Malaysia beralih dari China ke Turkiye beli kapal misi pesisir
2024.06.11
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 2.45 petang waktu tempatan ETS - 2024-06-11
Setelah membeli empat kapal misi pesisir (LMS) dari China, Malaysia kini beralih ke firma pertahanan Turkiye untuk melakukan perolehan tiga buah lagi kapal jenis itu untuk kumpulan kedua, demikian menurut Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin pada Selasa tanpa mendedahkah kos bagi perjanjian terbaru itu.
LMS yang bakal dibina di Turkiye berdasarkan reka bentuk korvet kelas-Ada yang dijangka siap hujung 2027 itu memenuhi perancangan Kertas Putih Pertahanan untuk melengkapkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan 18 buah kapal bagi mengawal empat perairan sempadan negara iaitu Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi, Selat Melaka dan Laut Sulu, kata menteri itu lagi.
Penganalisis pertahanan tempatan menyifatkan kerjasama dan pembelian aset tentera laut dari Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM), sebuah firma pertahanan Turkiye merupakan langkah yang tepat bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada sesebuah negara dari segi kekuatan teknologi ketenteraan.
“Hari ini merupakan detik yang bersejarah kerana Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Turkiye mengenai perolehan Kerajaan kepada Kerajaan (G2G) untuk produk pertahanan telah berjaya dimeterai.
“Saya percaya pemeteraian MoU ini amat bermanfaat kepada Malaysia, mengambil kira reputasi Turkiye sebagai ‘powerhouse’ yang mempunyai kekuatan dalam bidang pembuatan teknologi pertahanan dan berjaya memposisi industri pertahanannya sebagai salah satu yang ternama di dunia.
“STM telah menyatakan komitmen untuk tiga LMS tersebut disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan iaitu dalam tempoh tiga tahun enam bulan,” kata Khaled dalam hantaran di laman media sosial Facebook.
Beliau menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) perolehan LMS itu bersama Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye Haluk Gorgun di Ankara, Turkiye pada Isnin.
“Perjanjian penting ini bukan sahaja mewakili kemajuan besar dalam kerjasama industri pertahanan kita tetapi juga menandakan era baharu perkongsian strategik antara Turkiye dan Malaysia.
“Sebagai kontraktor utama, STM akan membina tiga kapal di Turkiye, direka untuk memenuhi keperluan tentera laut Malaysia.
“Semasa pembuatan kapal ini, produk daripada beberapa syarikat industri pertahanan Turki termasuk Havelsan, Aselsan dan Roketsan akan digunakan,” kata Gorgun dalam X.
LMS kumpulan kedua merupakan korvet kelas-Ada ialah jenis kapal peronda dan peperangan anti-kapal selam yang dilengkapi peluru berpandu anti-pesawat canggih selain mempunyai sesaran kira-kira 2,500 tan, panjang 99.56 meter (m), lunas 14.42 m dan draft 3.94 m serta dikuasakan oleh enjin Renk Codag 31,640 kW (42,430 hp).
Dengan had laju maksimum lebih 26 knot dan jarak pelayaran sejauh 4,000km pada 14 knot, ia boleh memuatkan 111 anak kapal dan daya tahan maksimum selama 14 hari selain turut dilengkapi dengan tapak pendaratan helikopter dan hangar, menurut kenyataan STM.
Menurut laporan portal pertahanan Defence Security Asia, ketika ini, tentera laut Turkiye mengoperasikan empat buah kapal korvet kelas-Ada dengan empat buah kapal jenis yang sama dibina untuk tentera laut Pakistan manakala sebuah lagi bagi Ukraine.
Selain itu, Malaysia menerusi Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) dari Wuchang Shipyard di Qidong, China telah bekerjasama membangunkan empat kapal LMS menerusi kontrak perolehan melebihi RM1 bilion (AS$211.9 juta) dan telah menerima kapal terakhir daripada kumpulan pertamanya pada Disember 2021, menerusi perjanjian yang dibuat beberapa tahun sebelum itu, demikian menurut portal pertahanan tersebut.
Pada 2014, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2 bilion) kepada BNS, yang juga anak syarikat kepada Boustead Holdings Berhad (BHB) dan merupakan sebuah syarikat milik kerajaan dengan diusahakan oleh majoriti anak-anak Melayu Bumiputera, di mana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merupakan pemegang saham dalam BHB, untuk membina enam buah kapal tempur persisir yang lebih kecil berbanding LMS bagi kegunaan TLDM.
