KPN : Tiada Kompromi Terhadap Anggota Terlibat Penyeludupan Manusia

S. Adie Zul
2016.09.21
Sintok, Kedah
160920-my-igp-sabah-620 Anggota keselamatan Malaysia yang bersenjata kembali daripada melakukan rondaan laut di Tanjung Labian berhampiran Lahad Datu, di Kepulauan Borneo, Malaysia, 16 Februari 2013.
AFP

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar memberi jaminan tidak akan berkompromi jika terdapat anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang bersekongkol membenarkan aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin ke negara itu, khususnya ke negeri Sabah yang terletak di kepulauan Borneo.

Beliau berkata, PDRM tidak akan melindungi mana-mana anggotanya yang didapati terlibat dalam rasuah sehingga membenarkan sindiket penyeludupan manusia membawa masuk ratusan pendatang tanpa izin dari Indonesia ke Malaysia melalui pelabuhan sah di daerah Tawau, yang terletak di bahagian tenggara Sabah.

Khalid berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pendedahan media Indonesia – Trans7 menerusi rancangan television bertajuk Kontroversi terbitan syarikat berkenaan yang antara lain mendakwa terdapatnya anggota PDRM terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin dari negara itu melalui jalan laut ke Sabah.

Wartawan dari media berkenaan telah menyamar sebagai pendatang tanpa izin dan mendedahkan bagaimana mereka berjaya melepasi beberapa kawalan keselamatan bermula dengan pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia sehingga dapat menyeludup masuk ke daerah Tawau di Sabah pada waktu siang dengan hanya membayar rasuah terhadap anggota keselamatan.

Dalam klip video itu juga, menunjukkan bot yang membawa pendatang tanpa izin dari negara jiran Indonesia, yang berhasrat mencari pekerjaan di Malaysia, dipintas oleh sebuah bot dengan logo PDRM, tetapi langsung tidak ditahan untuk tujuan pemeriksaan.

Tindakan itu, sekaligus menimbulkan andaian terhadap wartawan berkenaan bahawa anggota polis terbabit telah disogok untuk membenarkan bot berkenaan memasuki perairan Sabah.

Salah seorang daripada anggota sindiket penyeludupan yang ditemubual mendakwa bahawa sangat mudah untuk masuk ke Malaysia secara haram tanpa menggunakan passport. Pihaknya hanya membayar sogokan di antara RM50 dan RM100 kepada pihak berkuasa negara itu yang mengawal  perairan Sabah.

Malah, seorang lagi anggota sindiket penyeludupan manusia yang ditemuramah oleh rancangan tersebut mendakwa, pengurusnya pernah membebaskannya daripada tahanan polis Malaysia dengan membuat bayaran, sambil mendakwa ini adalah perkara biasa di Sabah.

Laporan itu juga menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya empat lokasi di daerah Tawau yang menjadi tempat pendaratan bot yang menyeludup pendatang tanpa izin dari Indonesia ke Sabah.

Khalid menambah PDRM masih belum dapat mengesahkan kesahihan laporan media Indonesia itu dan perkara berkenaan akan dirujuk kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Abdul Rashid Harun.

"Kita tidak akan berkompromi jika ada kakitangan  yang terlibat. Tindakan tegas akan kita ambil samada benar atau tidak. Setakat ini apa yang dilaporkan melalui video yang disiarkan oleh TV Indonesia tu masih belum disahkan,” katanya pada satu persidangan media di Sintok, Kedah pada Rabu.

Klip video itu menjadi viral apabila ianya dikongsi oleh pengguna laman sosial di Malaysia yang mempertikaikan tahap kelonggaran kawalan perairan Sabah yang membolehkan pendatang tanpa izin diseludup masuk secara terang-terangan.

Tawau di bawah ESSCOM

Pendedahan tersebut sekaligus menimbulkan persoalan terhadap tahap kawalan keselamatan di perairan Tawau, yang merupakan satu dari 10 daerah di Sabah yang terletak dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

ESSCOM merupakan kawasan kawalan keselamatan yang meliputi 1,400km kawasan pantai timur Sabah bermula dari Kudat sehinggalah ke Tawau.

Ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak pada 7 Mac 2013 susulan krisis berdarah pencerobohan pengganas Sulu dari selatan Filipina tiga tahun lalu namun ia masih memerlukan penambahbaikan susulan beberapa kejadian penculikan rakyat tempatan dan pelancong asing di pulau-pulau dan perairan Sabah.

Bukan pendedahan pertama

Pendedahan oleh Trans7 tersebut bukan lah yang pertama. Lebih sedekad lalu, sebuah lagi portal dari Indonesia, Liputan.com telah menyiarkan laporan mengenai 'laluan tikus' yang digunakan oleh rakyat negara itu untuk masuk ke Malaysia secara haram.

Pada November 2004, portal tersebut memuatnaik laporan mengenai aktiviti sindiket penyeludupan manusia yang bergiat aktif membawa masuk tenaga kerja Indonesia ke Sabah, khususnya Tawau.

Ia melaporkan bagaimana rakyat Indonesia dari wilayah Kabupaten Nunukan, Kalimantan Timur diseludup masuk ke Tawau menggunakan bot laju sebelum mendarat di 'laluan tikus'.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.