PAS Kembali Memerintah Kedah, MB Dan Sepuluh Exco Angkat Sumpah

Shira Aziz
2020.05.20
Alor Star, Kedah
200520-MY-Sanusi620.jpg Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor semasa menerima Watikah Pelantikan Menteri Besar Kedah daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Kedah yang ke-14 di Pejabat Tuanku Sultan Kedah, Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, 17 Mei, 2020.
[Ihsan Unit Audio Visual Kerajaan Negeri Kedah]

Parti Islam konservatif dan sekutu UMNO, PAS kembali memegang tampuk kuasa di Kedah, satu pukulan kepada pembangkang kerana negeri utara itu, merupakan kawasan pilihan raya Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz adalah Menteri Besar sehingga dua anggota undangan negeri berpaling tadah dan menyatakan sokongan terhadap perikatan yang memerintah Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Muhammad Sanusi Md Nor telah dilantik sebagai Menteri Besar dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad.

Tiga hari selepas itu, sepuluh Adun Kedah dari gabungan Perikatan Nasional (PN )melalui empat wakil PAS, empat dari BERSATU, seorang (UMNO) dan dua (Bebas) mengangkat sumpah sebagai exco kerajaan negeri memegang portfolio dalam pentadbiran Kedah juga di hadapan Sultan Sallehuddin.

Muhammad Sanusi, 46 yang ditemui media pada Rabu menafikan dakwaan terdapatnya tawaran jawatan exco kepada lima Adun yang dilantik sekiranya mereka menyatakan sokongan kepada PN dan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) Kedah.

“Formula perlantikan ini ditentukan di peringkat Pusat untuk dilaksanakan di Kedah, dengan komposisi itu mengikut ketetapan secara kosensus pimpinan Perikatan Nasional,

“Tiada perbincangan agihan di peringkat negeri dan tiada tawaran seumpama ditawarkan. Mereka bukan lompat parti dan masih dalam parti sama serta dua lagi bebas. Kita dapat kerjasama penuh dari semua parti di Pusat, menyebabkan proses di peringkat negeri lancar,” katanya kepada media.

Selasa lalu, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Adun, termasuk dua Adun dari Parti Keadilan Rakyat [PKR], pimpinan Anwar Ibrahim yang bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, manakala empat lagi dari BERSATU menyusul kemudiaannya.

Tindakan itu, sekaligus menggugat kedudukan Mukhriz, sebagai Menteri Besar dan penguasaan majoriti politik pentadbiran PH di negeri berkenaan.

Kedah sebelum ini dipimpin oleh Mukhriz, yang juga Timbalan Presiden BERSATU dan dilantik sebagai Menteri Besar buat kali keduanya, sebaik sahaja PH memenangi Pilihan Raya Umum pada 8 Mei 2018, yang menyaksikan penguasaan hanya 17 kerusi berbanding 19 sebelum itu.

Hilang majoriti

Mukhriz, yang juga Adun Jitra seterusnya mengumumkan perletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 17 Mei, selepas kehilangan sokongan majoriti yang dibuat melalui undian sulit di hadapan Sultan Kedah yang mengadakan perjumpaan dengan semua Adun pada 15 Mei.

Setiausaha Kerajaan Negeri Ammar Shaikh Mahmood Naim seterusnya memaklumkan pelantikan Adun Jeneri daripada PAS sebagai menteri besar baru apabila Sultan Sallehuddin mendapati Mukhriz tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti dan berkenan menerima peletakan jawatan Menteri Besar berkenaan.

"Saya sudah sembah maklum kepada sultan atas sebab saya hilang majoriti, saya dengan ini meletak jawatan menteri besar berkuat kuasa serta merta," kata Mukhriz pada sidang media di Wisma Darul Aman pada Ahad lepas.

Selain sebagai wakil rakyat BERSATU bagi kawasan dewan undangan negeri Jitra, Mukhriz juga adalah Anggota Parlimen Jerlun manakala bapanya Mahathir memenangi kerusi Parlimen Langkawi, yang semua kawasan itu adalah di Kedah, pada pilihan raya Mei 2018.

Perletakan jawatan sebagai menteri besar adalah yang kedua pernah dibuat Mukhriz, selepas pada 2016 semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional.Mukhriz berkata, pergolakan politik kepartian menyebabkan dua Adun dari PKR meninggalkan PH, menyebabkan hilangnya majoriti pada gabungan BERSATU dan PH di negeri tersebut.

“Empat Adun BERSATU telah menerima arahan daripada Presiden untuk lompat kepada PN, menyebabkan PN mempunyai 23 berbanding 13 kerusi,” dakwa bekas Menteri Besar itu.Perubahan terkini itu sekaligus menyaksikan komposisi kawasan Dewan Undangan Negeri Kedah kini dikuasai oleh PAS yang mempunyai kerusi terbanyak iaitu di 15 kawasan di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Adun Sungai Tiang, Suraya Yaacob menjadi wakil tunggal dari UMNO dan antara tiga pemimpin wanita negeri yang berada dalam barisan exco kerajaan negeri pimpinan Muhammad Sanusi.

Kerajaan PN terbentuk menerusi persefahaman antara BERSATU dan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Malaysia berdepan dengan krisis politik yang membawa kepada kejatuhan Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang memimpin selama 22 bulan, Februari lepas.

Kedah sebelum ini pernah dipimpin oleh PAS, melalui wakilnya Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar dari tahun 2008 hingga 2013.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.