Majlis Raja-Raja bersetuju beri perkenan terhadap cadangan pindaan berkaitan undang-undang kerakyatan

Sembilan pindaan masih sama, kekal seperti mana dalam [cadangan pindaan] perlembagaan yang asal, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Noah Lee dan Iman Muttaqin Yusof
2024.07.19
Kuala Lumpur
Majlis Raja-Raja bersetuju beri perkenan terhadap cadangan pindaan berkaitan undang-undang kerakyatan Peserta memegang plakad semasa sidang media mengenai cadangan pindaan kerakyatan semasa satu sidang media di Kuala Lumpur, 7 November 2023.
Photo: Benar

Usaha kerajaan Malaysia untuk membuat beberapa pindaan kontroversi ke atas undang-undang kerakyatan negara itu, yang dikritik aktivis hak asasi dan pakar perundangan kerana akan menyebabkan ribuan kanak-kanak tidak mendapat kewarganegaraan, semakin hampir menjadi realiti selepas ia mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Jumaat berkata jemaah menteri persekutuan telah dimaklumkan mengenai perkenaan raja-raja Melayu pada hari yang sama, dan kerajaan merancang untuk membentangkan cadangan pindaan berkenaan di Parlimen apabila ia bersidang semula pada Oktober depan.

Beliau berkata Majlis Raja-Raja bersetuju memberikan perkenan kepada kesemua cadangan pindaan kerajaan berkaitan undang-undang kerakyatan setelah mereka mendengar pembentangan oleh Kementerian Dalam Negeri semasa persidangannya sebelum ini.

"Sembilan pindaan itu masih sama, kekal seperti mana dalam [cadangan pindaan] perlembagaan yang asal. Kemudian semua pindaan lain yang berkaitan itu yang kita persembahkan kepada Tuanku Majlis Raja-Raja dan diberikan perkenan," kata menteri itu semasa satu sidang media yang diadakan di Putrajaya pada Jumaat.

Sebelum kerajaan boleh membentangkan sesuatu cadangan untuk meminda undang-undang kerakyatan di Malaysia, ia perlu mendapatkan persetujuan daripada Majlis Raja-Raja kerana ia akan turut melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Kata Saifuddin, keputusan majlis berkenaan untuk memberi perkenan kepada cadangan pindaan itu dimaklumkan kepada jemaah menteri pada hari yang sama (Jumaat).

Kerajaan Malaysia sebelum ini dilaporkan merancang untuk membuat beberapa pindaan terhadap undang-undang kerakyatan, termasuk satu cadangan yang akan memberikan wanita warga negara itu hak yang sama dengan kaum lelaki dalam mewariskan kewarganegaraan Malaysia mereka kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Jejas hak kerakyatan

Bagaimanapun, di sebalik cadangan yang dilihat sebagai penambahbaikan, beberapa pindaan yang lain telah mendapat kritikan daripada aktivis hak asasi manusia dan kumpulan masyarakat sivil kerana dikatakan bersifat regresif.

Antara pindaan yang dikhuatiri menjejaskan hak kerakyatan ialah cadangan kerajaan untuk memansuhkan istilah pemastautin tetap, usia perkahwinan dengan isteri warga asing kurang dua tahun hingga kerakyatan boleh terlucut dan pengurangan tempoh umur daripada 21 kepada 18 tahun untuk proses memperoleh kerakyatan.

Sebelum ini, kerajaan juga bercadang untuk memperkenalkan dua pindaan lain yang akan memberikan kesan kepada peluang bayi terdampar, kanak-kanak tanpa kerakyatan dan anak tidak sah taraf untuk mendapat kerakyatan Malaysia.

Ia bagaimanapun telah dibatalkan selepas berdepan tekanan pelbagai kumpulan masyarakat sivil dan pakar perundangan.

Wong Kueng Hui, seorang aktivis dari Sabah dan merupakan bekas individu tanpa warganegara, mendesak kerajaan supaya menggugurkan dua pindaan yang dirancang, iaitu pemansuhan istilah pemastautin tetap dan penggantian istilah 'tarikh perkahwinan' kepada 'tarikh mendapat kewarganegaraan'.

"Secara peribadi saya tidak mempunyai masalah terhadap pindaan Perkara 15A, yang akan menurunkan had umur dari '21 tahun' ke '18 tahun'. Dan saya menyokong penuh pindaan yang membenarkan ibu warganegara Malaysia memberi kerakyatan kepada anak yang lahir di luar Malaysia.

"Selain daripada gugurkan pindaan regresif tersebut, kerajaan wajib melakukan reform di peringkat Jabatan Pendaftaran Negara. Kena ada SOP yang transparensi, jelas dan manusiawi," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu memastikan tiada anak-anak yang keciciran atau dibiarkan tanpa kewarganegaraan, terutamanya di Sabah.

Family Frontiers, sebuah organisasi yang memperjuangkan agar perubahan dibuat ke atas undang-undang kerakyatan yang disifatkan berat sebelah terhadap kaum wanita, dalam satu kenyataan menyambut baik keputusan Majlis Raja-Raja yang akan membolehkan pindaan terhadap perlembagaan dibuat.

Namun, kata kumpulan itu, mereka bimbang dengan nasib ramai kanak-kanak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara sebelum pindaan itu dibuat kerana sifatnya yang tidak retroaktif.

"Ramai kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita warga Malaysia sebelum pindaan ini diluluskan tidak akan mendapat faedah daripadanya, kerana sifat pindaan ini yang tidak retroaktif.

"Kami berharap semua anak-anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara, tanpa mengira bila mereka dilahirkan, akan menjadi warganegara Malaysia satu hari nanti. Kita akan terus membuat usaha untuk menjadikan ia satu realiti," kata Family Frontiers.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.