Anak wanita tempatan lahir luar negara masih ‘di anaktirikan’ walaupun Malaysia sudah 65 tahun Merdeka
2022.08.30
Pulau Pinang
Setiap 31 Ogos, Malaysia akan merayakan Hari Kemerdekaannya dan tahun ini sambutan ulangtahun adalah yang ke-65, sekaligus bermakna telah lebih enam dekad negara terlepas daripada cengkaman penjajah asing, tetapi kemerdekaan yang dikecapi itu tidak memberi makna kepada segelintir wanita tempatan malah mereka sering dikeji hanya kerana berkahwin dengan lelaki asing.
Bukan itu sahaja, anak yang lahir diluar negara oleh wanita Malaysia hidup seperti merempat dan tidak diiktiraf di negara ibu mereka sendiri kerana undang-undang kontroversi dan lapuk Malaysia menghalang pemberian hak kerakyatan secara automatik kepada anak jika bapa mereka bukan warganegara.
Bagi seorang ibu tunggal, Riza Syuhada Sulaiman 34, kewarganegaraan anaknya Keisha Zahra Kurshid Ahmed, tujuh tahun yang berstatus kanak-kanak tanpa negara sangat merisau dan membimbangkannya terutama apabila memikirkan masa depan anak tunggalnya itu.
"Anak saya bukan warganegara sebab walaupun dilahirkan di Australia, dia bukan rakyat negara itu. Dan kerana dia dilahirkan diluar negara, haknya untuk menjadi rakyat Malaysia juga dinafikan,” kata Riza Syuhada yang pernah menetap di Adelaide, Australia sejak 2012.
Keisha adalah anak hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki etnik Rohingya yang berstatus pelarian UNHCR yang dilahirkan di Adelaide semasa beliau bekerja di negara itu.
Riza Syuhada yang berasal dari Pulau Pinang, bagaimanapun telah bercerai dengan suaminya pada 2019 dan sejak daripada itu telah mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia dan membuat permohonan kerakyatan anak kecilnya.
“Setiap kali saya ke pejabat pendaftaran negeri atau di Putrajaya, jawapan yang diterima tetap sama – sila tunggu. Saya rasa macam dianaktirikan, hanya kerana saya seorang wanita.. Darah saya warna masih sama - Masih merah. Saya tetap bekerja menyumbang kepada negara... Saya warganegara tetapi anak yang saya lahirkan masih dinafikan kerakyatan,” kata ibu tunggal itu yang kini bertugas di negeri kelahirannya dan membesarkan anaknya seorang diri.
"Alasan yang diberikan ialah kerana amalan kerajaan yang tidak memberikan status warganegara pada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara seperti anak saya.. sudah 65 tahun kita merdeka, tetapi amalan undang-undang kita masih lagi lapuk.
"Bila mengenangkan perkara ini saya berasa amat sedih, anak tunggal saya Keisha selalu bertanya kenapa dia tidak boleh mempunyai kad pengenalan seperti kanak-kanak lain dan tidak dapat ke sekolah dan belajar bersama rakan-rakannya yang lain.
"Apa yang saya hanya mampu buat adalah memberi alasan kepada anak saya iaitu belum masanya lagi," katanya kepada BenarNews.
Disebabkan itu anak beliau terpaksa bersekolah di sebuah sekolah agama swasta di Balik Pulau kerana tidak mempunyai dokumen yang sah sebagai penduduk tetap negara ini.
Riza Syuhada Sulaiman bersama anaknya Keisha Zahra Kurshid Ahmed di Adelaide, Australia sebelum pulang ke Tanahair pada 2019. [Ihsan Riza Syuhada Sulaiman]
Impian Merdeka
Riza menambah apa yang menjadi kerisauannya lagi ialah masa depan anaknya jika beliau sudah tiada.
"Saya bimbang. Sebagai anak kecil dia masih tidak faham dengan kemelut ini. Banyak soalan yang saya tidak mampu jawab. Kenapa tidak boleh ke sekolah biasa? Kenapa itu dan ini? Sampai bila saya boleh minta dia bersabar, saya sendiri pun tidak tahu” tambahnya lagi.
