Mahkamah Persekutuan batalkan 16 peraturan Syariah Kelantan
2024.02.09
Kuala Lumpur
Mahkamah tertinggi Malaysia pada Jumaat memutuskan 16 peraturan Syariah di Kelantan adalah tidak berlembagaan kerana melangkaui bidang kuasa persekutuan, dalam satu keputusan yang mampu menjejaskan sistem perundangan Syariah Malaysia, menurut pengkritik konservatif Islam.
Dalam penghakiman majoriti 8-1, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peraturan dibawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan-termasuk meliwat, gangguan seksual, mabuk, sumbang mahram, dan memusnahkan rumah ibadat- sebagai tidak sah dan terbatal.
Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat berkata keputusan itu tidak menyentuh kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia, tetapi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang yang termaktub dalam bidang kuasa persekutuan.
Malaysia mempunyai dua sistem perundangan, yang mana Mahkamah Syariah mentafsir dan mengaplikasi penghakiman undang-undang Islam dan mahkamah sekular mempunyai bidang kuasa dalam soal jenayah dan sivil. Undang-undang syariah diluluskan oleh kerajaan negeri manakala undang-undang sekular diluluskan oleh Parlimen.
Mahkamah Persekutuan memutuskan, hanya dua daripada 18 peraturan Syariah berada di bawah bidang kuasa Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan: menjual atau memberi anak dan perkataan yang boleh menganggu keamanan.
Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang memfailkan petisyen bersama anak perempuannya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman pada sidang media selepas keputusan diumumkan, berkata keputusan berkenaan menunjukkan negeri mesti berhati-hati apabila menggunakan kuasa perundangan mereka.
"Ia menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah tertinggi," katanya pada satu sidang media. "Ia demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia dan tiada kena-mengena dengan doktrin Islam, seperti yang diputuskan oleh mahkamah.
“Ia melibatkan kompetensi dewan undangan negeri. Saya tidak melakukan ini unutk diri saya sendiri tetapi untuk semua rakyat Malaysia, walaupun ketika saya dikutuk, dikeji, dan dilaknat."
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid bercakap kepada media di kompleks Istana Kehakiman di Putrajaya, 9 Feb 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Kira-kira 70 peratus daripada populasi Malaysia adalah Melayu yang kesemuanya dianggap Islam. Etnik Cina merangkumi 22.8 peratus daripada populasi, dan etnik India membentuk 6.6 peratus.
Kelantan, sebuah negeri pendalaman di pantai timur Malaysia dan bersempadan dengan Thailand, ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menyokong tafsiran undang-undang Islam yang lebih tegas dan ketat.
Ribuan orang Islam berkumpul di luar mahkamah di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada pagi Jumaat sebelum keputusan penghakiman dibacakan. Pemimpin-pemimpin pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) juga hadir, dengan laungan "Allahu Akbar" bergema di kompleks mahkamah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan semasa mengulas keputusan itu berkata pihaknya akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk membincangkan perkara tersebut.
"Kita telah pun membentuk jawatankuasa untuk mengkaji dan mendapatkan penghakiman bertulis dan meneliti keputusan-keputusan yang dibuat. Sudah tentu ia tidak akan berhenti di sini," katanya kepada pemberita.
"Ini adalah kebimbangan bukan sahaja bagi kerajaan Kelantan; ia memberi kesan kepada semua negeri dan kerajaan."
Sejurus selepas keputusan penghakiman itu, Menteri Hal-Ehwal Agama Mohd Na'im Mokhtar mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kedudukan "Mahkamah Syariah di Malaysia adalah teguh, dengan statusnya dijamin seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan."
"Beberapa pelarasan kepada rancangan sedia ada akan dilaksanakan selaras dengan penghakiman kes ini,” katanya. “Kami akan melaksanakan semua jalan dan peluang sedia ada untuk memperkasakan Mahkamah Syariah," katanya.
Mengulas mengenai penghakiman itu, bekas presiden Majlis Peguam, Salim Bashir berkata keputusan berkenaan menangani isu pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan sivil untuk kesalahan-kesalahan jenayah di Kelantan.
"Ia tidak bermakna bahawa semua undang-undang jenayah yang diisytiharkan Syariah negeri akan diubah atau dipindahkan; ia masih perlu diuji dalam setiap kes berdasarkan kes-demi-kes," katanya kepada BenarNews.
Penunjuk perasaan melaungkan “Allahu Akbar” sementara menunggu keputusan mahkamah di luar kompleks Istana Kehakiman di Putrajaya, 9 Feb. 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Tiada kaitan
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan tidak ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat, sambil menambah ia hanya terkait soal percanggahan bidang kuasa persekutuan dan negeri.
"Apakah tidak diketahui pemimpin-pemimpin parti pembangkang [Perikatan Nasional]? Mereka tahu tapi hendak gunakan sentimen supaya orang Islam merasakan kerajaan pimpinan Anwar menentang Syariah. [Yang terlibat] Undang-undang Kelantan, yang cabar orang Kelantan yang kebetulan ahli Muafakat Nasional," katanya dalam ucapan di Melaka pada Jumaat.
Ujar beliau, PN semasa menjadi kerajaan tidak membantah perkembangan kes itu ketika ia menjadi isu beberapa tahun dahulu, ketika Nik Elin memulakan cabaran di mahkamah.
Dalam pada itu, UMNO menerusi Majlis Ulama parti itu berkata, undang-undang Syariah termasuk kesalahan jenayah perlu diperkasakan sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
"Majlis Ulama UMNO akan bersidang dan muzakarah pada 15 Februari bagi membincangkan jalan ke hadapan bagi isu ini seterusnya menyampaikan cadangan kepada kerajaan persekutuan untuk tindakan lanjut.
“Dua tokoh akademik undang-undang Islam akan dijemput untuk membentangkan kertas kerja sebagai panduan kepada Majlis Ulama UMNO," kata parti itu dalam satu kenyataan.