Buruh Paksa: Jabatan Kastam Amerika Syarikat ke Malaysia Hujung Mei
2022.05.16
Washington
KEMASKINI pada 8.30 pagi waktu tempatan ETS - 2022-05-17
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) akan ke Malaysia akhir bulan ini untuk menyiasat berhubung kebimbangan usaha menyekat eksport produk minyak sawit susulan dakwaan adanya penggunaan buruh paksa, demikian menurut seorang menteri Malaysia yang bertemu dengan pegawai jabatan berkenaan di Washington pada Isnin.
Semasa pertemuan berkenaan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin memberitahu delegasi Malaysia telah membangkitkan isu mengenai perbezaan budaya antara Kuala Lumpur dan Washington yang didapati mempunyai kaitan dengan larangan tersebut.
“CBP akan ke Malaysia pada hujung bulan ini untuk membincangkan tentang parameter rangka kerja jawatankuasa yang akan dibentuk dengan memberi fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa,” kata Zuraida kepada BenarNews selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Penolong Pesuruhjaya Eksekutif CBP John Leonard di Washington.
Semasa pertemuan hampir sejam itu, Menteri berkenaan berpeluang memberikan penjelasan mengenai isu produk sawit FGV Holding Bhd dan Sime Darby Plantation (SDP) yang ditahan oleh pihak berkuasa Amerika.
“Saya minta mereka fahami cara hidup kita, budaya kita yang berbeza dengan Amerika… perlu ada satu pentafsiran yang selari dan selaras agar sebarang pendakwaan diberikan dengan bukti jelas dan penyiasatan terperinci, lebih adil dan tidak berat sebelah,” tambah Zuraida lagi.
Katanya, CBP telah memberikan respon yang positif dan mengambil maklum kebimbangan Malaysia apabila minyak dan produk sawitnya dikenakan larangan perdagangan oleh pihak berkuasa negara itu.
“CBP juga menyatakan pendirian bahawa sudah tiba masanya untuk kita lupakan perkara yang lalu dan menuju ke hadapan, dengan mengambil langkah-langkah yang boleh memudah cara kepada kedua-dua negara,” kata Menteri itu lagi
Beliau berkata kebanyakan dakwaan berhubung kes buruh paksa dibuat oleh badan bukan kerajaan dan kumpulan berkepentingan lain, dan ianya tidak disahkan oleh pihak berkuasa Amerika tetapi tindakan tetap diambil ke atas produk sawit Malaysia dengan langkah tersebut di dapati kurang adil bagi industri komoditi negara.
“Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memantau dan mencegah buruh paksa dengan terus komited meghapuskan buruh paksa dan buruh kanak-kanak melalui ratifikasi pelbagai Konvensyen peringkat antarabangsa, yang antara lain menyediakan panduan bagi menentukan kewajipan Malaysia berkenaan perlindungan hak pekerja asing,” kata Zuraida.
Buruh paksa
Pada 16 Disember 2020, CBP mengumumkan sekatan segera terhadap import minyak sawit dan produk berkaitan konglomerat Sime Darby Plantation dengan menyatakan bahawa siasatan berbulan-bulan lamanya mendapati adanya petunjuk penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran produk berkenaan.
Susulan daripada Perintah Penahanan Pelepasan, atau dikenali sebagai WRO, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menyuarakan rasa tidak setuju mereka dengan tindakan drastik oleh AS tanpa memberi peluang kepada syarikat berkenaan untuk membuktikan sebaliknya.
Akan tetapi pada Januari lepas, melalui satu notis yang dikeluarkan kepada umum CBP menyatakan bahawa susulan penemuan siasatan pihak berkuasa pelabuhan di negara itu boleh menahan dan merampas produk keluaran Sime Darby, kecuali jika pengimport dapat membuktikan bahawa tidak ada penggunaan tenaga buruh secara salah dalam penghasilan produk tersebut.
