Rumah Selamat KDN masih bersifat ‘kurungan’, kata aktivis

Kementerian Dalam Negeri perlu membenarkan organisasi bukan kerajaan menjaga kanak-kanak bagi memastikan hak mereka terjamin.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.09.06
Kuala Lumpur
Rumah Selamat KDN masih bersifat ‘kurungan’, kata aktivis Baitul Mahabbah, pusat jagaan sementara bagi kanak-kanak migran dalam tahanan kelolaan Jabatan Imigresen Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan, 4 September 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Aktivis hak asasi manusia dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia menyifatkan projek kerajaan untuk memindahkan kanak-kanak yang ditahan di depot-depot imigresen ke pusat penjagaan sebagai satu tindakan tidak mencukupi, kerana destinasi baharu tersebut masih merupakan fasiliti tahanan yang menghalang mereka daripada bergerak bebas.

Kritikan itu dibuat selepas Kementerian Dalam Negeri telah memindahkan seramai 23 kanak-kanak warga asing dan 10 penjaga ke sebuah pusat jagaan yang terletak kira-kira 45 batu dari Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kesemua mereka tidak diserahkan kepada jagaan sebuah organisasi bukan kerajaan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Mahi Ramakrishnan, seorang aktivis dan pengasas kumpulan Beyond Borders, berkata pusat berkenaan dikawal oleh anggota pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan ia menunjukkan bahawa lokasi berkenaan masih merupakan sebuah fasiliti kurungan.

"Apabila Rumah Selamat ini dikawal oleh RELA, maka ia masih lagi seperti sebuah pusat separa-tahanan. Seperti saya selalu katakan sebelum ini, ‘sangkar yang dibuat daripada emas tetap sebuah sangkar’," kata beliau kepada BenarNews.

Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah melancarkan 'Baitul Mahabah', sebuah fasiliti yang terletak di Kompleks Kediaman Awam (KKKA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menempatkan kanak-kanak warga asing berusia bawah 10 tahun yang sebelum ini ditahan bersama ibu, bapa atau penjaga mereka di pusat-pusat tahanan imigresen di Lembah Klang.

Kata beliau, inisiatif rintis itu menyaksikan Jabatan Imigresen Malaysia memindahkan seramai 23 kanak-kanak warga asing termasuk 14 daripadanya kanak-kanak perempuan ke Baitul Mahabah baru-baru ini.

Seramai 31 orang lagi bersama 16 penjaga dari pusat tahanan Imigresen turut akan dipindahkan ke rumah berkenaan dalam masa terdekat.

Menurut menteri itu, fasiliti berkenaan diuruskan oleh pegawai imigresen dengan bantuan anggota RELA serta petugas kesihatan. Ia menyediakan beberapa kemudahan termasuk ruang pembelajaran, bilik pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta taman permainan kanak-kanak.

"Saya ingin tegaskan bahawa penempatan kanak-kanak ini adalah bersifat sementara sehingga proses dokumentasi oleh kedutaan negara masing-masing selesai.

“Apabila semua dokumen dan proses telah lengkap maka kita laksanakan pemindahan ke negara asal seperti mana tahanan-tahanan warga asing di depot-depot imigresen yang lain," kata Saifuddin dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran Baitul Mahabah.

Mahi bagaimanapun mempersoalkan kenyataan menteri berkenaan yang dikatakan bercanggah dengan rancangan asal KDN untuk menyerahkan kanak-kanak warga asing di depot imigresen kepada jagaan komuniti atau kumpulan sivil.

Kata beliau, Saifuddin pada Februari lalu telah menyatakan bahawa KDN merancang untuk mengeluarkan kanak-kanak dari pusat tahanan imigresen dan menyerahkan kepada NGO berasaskan kebajikan.

"Apa yang dilakukan sekarang tidak kelihatan seperti apa yang dijanjikan beliau dulu," kata aktivis itu, yang turut menuntut penjelasan kerajaan sama ada semua kanak-kanak berkenaan diberikan akses kepada pendidikan serta rawatan kesihatan mental.

End Detention Network, sebuah organisasi yang memperjuangkan isu penahanan kanak-kanak oleh pihak berkuasa, turut menyuarakan pandangan serupa.

