Malaysia Tutup Pusat Vaksinasi Selepas 200 Petugas Dijangkiti COVID-19
2021.07.13
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa mengambil tindakan menutup sebuah pusat vaksinasi COVID-19 di Selangor selepas lebih 200 petugas didapati positif koronavirus, kata seorang menteri pada hari yang sama negara itu merekodkan kenaikan kes harian mendadak sehingga melebihi angka 11,000, dipercayai disebabkan oleh varian Delta yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Khairy Jamaluddin Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga bertanggungjawab menyelia Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memberitahu yang satu ujian saringan besar-besaran terhadap pasukan petugas vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam itu, telah dibuat selepas dua orang petugas pusat berkenaan dikesan positif COVID-19.
"Ujian ini telah dijalankan pada 10 Julai 2021 melibatkan kesemua petugas. Susulan daripada langkah ini, seramai 204 petugas telah didapati positif. Keputusan ujian telah menunjukkan kesemua yang positif COVID-19 mempunyai load virus yang rendah.
"Sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai keputusan saringan pada pukul 11 malam semalam (12 Julai) daripada makmal, saya telah mengarahkan supaya PPV IDCC ditutup serta merta selama satu hari pada hari ini, supaya kerja-kerja sanitasi dijalankan oleh pihak bomba. PPV IDCC akan dibuka semula pada hari esok," kata Khairy dalam satu sidang media di Putrajaya.
Tambah beliau, pusat vaksin tersebut mempunyai 453 petugas, dan seramai 400 daripada mereka, atau 88 peratus, sudah menerima vaksinasi manakala 12 peratus lagi masih belum mendapat suntikan.
Menyentuh mengenai punca jangkitan di pusat itu, Khairy berkata adalah sukar untuk dipastikan samada ia berlaku di pusat tersebut atau di tempat lain kerana kawasan Lembah Klang kini mempunyai angka kes jangkitan yang amat tinggi.
"Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) menyarankan kepada mereka yang telah hadir bagi vaksinasi di IDCC pada 9 Julai daripada pukul 4 petang untuk memantau gejala selama 10 hari," kata Khairy.
Untuk rekod, Selangor kini mempunyai 47 lokasi pusat pemberian vaksin di serata negeri tersebut, dan Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam merupakan salah satu pusat vaksin mega yang sedang giat menjalankan inokulasi terhadap penduduk Lembah Klang bagi mempercepatkan proses mewujudkan imuniti kelompok terhadap virus COVID-19.
Susulan daripada penularan virus di kalangan petugas, CITF juga telah mengarahkan penjadualan semula semua temujanji vaksinasi di Pusat Konvensyen Ideal pada Selasa, membabitkan 6,000 penerima vaksin dengan kesemua menerima makluman mengenai penutupan sehari pusat vaksinasi tersebut dan diberikan tarikh baharu.
Khairy berkata bahawa pusat tersebut akan dibuka semula pada Rabu dengan semua petugas ditukar dengan pasukan baharu sebagai langkah berjaga-jaga, manakala Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah diarahkan untuk melakukan pemantauan kualiti udara.
"Selain daripada langkah yang diambil di pusat vaksin IDCC itu sendiri, saya juga mengarahkan pusat-pusat vaksin lain untuk terus mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi. Kami sedang mempertimbangkan langkah yang lebih tegas di semua pusat vaksin lain dan ini akan diumumkan dari semasa ke semasa," tegas menteri itu.
Varian Delta
Malaysia pada Selasa merekodkan sejumlah 11,079 kes baharu, bilangan tertinggi sejak negara dilanda pandemik COVID-19 lebih setahun setengah yang lalu dan juga merupakan kali pertama kes harian melebihi angka 10,000.
Bilangan kes tertinggi pernah dicatatkan Kementerian Kesihatan sebelum ini adalah pada 10 Julai iaitu 9,353 kes.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Noor Hisham Abdullah semasa sidang media khas berkata dengan penambahan bilangan kes harian pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 di negara itu adalah seramai 855,949, dengan 125 lagi kes kematian baharu direkodkan, menjadikan bilangan keseluruhan kehilangan nyawa akibat pandemik kepada 6,385.
Jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi turut kekal melebihi 900 kes.
"Bilangan kes aktif setakat jam 12 tengahari Selasa adalah sebanyak 96,236, termasuk 972 pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan 456 yang memerlukan alat bantuan pernafasan," kata beliau.
Negeri Selangor kekal menjadi penyumbang kes harian tertinggi dengan 5,263 kes baharu dicatatkan pada Selasa, diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 1,521 kes, dan Negeri Sembilan dengan 1,033 kes.
Menurut Noor Hisham, peningkatan jumlah kes yang berterusan antaranya adalah disebabkan oleh peningkatan aktiviti saringan secara bersasar, terutama di kawasan yang kini sedang berada di bawah perintah berkurung.
Pihak berkuasa kesihatan juga mempercayai varian Delta yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi turut menyumbang kepada lonjakan kes harian di dalam negara.
Beliau berkata bahawa Perintah Kawalan Pergerakan yang mula dilaksanakan sejak 1 Jun lalu telah berjaya menurunkan bilangan kes harian sehingga ke paras 4,000 kes sehari, akan tetapi, ia kembali meningkat secara mendadak.
"Ada lagi satu faktor iaitu varian baharu. Jika lihat unjuran kita, kita telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang ketat sejak 1 Jun dan dalam tempoh 10 hari, bilangan kes telah diratakan, dari 9,020 kes sehari turun ke paras 5,000 dan 4,000, dan semakin menurun.
"Akan tetapi, sekarang ia meningkat semula. Salah satu faktor peningkatan ialah disebabkan varian dan kita dimaklumkan bahawa varian Delta sekarang adalah varian yang dominan," kata Noor Hisham.
Tambahnya, varian Delta mampu merebak dengan begitu cepat dalam tempoh waktu yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan di antara 5 hingga 8, sekaligus bermakna setiap 100 individu yang dijangkiti mampu menyebarkan virus tersebut kepada 800 orang lain.
Noor Hisham menasihatkan supaya para penduduk Malaysia lebih berhati-hati dengan adanya varian Delta, dan mempraktikkan amalan SOP termasuk pemakaian topeng muka dua lapis dan mengelakkan daripada berada di tempat sesak.