"Dokumen ini memberitahu orang awam bahawa CBP, dengan kebenaran daripada Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, telah mengenalpasti bahawa terdapat produk minyak sawit dan yang berkaitan dengannya yang dikeluarkan oleh syarikat Sime Darby Plantation Berhad, anak-anak syarikatnya, serta usahasama dengan syarikat lain, telah menggunakan tenaga salah, atau buruh paksa, dan produk berkenaan sedang diimport atau berkemungkinan akan diimport ke Amerika Syarikat.
"Hasil siasatan ini terpakai ke atas barangan yang diimport pada atau selepas 28 Januari 2022. Ia juga terpakai ke atas barangan yang telah pun diimport sebelum 28 Januari 2022 tetapi masih belum dilepaskan dari tahanan CBP," kata notis yang dikeluarkan pihak berkuasa itu.
Bukan kes pendengaran
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Kemampanan Kumpulan FGV Holding Berhad, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim memberitahu BenarNews di Kuala Lumpur, pertemuan antara firma tersebut yang turut disertai Menteri dengan pihak CBP telah berlangsung di Washington pada Isnin.
"Kami memang bertemu CBP pada 16.5.2022 - namun ia bukan sebarang jenis pendengaran... Pertemuan itu diatur atas pemintaan FGV bagi mengadakan dialog antara FGV dan CBP mengenai status dan usaha FGV untuk menangani WRO," katanya semasa dihubungi.
Dalam respon balas terhadap notis dikeluarkan CBP Januari lalu, Sime Darby menyatakan rasa terkilan mereka dengan tindakan AS dengan menyatakan bahawa mereka telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkenaan sejak siasatan dimulakan pada 2020.
Mohamad Helmy Othman Basha, Pengarah Urusan Kumpulan syarikat tersebut, berkata mereka juga telah melantik penasihat bebas mengenai etika perdagangan bagi menjalankan kerja-kerja penilaian di semua fasiliti Sime Darby Plantation di Malaysia.
"Sebagai respon kepada tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap syarikat pada 16 Disember 2020, syarikat ini telah melantik satu firma konsultasi etika dagangan bagi membuat penilaian menyeluruh dan bebas terhadap semua fasiliti kami di seluruh Malaysia,” kata beliau.
Undang-undang persekutuan AS melarang pengimportan barang-barang yang dihasilkan oleh buruh paksa dan buruh tanpa jaminan termasuk buruh kanak-kanak.
CBP dalam beberapa kenyataannya sebelum ini berkata buruh paksa adalah satu "bentuk perhambaan zaman moden" dan "tidak adil kepada pengguna yang mungkin tanpa sengaja membeli barang-barang tersebut."
Sebagai contoh, minyak sawit adalah bahan biasa yang terdapat dalam produk yang mudah dibeli oleh pengguna Amerika di kedai runcit. Minyak sawit boleh didapati di dalam makanan yang diproses, kosmetik, farmasi, sabun dan biodiesel, menurut laporan oleh Jabatan Pertanian AS.
Malaysia dan negara jirannya, Indonesia, menghasilkan kira-kira 85 peratus minyak sawit dunia sebagai sebahagian daripada industri global bernilai AS $65 bilion.
Amerika Syarikat mengimport produk minyak sawit mentah bernilai AS$410 juta pada tahun fiskal 2020 dari Malaysia, kata CBP. Ini merupakan 30 peratus minyak sawit mentah yang diimport ke AS.
Sime Darby adalah pengeluar minyak sawit terbesar di Malaysia berdasarkan kawasan perladangan. Pada November 2020, syarikat itu adalah antara yang disebut dalam laporan penyiasatan oleh agensi berita Associated Press yang memberi butiran terperinci berhubung dakwaan rogol dan penganiayaan lain terhadap pekerja di ladang kelapa sawit.
Selain Sime Darby, Amerika turut mengenakan sekatan terhadap sebuah lagi syarikat sawit Malaysia, iaitu FGV Holding Berhad dua tahun lepas.
Selain Zuraida, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan turut bertemu dengan CBP berhubung isu buruh paksa semasa beliau berada di Washington bagi menghadiri sidang kemuncak AS-ASEAN minggu lalu.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.