Siasatan Pembunuhan Kim Jong Nam Tidak Teliti, Kata Penguambela

Hadi Azmi
2018.03.15
Shah Alam, Malaysia
180315-MY-kjn-620.jpg Salim Bashir, peguam yang mewakili tertuduh, seorang rakyat Vietnam, Doan Thi Huong, menunjukkan gambar wanita berkenaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, Malaysia, 14 Mac, 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Peguam bagi wanita Vietnam yang kini berdepan dengan prosiding mahkamah mengenai kes pembunuhan Kim Jong Nam di Malaysia, pada Khamis cuba memberi gambaran bahawa penyiasat utama bagi kes itu tidak melakukan kerja yang menyeluruh, ketika peguambela berusaha untuk melepaskan kedua-dua tertuduh daripada hukuman mati.

Semasa pertanyaan berbalas oleh peguam Hisyam Teh Pok Teik, penyiasat Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz mengakui bahawa beliau tidak memeriksa keterangan Doan Thi Huong tentang penginapan wanita itu di lima buah hotel berbeza di Malaysia sebelum kematian Kim pada Februari 2017.

Doan sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bersama dengan seorang wanita lagi yang berasal daripada Indonesia, Siti Aisyah, atas tuduhan membunuh Kim Jong Nam, iaitu abang tiri kepada pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un, dalam serangan senjata kimia di lapangan terbang Kuala Lumpur.

Membaca kenyataan 11 halaman Doan, dan menyoal Wan Azirul, Hisyam memberitahu mahkamah bahawa Doan tinggal di Hotel Concorde Kuala Lumpur dari 3 hingga 5 Januari 2017, dan di Hotel Pearl International Kuala Lumpur dari 4 hingga Februari 6, 2017. Penginapan Doan di kedua-dua lokasi tidak disiasat oleh polis, kata Hisyam.

Pasukan peguambela Doan, mula menyoal Wan Azirul pada petang Rabu, dengan mengemukakan foto-foto dari rakaman CCTV dan fotokopi pendaftaran masuk tetamu hotel, tetapi Hakim Azmi Ariffin memutuskan bahawa bukti itu harus dikemukakan oleh pihak pendakwaraya dalam bentuk asal.

Wan Azirul memberitahu mahkamah bahawa beliau memilih untuk tidak menyiasat hotel pengingapan itu kerana percaya Doan berbohong, walaupun beliau tidak menyatakan bahagian mana kenyataan Doan itu dianggap palsu.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi mahkamah, Hisyam berkata penyiasat utama itu tidak patut menuduh anakguamnya itu berbohong.

"Ini semua tuduhan. Sangat mudah untuk seseorang mengatakan bahawa orang itu dan ini berbohong," kata Hisyam. "Seseorang mesti menghargai bahawa pada masa Doan membuat kenyataannya, dia semata-mata bergantung kepada ingatannya dan tarikh sangat sulit untuk seseorang untuk mengingatinya dengan tepat."

Pada masa itu, dia terpaksa mengingati fakta dari ingatan, kerana polis telah merampas pasportnya, telefon bimbit dan dokumen perjalanan, tetapi bukti yang diperolehi dari hotel menunjukkan dia berkata benar, kata peguam itu.

"Dokumen sokongan yang diberikan kepada kami oleh pelbagai hotel menunjukkan bahawa kenyataan Doan perlu diberi tumpuan dengan disokong oleh bukti lain ... yang tidak disiasat oleh pegawai penyiasat, terutamanya dengan alasan tidak berminat," kata Hisyam.

Perbicaraan itu akan disambung semula minggu depan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.