Riza berkata sempena hari kemerdekaan negara yang ke 65 ini, beliau amat mengharapkan kerajaan Malaysia dapat bertindak secara adil bukan saja terhadapnya tapi ibu-ibu yang senasib dengannya.
"Status dan kewarganegaraan bapa kepada anak itu sepatutnya tidak menjadi penghalang. Biar hak sama rata diberikan kepada anak-anak ini. Saya anak Malaysia. Sayang saya pada negara sama seperti yang lain. Anak saya juga berhak menjadi warganegara negara ini,” kata Riza.
Isu anak tanpa warganegara, anak yang terdampar akibat ditinggalkan dan anak yang tidak sah taraf lahir dan sebagainya bukan isu baru di Malaysia dan tanpa dokumen yang lengkap kesemua mereka berdepan denagn masa depan yang suram dan kesukaran untuk melanjutkan pelajaran, bekerja dan mendapatkan akses kepada kemudahan perubatan serta lain-lain.
Peguam dan pakar perlembagaan Srimurugan Alagan berkata undang-undang sedia yang membezakan hak wanita dan lelaki adalah legasi yang diwarisi sewaktu zaman kolonial dan telah berakar di dalam sistem perundangan negara pada hari ini.
Alasan lemah
Menurut Srimurugan, alasan yang digunakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said sebelum ini yang menyatakan kebimbangan keselamatan negara sebagai alasan untuk menghalang seorang wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing daripada memberi kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara adalah lemah.
"Beliau berkata keadaan itu adalah untuk mengelak isu dua kewarganegaraan dalam kalangan anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia yang mempunyai suami warga asing.
"Ini kerana di negara lain kebanyakan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara akan mengikut kerakyatan bapa mereka.
“Ini adalah satu alasan yang lemah kerana di sesetengah negara, seorang kanak-kanak masih boleh mendapatkan status warganegara melalui ibu mereka, dan mendapat status warganegara melalui ayah mereka,” katanya.
Menurut Srimurugan, pindaan perlembagaan boleh dilakukan jika kerajaan mempunyai kehendak politik yang kuat dan apa yang diperlukan adalah perubahan minda.
Srimurugan berkata jika kerajaan Malaysia masih kekal dengan sikap ini, adalah dikhuatiri nasib anak-anak ini di masa hadapan agak gelap dan tidak menentu.
"Tanpa dokumen, mereka tidak boleh bersekolah, mendapatkan faedah perubatan, malah ada sesetengah kes, anak yang tidak mempunyai dokumen yang sah juga tidak akan diterima untuk belajar di sekolah antarabangsa.
"Ada juga sesetengah kes, mereka tidak dilindungi oleh pampasan insuran kerana masalah dokumen yang meletakkan mereka sebagai tidak mempunyai kerakyatan mana-mana negara," tambah beliau lagi.
Katanya ada lebih kurang 25 negara yang mendiskriminasikan wanita dalam memberikan status kewarganegaraan kepada anak mereka.
Selain Malaysia antara negara yang masih mengamalkan diskriminasi ini ialah Bahamas, Bahrain, Barbados, Brunei, Burundi, Eswatini, Iran, Iraq, Jordan, Kiribati, Kuwait, Lebanon, Liberia, Libya, Mauritania, Nepal, Oman, Qatar, Saudi Arabia, Somalia, Sudan, Syria, Togo dan Emiriah Arab Bersatu.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata di dalam komuniti patriarki seperti Malaysia, kerajaan selalunya memberi keutamaan kepada si bapa dalam hal kewarganegaraan.
Azeem berkata ada usaha untuk keluar dari amalan ini, tetapi setakat ini perubahan masih belum dapat direalisasikan.
"Undang-undang yang mengawal hal kewarganegaraan perlu dilihat semula dan pindaan kepada undang-undang perlu dilakukan dengan mengambil kira isu yang berkaitan dengan kesaksamaan jantina," tambahnya lagi.
Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 telah berpihak kepada kerajaan dalam isu hak kewarganegaraan buat anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara.
Mahkamah mengatakan perkataan bapa yang tertera dalam Perlembagaan harus dibaca secara literal dan bukannya ibu atau ibu bapa.
Ibu-ibu itu yang diwakili gerakan Family Frontiers sudahpun memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan.
Mahkamah telah menetapkan 28 September sebagai tarikh pengurusan kes.