Tidak Diketahui Dimana Hartawan Malaysia Berada Selepas Indonesia Sita Kapal Mewah

Anton Muhajir & Razlan Rashid
2018.02.28
Denpasar, Indonesia & Kuala Lumpur
180228-ID-yacht-620.jpg Pegawai polis Indonesia sedang mengawal sebuah kapal pesiar mewah Equanimity berlatar belakangkan perairan di Bali, 28 Feb, 2018.
[AP]

Seorang hartawan Malaysia yang menjadi perhatian dalam siasatan jenayah melibatkan berbilion ringgit yang dicuri dari dana negara yang tercemar oleh rasuah, 1MDB tidak berada dalam kapal mewahnya semasa polis Indonesia dan agen FBI merampas kapal berkenaan di Pulau Bali, kata para pegawai pada Rabu.

Ahli perniagaan Low Taek Jho (alias Jho Low) telah membeli kapal mewah Equanimity berukuran 100 meter (kira-kira 300 kaki) dengan nilai yang dianggarkan berjumlah AS$250 juta – sejumlah AS$4.5 bilion telah didakwa disalahgunakan daripada dana 1Malaysia Development Berhad, kata pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam dokumen mahkamah yang difailkan Jun lepas.

Tetapi Jho Low bukanlah antara 34 orang yang berada diatas kapal layar itu, yang ditemui di Teluk Benoa di Bali apabila pihak berkuasa Indonesia dan AS menyerbu kapal berkenaan pada Selasa, sebelum menyita kapal itu pada Rabu, kata Pengarah Jenayah Ekonomi Polis Indonesia Agung Setya Imam Effendi, kepada MetroTV.

"Kesemua mereka adalah anak kapal. Tiga puluh empat orang jumlahnya," katanya kepada stesen itu, yang turut menunjukkan rakaman polis Indonesia dan agen FBI sedang menyoal siasat anak-anak kapal layar itu. "Ya. Kapal layar itu tidak membawa sebarang penumpang. Mereka semua adalah anak kapal. "

Agung berkata, pihak berkuasa negara itu mula bekerjasama dengan FBI seminggu lalu selepas kapal itu dikenalpasti berada di perairan Indonesia. "Kami mempunyai pengesahan undang-undang bahawa aset ini adalah hasil jenayah," katanya.

"Berdasarkan siasatan kami, kapal itu mempunyai 34 anak kapal, yang kesemuanya rakyat asing," kata Agung kemudian kepada pemberita.

Daniel Tahi Monang Silitonga, Timbalan Pengarah Unit Jenayah Ekonomi dan Biro Khas Penyiasatan Jenayah Indonesia (Bareskrim) pula mengesahkan bahawa agen FBI hadir ketika polis Indonesia menaiki kapal itu.

"Kami sedang mengenal pasti pemilik kapal layar itu. Kami akan maklumkan maklumat terkini keputusan siasatan, kemudian, " katanya kepada pemberita.

"Penyiasatan FBI [mendapati bahawa] sebahagian daripada hasil rasuah itu digunakan untuk membeli kapal yang berlayar di Indonesia itu," katanya sambil merujuk kepada siasatan DOJ.

Kapal layar itu telah berlayar di perairan Indonesia sejak November 2017, katanya.

MarineTraffic, sebuah pangkalan data maritim, telah mencatatkan log masuk kapal layar itu di Sabang, sebuah bandar di Pulau Weh, barat laut Sumatera pada Oktober tahun lepas, portal berita Malaysia, malaysiakini.com melaporkan.

Ogos lepas, DOJ meminta sebuah mahkamah California untuk mengetepikan 29 kes sivil yang telah difailkan sejak Julai 2016, supaya jabatan itu boleh melancarkan siasatan jenayah yang berkaitan dengan 1MDB yang dibebani hutang, yang merupakan sasaran siasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam buah negara asing.

Dana negara Malaysia itu telah dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Najib Razak, yang mengasaskan 1MDB tetapi beliau telah menafikan sebarang salah laku.

Menurut dokumen penghakiman yang diperolehi oleh BeritaBenar, DOJ menuduh Jho Low melakukan pengubahan wang haram berjumlah lebih daripada AS$400 juta yang dicuri dari 1MDB menerusi pengambilalihan hartanah di California, New York dan London, sebuah pesawat jet yang dibeli dengan harga AS$35 juta dan kapal layar tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada media Malaysia, seorang jurucakap Jho Low merungut tentang mengapa rampasan itu dibuat sedangkan pegawai-pegawai kehakiman AS "masih tidak mengambil sebarang langkah untuk membuktikan bahawa tiada ketidakpatuhan berlaku."

"Oleh itu adalah mengecewakan bahawa, daripada memikir dengan mendalam tentang dakwaan yang nyata silap dan bermotifkan politik, DOJ meneruskan tindakannya di seluruh dunia - semuanya hanya berdasarkan dakwaan salah laku yang tiada sokongan sepenuhnya," kata jurucakap itu.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.