Malaysia beri jaminan pelancong asing selamat lawat pantai timur Sabah

Putrajaya harap 10 negara gugurkan nasihat perjalanan berkaitan risiko penculikan di wilayah Borneo itu.
Iman Muttaqin Yusof
2024.07.26
Kuala Lumpur
Malaysia beri jaminan pelancong asing selamat lawat pantai timur Sabah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bersama delegasi Malaysia dan perwakilan asing semasa mengadakan tinjauan keselamatan di beberapa kepulauan di sekitar pantai timur Sabah, 26 Julai, 2024.
[Ihsan Kementerian Dalam Negeri melalui Facebook]

Sabah kini selamat kepada pengunjung, demikian menurut pegawai kanan keselamatan Malaysia selepas membawa perwakilan asing dari 10 negara ke negeri itu untuk menilai langkah keselamatan yang telah dilakukan pihak kerajaan secara langsung.

Matlamat lawatan dua hari pada Khamis dan Jumaat itu adalah bertujuan memujuk perwakilan negara terbabit memansuhkan nasihat perjalanan ke negeri di bawah bayu itu, di mana kejadian penculikan untuk wang tebusan berleluasa pada 2010-an namun insiden berkenaan tidak lagi berlaku sejak 2020, kata pegawai keselamatan Malaysia.

Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) Victor B Sanjos memberitahu BenarNews delegasi perwakilan 10 negara itu telah diundang melakukan lawatan dua hari anjuran Kementerian Dalam Negeri dan ESSCOM untuk menilai secara langsung tahap keselamatan di wilayah itu.

"Apabila mereka melihat situasi itu secara langsung, ia menimbulkan keyakinan yang boleh dilaporkan kembali kepada kedutaan mereka dan kami meminta negara mereka menyemak dan menurunkan status nasihat perjalanan untuk pantai timur Sabah.

“Antara kebimbangan mereka (kedutaan asing), sudah tentu aspek keselamatan khususnya isu penculikan tetapi kami telah memberi taklimat kepada mereka bahawa insiden penculikan terakhir di timur Sabah berlaku pada 15 Januari 2020,” kata Victor kepada BenarNew pada Jumaat.

Program lawatan dua hari bermula pada Khamis di Tawau itu dihadiri delegasi asing dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Denmark, Jerman, Perancis, Finland dan Kanada.

Beliau berkata, sepanjang lawatan tersebut, kumpulan diplomat asing itu melawat tiga destinasi pelancongan popular, Pulau Mabul, Kapalai dan Sipadan di daerah Semporna yang terletak dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) untuk meninjau keadaan dan suasana semasa kawasan tersebut.

Pihak kedutaan asing termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah sebelum ini telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka supaya berhati-hati melakukan perjalanan ke negeri Sabah kerana ancaman penculikan untuk wang tebusan.

Kebimbangan utama mereka ialah "risiko tinggi penculikan yang berterusan di kawasan pantai timur Sabah" merupakan antara perkara dibangkitkan, hasil semakan BenarNews terhadap nasihat perjalanan membabitkan lima buah negara.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada Jumaat menyuarakan harapan agar program itu memberi impak besar bukan sahaja kepada Malaysia secara keseluruhan malah khususnya kepada Sabah.

“Kami amat berharap pada akhir lawatan, negara-negara ini tidak akan meneruskan nasihat perjalanan mereka sebaliknya menggalakkan rakyat mereka melawat pantai timur Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini akan membantu meningkatkan aktiviti pelancongan di pantai timur Sabah seterusnya menyokong masyarakat tempatan dalam menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan rakyat di Sabah,” kata menteri itu.

Pada tahun 2000, lebih daripada 20 orang termasuk pelancong asing telah dijadikan tebusan oleh Abu Sayyaf di sebuah pusat peranginan di Pulau Sipadan dan lebih sedekad lalu pulau, pantai Sabah menjadi lokasi konfrontasi bersenjata berdarah yang berlarutan selama enam minggu antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh dari kepulauan Sulu di selatan Filipina.

Percerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna pada 1 dan 2 Mac 2013 telah mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia dan 68 penceroboh ditumpaskan.

Tragedi berdarah itu diisytiharkan tamat pada 10 April tahun yang sama.

Kawasan sempadan di timur Sabah telah lama menjadi tumpuan pertikaian wilayah antara dua negara jiran itu.

Sebagai tindak balas kepada isu yang berterusan seperti penyeludupan dan penculikan di rantau ini, pihak berkuasa Malaysia telah mempergiatkan usaha mereka termasuk melaksanakan perintah berkurung di perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan sejak dari itu.

Ia kemudian diperluas ke perairan Tawau, Kinabatangan dan Beluran.

Pada Mei 2022, ESSCOM telah memulakan operasi besar-besaran memusnahkan pondok laut haram di perairan Sabah untuk menangani kegiatan jenayah rentas sempadan ini.

Bulan lalu, Malaysia berkata ia merobohkan ratusan rumah atas air orang Bajau Laut tanpa kerakyatan atas alasan ia berpotensi digunakan oleh penjenayah rentas sempadan, merosakkan karang dan mencemarkan taman laut di kawasan Semporna.

“Kami menunjukkan kepada mereka bagaimana ESSCOM dan pasukan penguat kuasa lain termasuk polis, angkatan tentera dan jabatan kerajaan yang berkaitan menguruskan operasi kawalan dan pergerakan di sepanjang pantai timur Sabah.

“Ini bukan sahaja untuk menyerlahkan komitmen kami terhadap keselamatan malah menunjukkan bagaimana usaha bersepadu menyumbang kepada kestabilan kawasan itu,” tambah Victor.

240726-MY-KDN2.jpg

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bersama delegasi Malaysia dan perwakilan asing semasa mengadakan tinjauan keselamatan di beberapa kepulauan di sekitar pantai timur Sabah, 26 Julai, 2024. [Ihsan Kementerian Dalam Negeri melalui Facebook]

Mansuh nasihat perjalanan

Seorang penganalisis keselamatan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata kerajaan Malaysia terutamanya melalui ESSCOM telah melakukan usaha besar untuk mengukuhkan keselamatan di kawasan tersebut.

Ramli Dolah, profesor madya Program Perhubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS berkata negara-negara lain perlu menilai semula nasihat perjalanan mereka kerana pantai timur Sabah kini selamat dikunjungi pelancong tempatan dan asing.

“ESSCOM telah menempatkan anggota keselamatan dan aset ke pelbagai tempat termasuk pulau dan kawasan pantai serta melaksanakan langkah seperti rondaan 24 jam, pengawasan radar, mewujudkan pangkalan laut dan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan.

“Kerjasama dengan negara jiran seperti Indonesia dan Filipina juga telah dipertingkatkan melalui perkongsian risikan dan pemantauan,” katanya.

Pakar pertahanan dan keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Mohd Mizan Mohammad Aslam pula berkata, apabila negara terbabit memansuhkan nasihat perjalanan itu kepada rakyat mereka, ia akan menarik lebih ramai pelancong ke timur Sabah.

“Saya fikir langkah yang diambil oleh pihak keselamatan Malaysia akan mendapat sokongan daripada kedutaan asing dan langkah menarik balik nasihat perjalanan akan melonjakkan pelancongan dan ekonomi di Sabah,” katanya kepada BenarNews.

“Saya percaya bahawa semua kedutaan tersebut akan membuat penilaian lebih lanjut sama ada usaha kerajaan Malaysia itu mencukupi atau sebaliknya,”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.