Penggubalan semula peraturan syariah Kelantan tidak akan berjaya, kata Penganalisis

Dewan Undangan Negeri tidak punya bidang kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah lantas akan temui kegagalan.
Iman Muttaqin Yusof
2024.03.11
Kuala Lumpur
Penggubalan semula peraturan syariah Kelantan tidak akan berjaya, kata Penganalisis Orang ramai memegang plakad yang menggesa undang-undang Syariah Kelantan dipertahankan, sambil berdoa di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya, 9 Feb. 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Penggubalan semula 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri Kelantan yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan tidak akan berjaya, kerana negeri itu tidak mempunyai bidang kuasa kesalahan jenayah sekular, kata para penganalisis.

Pakar perundangan juga berkata penggubalan semula undang-undang tersebut seperti yang dipersetujui sebulat suara semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, yang diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah satu langkah yang bakal menemui kegagalan.

"Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang tersebut (jenayah) lantas membuatkan ia tidak dapat dikuatkuasakan," kata Salim Bashir, bekas Majlis Peguam Malaysia kepada BenarNews.

Beliau mengingatkan bahawa sebarang langkah untuk tidak menghormati Mahkamah Persekutuan akan mencetuskan kontroversi membabitkan pemisahan kuasa.

"Mahkamah Sivil dan Syariah mempunyai kuasa dan fungsi masing-masing dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjelaskan had bidang kuasa setiap sistem perundangan berkenaan," tambahnya.

Malaysia mempunyai dwi-sistem undang-undang di mana Mahkamah Syariah menafsir dan melaksanakan undang-undang Islam manakala Mahkamah Sivil mengendalikan kes-kes sivil dan jenayah.

Undang-undang syariah digubal oleh badan perundangan negeri dengan had hukuman lebih rendah manakala Parlimen mempunyai kuasa meluluskan undang-undang Islam bagi peringkat Wilayah Persekutuan, undang-undang sivil dan jenayah.

Februari lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya membatalkan 16 seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (2019) sebagai tidak sah namun keputusan itu memberikan tumpuan kepada soal bidang kuasa badan perundangan negeri dan bukannya kedudukan Islam dan Mahkamah Syariah.

Peraturan yang dibatalkan itu melibatkan kesalahan liwat, gangguan seksual, menawarkan perkhidmatan maksiat, mabuk, sumbang mahram dan memusnahkan rumah ibadat yang telah diterkandung di dalam undang-undang sivil.

Bagaimanapun, DUN Kelantan pada Rabu lalu meluluskan sebulat suara termasuk dua wakil pembangkang usul untuk menggubal semula 16 seksyen yang telah dibatalkan itu.

Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata, usul itu memenuhi tiga syarat iaitu mustahak, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan bagi membolehkan ia dibahaskan.

Pakar undang-undang, Mohd Zainuddin Omar berkata kerajaan Kelantan mempunyai hak untuk meluluskan usul berkenaan tetapi sehingga sekarang masih dalam keadaan 'tunggu dan lihat'.

"Setakat meluluskan usul tidak bermaksud menafikan keperluan untuk membentangkan dan membahaskan rang undang-undang baharu atau melakukan sebarang pindaan dalam Dewan Undangan Negeri," katanya kepada BenarNews.

Lumur garam

Dua negeri di pantai timur Semenanjung, Terengganu dan Kelantan merupakan kubu kuat PAS dengan Terengganu berkedudukan sifar pembangkang.

Parti Islam itu juga melebarkan sayapnya apabila berjaya menguasai dua negeri di utara, Perlis dan Kedah dalam Pilihan Raya Negeri 2023.

Meskipun menolak menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, PAS memiliki Ahli Parlimen teramai.

Penganalisis berpendapat kejutan yang dilakukan oleh parti Islam itu susulan penggunaan sepenuhnya sentimen Melayu-Islam dalam Pilihan Raya Negeri 2023, apa yang dipanggil sebagai 'gelombang hijau'.

Kaum Melayu membentuk 70 peratus daripada populasi Malaysia dengan keseluruhannya beragama Islam manakala Cina mewakili 20 peratus manakala India (6.6 peratus).

Bagaimanapun, bulan lalu, Abdul Hadi Awang, Presiden PAS seperti melumurkan garam pada luka apabila mengeluarkan kritikan terbuka terhadap para ulama, hakim dan Raja-Raja Melayu yang dianggap 'terjajah' susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan sejumlah peraturan dalam undang-undang syariah Kelantan.

"Terlalu banyak bom jangka yang dipasang sehingga ia boleh meletup, yang bertujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa, dan tanah air.

"Sepatutnya, kita menunaikan kewajipan merungkai dan merombak semula ikatan penjajah itu dengan pemikiran kita yang dibebaskan daripada belenggu penjajah.

"Pada masa yang sama, menunaikan kewajipan dengan meletakkan Islam di tempat yang mulia, kerana kedudukannya daripada Allah Yang Maha Besar, tiada sekutu dan bandingan bagi-Nya," kata Abdul Hadi.

Teguran Sultan Selangor

Susulan kritikan beliau, Abdul Hadi, 76, telah diberikan teguran keras dalam sepucuk surat setebal lima muka surat yang jarang dilakukan diutuskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam.

Baginda yang dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi menganggap kritikan tersebut sebagai tidak beradab dan melanggar tatasusila budaya orang Melayu.

Ekoran kenyataan Abdul Hadi itu, polis Malaysia telah mengambil keterangan beliau di Kuala Lumpur minggu lalu setelah menerima beberapa laporan berkenaan kenyataannya.

Penganalisis politik percaya pendirian PAS bersikap ofensif terhadap pihak kehakiman dan Raja-Raja Melayu dalam isu membabitkan Islam dilihat sebagai sebagai strategi politik bagi memastikan ia terus releven.

"PAS fikir mereka adalah penjaga agama dan menganggap orang lain tidak komited mempertahankan Islam.

"Parti itu mempunyai pandangan tersendiri tentang bagaimana Islam ditafsirkan malah pihak Raja-Raja Melayu turut dilihat sebagai tidak serius mempertahankan Islam," kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.

Tunku Mohar berkata PAS dengan mudah menggunakan keputusan Mahkamah Persekutuan tentang keupayaan Dewan Undangan Negeri untuk mewajarkan dakwaan bahawa Islam sedang terancam, seperti yang selalu mereka lakukan sebelum ini.

Sementara itu, Ibrahim Suffian, Pengarah Merdeka Center, sebuah badan tinjauan pendapat Malaysia berkata, topik yang dekat dengan kepentingan teras parti itu seperti mempertahankan Islam merupakan sesuatu yang PAS tidak boleh dilihat lemah dalam mempertahan atau mempromosikan.

“PAS melalui Perikatan Nasional yakin (mereka) mewakili kepentingan politik Melayu. Oleh itu, isu-isu yang dibangkitkan memerlukan perhatian yang sewajarnya dengan kuasa yang ada.

“Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023, PAS dan Perikatan Nasional dianggarkan memperoleh antara 60-65 peratus sokongan Melayu,” katanya kepada BenarNews merujuk kepada gabungan politik berteraskan Melayu yang diketuai bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.