Mayat Kim Diterbangkan Dari Malaysia Selepas Berakhirnya Krisis Diplomatik Dengan Korea Utara
2017.03.30
Kuala Lumpur

Kemaskini pada 23.30 p.m ET - 2017-03-30
Kuala Lumpur bersetuju pada Khamis untuk menyelesaikan persengketaan selama enam minggu dengan Pyongyang dengan menghantar mayat abang tiri pemimpin Korea Utara yang dibunuh ke negara komunis berkenaan sebagai pertukaran bagi sembilan rakyat Malaysia yang terperangkap di sana akibat larangan keluar dari negara itu.
Pada petang Khamis (waktu tempatan), mayat Kim Jong Nam dibawa dalam penerbangan ke Beijing, dan sembilan rakyat Malaysia tidak lama kemudian menaiki pesawat dari Pyongyang menuju ke Kuala Lumpur, kata pegawai Malaysia.
Dua rakyat Korea Utara, yang telah dikenal pasti oleh polis Malaysia sebagai suspek dalam kes pembunuhan itu dan dipercayai bersembunyi di dalam Kedutaan Korea Utara, juga menaiki pesawat yang membawa mayat Kim ke China, kata sumber kerajaan Malaysia kepada BeritaBenar.
Perdana Menteri Najib Razak pada malam Khamis mengumumkan tentang berakhirnya krisis dua hala itu dengan menyatakan bahawa kerajaannya telah memutuskan untuk membenarkan Pyongyang mendapatkan hak penjagaan terhadap mayat Kim, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
"Selepas selesai bedah siasat terhadap mayat mangsa dan menerima surat daripada keluarganya yang meminta supaya mayatnya dikembalikan kepada Korea Utara, koroner telah meluluskan untuk melepaskan mayat itu," kata Najib, yang dalam perjalanan ke India, dalam satu kenyataan susulan siri perbincangan "amat sensitif" di antara kerajaan Malaysia dan Korea Utara.
Najib juga mengumumkan bahawa sembilan rakyat Malaysia, yang telah dilarang ke luar dari Korea Utara, "kini telah dibenarkan pulang ke Malaysia" dan Kuala Lumpur "sekarang membenarkan rakyat Korea Utara untuk meninggalkan Malaysia."
“Secara peribadi, saya bimbang dengan perkara ini dan kami telah berusaha dengan gigih di belakang tabir untuk mencapai kejayaan seperti ini. Banyak halangan dapat diatasi bagi memastikan kepulangan rakyat Malaysia. Keselamatan warganegara kami sentiasa menjadi keutamaan saya," katanya.
Pesawat yang membawa sembilan rakyat Malaysia - tiga kakitangan di kedutaan Malaysia di Pyongyang serta keluarga mereka - mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-kira 5 pagi Jumaat (waktu tempatan).
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menunggu di landasan untuk menyambut sembilan rakyat Malaysia itu beredar turun daripada sebuah jet eksekutif kerajaan Malaysia.
"Kita bersyukur kerana kesemua sembilan rakyat telah kembali kepada kita dengan selamat," kata Anifah
Najib berkata siasatan Malaysia terhadap kes pembunuhan Kim Jong Nam akan diteruskan.
Persoalan tentang siapa yang akan mendapat hak penjagaan mayat Kim Jong Nam, yang disimpan selama beberapa minggu di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur berikutan pembunuhannya di kawasan Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu, adalah penting bagi krisis dua hala itu. Ia menyaksikan kedua-dua negara mengusir duta dan mengenakan larangan keluar terhadap rakyat dari negara satu sama lain.
"Krisis diplomatik telah berakhir," isytihar Najib dalam akaun Twitter beliau.
‘Destinasi akhir NK’
Pada pertengahan bulan Mac lalu, pegawai Malaysia mendedahkan bahawa DNA daripada anak Kim Jong Nam yang tinggal di Macau telah digunakan untuk mengesahkan identiti lelaki yang mati itu. Beliau pada mulanya dikenal pasti oleh Malaysia sebagai Kim Chol yang memegang pasport diplomatik Korea Utara.
Ia masih tidak jelas sama ada isteri dan anak-anak Kim Jong Nam, yang tinggal di Macau, telah bersetuju untuk membiarkan Malaysia menyerahkan mayatnya kepada Korea Utara, atau sama ada Najib, dalam satu kenyataan pada Khamis, sebenarnya merujuk kepada Kim Jong Un sebagai "keluarganya. "
Lewat Khamis, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) yang dikendalikan Korea Utara menerbitkan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara yang mengumumkan tentang berakhirnya kebuntuan diplomatik itu.
Bagaimanapun, seperti mana dalam kenyataan-kenyataan terdahulu yang dibuat oleh pegawai-pegawai Korea Utara berhubung kes itu, kenyataan itu tidak menamakan Kim Jong Nam. Ia hanya merujuk kepada beliau sebagai "warganegara DPRK" yang meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu.
"Memandangkan DPRK telah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan berhubung dengan mayat si mati daripada keluarganya, Malaysia bersetuju untuk memudahkan pemindahan mayat kepada keluarga si mati di DPRK," kata kenyataan bersama itu.
"Kedua-dua negara bersetuju untuk menarik balik larangan perjalanan yang dikenakan ke atas rakyat negara lain itu dan menjamin keselamatan mereka di dalam kawasan masing-masing. Ini akan membolehkan sembilan rakyat Malaysia yang pada masa ini berada di Pyongyang untuk kembali ke Malaysia dan rakyat DPRK di Kuala Lumpur berlepas keluar dari Malaysia, " kata kenyataan itu.
'Mayat berserta 2 suspek’
Rejim tegar komunis Kim Jong Un telah dipersalahkan bagi pembunuhan Kim Jong Nam selepas dia diracun dengan agen saraf yang diharamkan, menurut pihak berkuasa Malaysia, semasa lelaki itu bersedia untuk menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb lalu.
Dua wanita Asia Tenggara telah didakwa sebagai pembunuh bersama dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, dan sekurang-kurangnya tujuh warga Korea Utara dikenal pasti oleh polis Malaysia untuk disoal siasat berhubung kes itu.
Najib sebelum ini telah menuduh ejen-ejen kerajaan Korea Utara sebagai pihak yang bertanggungjawab dengan pembunuhan itu.
Empat suspek Korea Utara, yang telah dikesan oleh kamera CCTV di lapangan terbang berkenaan pada hari pembunuhan itu, telah melarikan diri dari Malaysia, kata polis. Tiga suspek lain adalah termasuk Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara.
Korea Selatan dan Amerika Syarikat juga menyalahkan Pyongyang bagi pembunuhan itu dengan Kim Jong Un dilaporkan telah mengeluarkan perintah tetap mengarahkan pembunuhan abang tirinya itu.
Tetapi Korea Utara dengan tegasnya menafikan perkara itu dan menyelar siasatan Malaysia terhadap pembunuhan itu sebagai satu cubaan untuk memburuk-burukkan Pyongyang.
Seorang pegawai Polis DiRaja Malaysia berdiri di pintu utama unit forensik di Hospital Kuala Lumpur, yang menempatkan mayat Kim Jong Nam, 29 Mac, 2017.