Sementara memuji langkah diambil kerajaan dalam memindahkan kanak-kanak daripada pusat tahanan kepada fasiliti yang lebih mesra bagi golongan itu, END berkata ia hanyalah satu langkah pertama meletakkan kanak-kanak dalam situasi jagaan dan melindungi hak-hak mereka.

"Walaupun kerajaan telah mengambil langkah-langkah menyediakan persekitaran yang lebih berperikemanusiaan bagi kanak-kanak melalui Baitul Mahabah, fasiliti itu masih terus menyekat kebebasan kanak-kanak yang sekaligus menjadikannyaa sebagai satu pusat tahanan juga.

"...KDN perlu memastikan bahawa langkah meletakkan kanak-kanak di Baitul Mahabah ini hanya sesuatu yang bersifat sementara, dan hanya untuk tempoh sesingkat yang boleh," kata EDN dalam satu kenyataan kepada BenarNews.

Organisasi itu juga menggesa supaya KDN terus memperkasakan polisi mereka mengenai perlindungan kanak-kanak dan melaksanakan prosedur di mana kanak-kanak patut diserahkan kepada jagaan komuniti atau NGO.

Selain itu, EDN mahu kementerian yang bertanggungjawab kepada isu keselamatan negara tersebut supaya bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pakar-pakar perlindungan kanak-kanak dan pekerja sosial yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan penjagaan kanak-kanak untuk membantu mereka menguruskan Baitul Mahabah.

Hartini Zainudin, pengasas Yayasan Chow Kit yang merupakan sebuah NGO kebajikan kanak-kanak, turut meminta Putrajaya melaksanakan janji mereka untuk melepaskan kanak-kanak berkenaan ke dalam jagaan organisasi kebajikan bukan kerajaan.

"Saya sangat berharap bahawa usaha KDN melalui Baitul Mahabah ini hanyalah langkah pertama ke arah melepaskan kanak-kanak daripada tahanan imigresen, seperti yang menteri telah katakan sebelum ini bahawa beliau sedang berusaha untuk menyerahkan kanak-kanak ini kepada jagaan NGO.

"Ia juga adalah penting untuk memastikan penempatan kanak-kanak di rumah tersebut hanya bersifat sementara," kata beliau kepada BenarNews.

Hannah Jambunathan dari International Detention Coalition berkata adalah penting untuk usaha berterusan bagi melepaskan kanak-kanak dari tahanan pihak berkuasa kerana merupakan amalan standard di peringkat antarabangsa serta selari dengan komitmen Malaysia kepada Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"KDN juga boleh dan patut belajar daripada negara-negara jiran dalam ASEAN seperti Thailand yang telah membuat komitmen dari segi polisi dan perundangan untuk menghentikan kanak-kanak daripada ditahan imigresen, dan mereka telah melepaskan ratusan kanak-kanak daripada pusat tahanan imigresen kepada jagaan berasaskan komuniti," kata beliau.

Kumpulan hak asasi, NGO dan aktivis hak asasi kanak-kanak telah lama memperjuangkan dan mengemukakan rayuan agar kerajaan dapat mengambil langkah lebih kemanusian terhadap kanak-kanak warga asing supaya tidak ditahan di fasiliti imigresen yang penuh sesak.

Namun usaha tersebut gagal menunjukkan sebarang perkembangan yang ketara.

Hasil semakan BenarNews menunjukkan isu ini dibangkitkan pada tahun 2012 apabila perbincangan untuk mencari serta melaksanakan Alternatif Untuk Penahanan kanak-kanak bermula sebagai respon kepada laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pada tahun itu, dalam maklumbalas kepada Suhakam, kerajaan Malaysia berkata – “Bagi menangani isu itu, Pusat Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk mengasingkan tahanan kanak-kanak dari tahanan dewasa.

Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun akan ditahan bersama penjaga mereka (ibu), dan kerana kekurangan kemudahan yang sesuai untuk tahanan kanak-kanak di depoh tahanan, adalah dicadangkan supaya NGO menubuh serta menguruskan ‘rumah selamat’ bagi kanak-kanak tersebut.”

Bagaimanapun, janji serta rancangan yang dibuat oleh barisan Jemaah Menteri terdahulu serta pegawai kerajaan gagal dilaksanakan seperti yang dibayangkan dan telah ditangguhkan sejak sekian lama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.