Projek LCS, antara perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara itu, telah mendapat kritikan hebat setelah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tidak sebuah pun kapal disiapkan biarpun Malaysia telah membuat bayaran sebanyak RM6.08 billion (AS$1.43 billion) bagi projek berkenaan pada 2020.
Selepas pelbagai kontroversi dan siasatan, bulan lalu, LCS pertama yang gagal disiapkan hampir lapan bulan dari jadual asal akhirnya diluncurkan ke air di Lumut, Perak, namun ia hanya dijangka siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026.
Mohamed Khaled berkata kepada pemberita semasa peluncuran kapal frigate kelas Maharaja Lela itu terbukti stabil dan utuh, selain menepati kemajuan yang dirancang mengikut kontrak manakala kemajuan kerja pembinaan kapal LCS kedua hingga kelima kini berjalan mengikut jadual dengan aset kedua bakal disiap pada 2027 dan kapal seterusnya dijangka diserahkan selang lapan bulan sehingga LCS kelima siap sepenuhnya pada 2029.
Kelebihan teknologi Turkiye
Penganalisis pertahanan dari Universiti Utara Malaysia, Mohamad Faisol Keling berpandangan pemilihan Turkiye sebagai pembangun kapal LMS kumpulan kedua adalah tepat memandangkan negara tersebut memiliki pengalaman luas dalam kuasa maritim serta teknologi yang bersesuaian dengan demografi Asia.
Beliau berkata pemilihan China dan Turkiye dalam pembinaan kapal-kapal itu dapat mewujudkan kepelbagaian hubungan Malaysia dengan kuasa besar lain sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sesebuah negara atau blok kuasa teknologi ketenteraan.
“Malah kemajuan kedua-dua negara dalam hal ehwal revolusi ketenteraan (RMA) adalah seiring dengan kuasa besar di Barat,” kata beliau kepada BenarNews.
Bagaimanapun, Mohamad Faisol turut menekankan aspek pemindahan teknologi yang perlu dititikberatkan oleh Malaysia agar ia boleh berdiri sendiri dalam penghasilan kapal perang kerana pembelian aset pertahanan dari negara lain dikhuatiri tidak menjamin keselamatan negara dalam jangka masa panjang.
Bagi penganalisis pertahanan, Fuat Mat Noot pula, beliau melihat sisi positif dari aspek hubungan baik antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Recep Tayyib Erdogan sebagai satu jaminan bahawa sistem senjata dan elektronik kapal perang itu tidak akan mengalami sekatan secara tiba-tiba memandangkan ia tidak dibangunkan oleh Amerika Syarikat (AS) atau sekutunya.
Fuat yang merupakan perunding keselamatan kepada beberapa agensi kerajaan berkata AS dan Eropah kini berselisih pendapat dengan Malaysia berikutan pendirian negara itu terhadap konflik Palestin di mana pemimpin negara yang penduduknya majoriti umat Islam lantang menyuarakan tentangan terhadap kezaliman Israel di pentas dunia.
Dari sudut keupayaan LMS kumpulan kedua, Fuat berpendapat meskipun China mempunyai sejarah membangunkan sistem senjata yang hebat untuk kegunaan mereka, terdapat beberapa isu kualiti seperti yang berlaku kepada kapal tentera laut Thailand yang dibeli dari China.
“Sebaliknya kapal Turkiye lebih menepati standard dan syarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), yang mana merupakan asas kepada semua sistem tentera laut kita,” tambahnya.
Selain itu, seorang lagi penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata perolehan LMS kelas- Ada dari Turkiye itu menjurus kepada tugas kawalan di perairan Laut China Selatan kerana ia mempunyai lebih kuasa berbanding LMS China yang lebih kecil.
“Apabila saiznya hampir 100 meter, ia memberikan sistem yang lebih padu termasuk dilengkapi dengan terpedo dan peluru berpandu.
“LMS itu juga bakal dilengkapi dengan pelancar peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” yang dibangunkan Roketsan, syarikat Turkiye dan ia sejajar dengan langkah Turkiye untuk menggantikan sistem peluru berpandu ‘Harpoon’ buatan Boeing, firma AS,” katanya kepada BenarNews.