknologi yang ketinggalan atau tidak berada dalam keadaan yang baik, apa faedahnya mempunyai aset sedemikan untuk tentera kita?," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.