Raja-Raja Melayu Perintah Siasatan 1MDB Diselesaikan Segera

Staf BeritaBenar
2015.10.06
151006-MY-KING620 Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah semasa persidangan Parlimen di Kuala Lumpur. 25 Jun 2013.
AFP

Raja-raja Melayu pada Selasa mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak menyelesaikan dengan segera siasatan berhubung syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati terlibat.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad selepas mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja di Istana Negara, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mesyuarat Ke-239 Majlis Raja-raja Melayu akan bermula selama dua hari pada Rabu di Istana Negara.

Transkrip penuh kenyataan itu dikeluarkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab memberi kerjasama benar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan 1MDB itu berjaya diselesaikan.

Baginda sekalian juga mahu supaya penemuan siasatan itu dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan tentang keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran.

Raja-raja Melayu bertitah bahawa ada rakyat yang memohon baginda sekalian supaya membantu menyelesaikan masalah yang sedang melanda negara ketika ini kerana mereka resah dan bimbang dengan kritikan terhadap kredibiliti dan integriti Kerajaan dalam melaksanakan amanah rakyat untuk mentadbir negara.

Malaysia kini ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional – gabungan beberapa parti politik pelbagai agama dan kaum - yang dipimpin Najib.

Krisis keyakinan

Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu bertitah: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan (berhubung 1MDB), dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.

“Akibatnya, rakyat percaya sama ada secara realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberikan impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia."

Raja-raja Melayu juga bimbang jika isu itu tidak ditangani secara bijak, dan berlarutan serta memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.

“Ia juga dikhuatiri berkemungkinan menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara. Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara.

“Demi memastikan kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Raja-raja Melayu mahu badan penguatkuasaan serta institusi kawal selia seperti Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Badan kehakiman serta badan dan institusi kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.

Pada Julai lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebanyak AS$700 juta dolar dari 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Najib, sebelum pilihan raya umum Malaysia yang diadakan pada Mei 2013.

Najib kemudian menyangkal dakwaan itu dan menafikan sebarang salah laku selain menyifatkan sebagai cubaan sabotaj politik terhadap dirinya.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan dan mendapati dana itu adalah sumbangan dari Timur Tengah, tanpa menyatakan siapa penyumbangnya, untuk apa wang itu digunakan, atau mengapa sejumlah besar wang yang memasuki Malaysia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Media juga melaporkan bahawa dana 1MDB kini menjadi siasatan antarabangsa di Singapura, Hong Kong, Switzerland, Britain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bulan lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah melancarkan satu siasatan tentang pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana 1MDB, namun skop siasatannya tidak diketahui.

Pada 3 Okt lalu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya FBI Amerika Syarikat telah memulakan siasatan ke atas kes 1MDB dan juga Perdana Menteri.

Ketua Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz juga berkata skandal berterusan 1MDB telah menjerut ekonomi Malaysia dan ia perlu diselesaikan dengan telus, sekiranya negara mahu menyaksikan pemulihan nilai matawang Ringgit. (US$1 bersamaan RM4.350)

Dalam pada itu, Raja-raja Melayu turut mahukan para pemimpin Malaysia supaya sentiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

Isu perkauman

"Raja-raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing," menurut kenyataan itu.

Baginda sekalian mengingatkan hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur.

“Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek. Raja-raja Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam harmoni," kata kenyataan itu.

Baginda sekalian difahamkan merujuk kepada perhimpunan Bersih 4.0 yang didominasi kaum Cina pada 29 hingga 30 Ogos lepas, dan dibalas pula oleh Himpunan Rakyat Bersatu anjuran badan bukan kerajaan yang didominasi bangsa Melayu pada 16 September.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.