Malaysia Lantik Bekas Ketua Polis Negara Duta Khas

Ray Sherman
2017.09.05
Kuala Lumpur
170905-my-Khalid-1000.jpg Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar (Kanan) bersama Perdana Menteri Malaysia Najib Razak semasa tiba untuk sambutan Hari Polis ke-210 di Kuala Lumpur, 25 Mac, 2017.
AFP

Bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Selasa dilantik sebagai Duta Khas untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.

Khalid juga dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam.  Pengumuman perlantikan bagi kedua-dua jawatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Najib Razak dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pejabatnya pada Selasa.

"Tan Sri Khalid dilantik sebagai Duta Khas bagi  meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha untuk memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.

“Pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas dan hubungan baik Khalid dengan agensi antarabangsa sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara,” kata Najib dalam kenyataan tersebut.

Perdana Menteri berkata, Khalid akan meneruskan wawasan dan misi Prasarana untuk membina dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang bertaraf dunia serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam," kata Najib mengenai pelantikan Khalid sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana.

Khalid, yang bersara pada Isnin, iaitu sehari sebelum hari kelahirannya yang ke-60 pada Selasa, menggantikan Ismail Adam yang tamat perkhidmatannya di Prasarana pada 31 Ogos.  

Pada majlis persaraanya, Khalid berkata beliau berbangga kerana melakukan yang terbaik sepanjang 41 tahun perkhidmatan dalam pasukan polis.

Jawatan Khalid kini disandang bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Mohamad Fuzi Harun, yang berikrar  mahu terus menumpukan usaha memerangi keganasan sebagai agendanya.

Khalid 'popular'

Khalid boleh dikatakan antara ketua polis yang agak "popular", kerana gaya penguatkuasaannya sebagai ketua polis negara sejak 2013, acap kali diserang oleh pihak pembangkang, kerana menyebelahi kerajaan yang memerintah.

Beliau juga sangat aktif dalam media sosial, terutamanya Twitter, sering mengarahkan unit sosial media Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap komen pengguna tertentu yang dianggap menyinggung perasaan sebahagian pihak, dan juga mengucapkan tahniah kepada pasukannya atas kejayaan tertentu.

Di bawah penyeliaan Khalid, tiga skuad khas terbentuk, iaitu Skuad Taktikal Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting).

Khalid juga diselar kerana tidak mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Khalid pernah dilaporkan berkata yang polis Malaysia tidak akan campur tangan dalam kes sivil keatas 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), kerana ia adalah kes sivil.

Khalid pernah mengingkari perintah mahkamah sivil untuk menahan seorang bapa yang membawa lari anaknya dan menukar agamanya kepada agama Islam. Khalid dianggap berat sebelah di dalam kes tersebut.

Beliau berkata isu itu melibatkan mahkamah syariah dan sivil, dan oleh itu, kedua-dua mahkamah tersebut harus bekerjasa untuk menyelesaikannya.

'Bubar unit media sosial Bukit Aman'

Sementara itu, pelukis kartun politik Zulkiflee Anwar Haque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, menggesa Ketua Polis Negara baru Mohamad Fuzi untuk membubarkan unit media sosial Bukit Aman.

"IGP baru perlu membawa pasukan polis ke landasan betul.

"Beliau perlu membubarkan unit media sosial di Bukit Aman dan memberi keutamaan kepada memerangi jenayah dan rasuah," katanya dalam sebuah kenyataan.

Menurutnya, Mohamad Fuzi juga harus membuka semula siasatan 1MDB dan membuat tangkapan tanpa memilih bulu.

Zunar terheret dalam beberapa masalah dengan polis semasa pentadbiran Khalid dan ketua polis itu sering menjadi hasil karya kartunis itu, di mana karikaturnya dilukis sedang menulis tweet dalam telefon bimbitnya.

Pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia K Shamini Darshni juga berharap dibawah naungan Ketua Polis Negara yang baru, pasukan penguatkuasa itu akan meningkatkan akauntabilitinya, terutamanya dalam kes mati dan layanan buruk dalam tahanan.

"Dengan kepimpinan yang baru, PDRM berpeluang membawa proses pasukan tersebut setaraf dengan peringkat antarabangsa.

"Kami juga ingin melihat perbincangan yang lebih bermanfaat antara pihak polis dan gerakan sivil dalam hal-hal yang berkaitan dengan hak asasi manusia, serta perhimpunan awam," Shamini memberitahu BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.