Perbicaraan Kes Pembunuhan Kim Jong Nam Berakhir

Hadi Azmi
2018.04.05
Shah Alam, Malaysia
180405-MY-Kim-620.jpg Doan Thi Huong, wanita Vietnam yang dituduh membunuh Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dikawal ketat oleh anggota polis Malaysia semasa meninggalkan bangunan mahkamah di Shah Alam, Selangor, 5 April 2018.
AP

Pihak pendakwaan kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara mengakhiri kes pendakwaan setelah memanggil seramai 34 orang saksi sepanjang tempoh perbicaraan selama 39 hari di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor  pada Khamis.

Perbicaraan terhadap kedua tertuduh, Doan Thi Huong, seorang warga negara Vietnam dan Siti Aisyah, rakyat Indonesia itu bermula pada 2 Oktober lepas atas pertuduhan menyapu muka Kim Jong Nam dengan agen saraf VX yang membawa maut.

Kedua-dua mereka berdepan dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Hakim Azmi Ariffin menetapkan tarikh 11 Jun untuk memfailkan hujahan bertulis manakala pendengaran hujah telah ditetapkan pada 27, 28, dan 29 Jun.

Setelah selesai pendengaran, hakim akan menentukan sama ada untuk membebaskan kedua-dua tertuduh atau untuk memanggil kes pembelaan.

Bercakap kepada pemberita semasa mahkamah berhenti rehat, peguambela Doan, Hisyam Teh Pok Teik berkata beliau yakin bahawa pihaknya telah menyampaikan hujah yang kukuh kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak bersalah.

“Kami yakin itu adalah kebenaran,” kata Hisyam.

Peguam itu juga berkata tindak-tanduk anak guamnya selepas kejadian itu memperlihatkan dia berkelakuan normal dan tidak mencurigakan, seperti kembali ke tempat kejadian dua hari selepas berlaku.

“Pihak pendakwaan perlu membuktikan persoalan tentang pengetahuan atau niat,” kata Hisyam sambil menambah,  “Tiada siapa yang tahu cecair itu merupakan senjata yang boleh membunuh melainkan seorang pakar.”

Ketika sesi perbicaraan pada Khamis, peguam bela Siti Aisyah, Gooi Soon Seng, sekali lagi membangkitkan persoalan tentang kaca mata berjenama RayBan yang dikatakan milik Siti Aisyah yang dirampas pihak polis sebelum dapat diperiksa oleh pihak forensik.

Dalam rakaman CCTV yang diambil dari KLIA2 pada hari kejadian, imej gadis yang disyaki sebagai Siti Aisyah kelihatan menyentuh kaca mata tersebut dan Gooi mencadangkan kepada mahkamah bahawa sampel bahan kimia VX di tangan Siti Aisyah mungkin ada pada kaca mata tersebut.

“Jadi kenapa kaca mata itu tidak dihantar untuk dianalisa?” kata Gooi kepada pemberita.

Kaca mata itu ada direkodkan dalam senarai barang-barang yang dirampas daripada Siti Aisyah oleh pihak polis, namun tidak direkodkan dalam senarai barang-barang yang diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia.

Selain daripada itu Gooi juga mempersoalkan tindakan pihak polis memusnahkan sampel baju yang dipakai oleh Siti Aisyah yang disyaki terdapat kesan bahan kimia VX.

Pada sesi yang sama, Ketua Makmal Pusat Analisis Agen Kimia, Jabatan Kimia Malaysia  S. Raja memberitahu mahkamah bahawa garis panduan jabatan beliau tidak membenarkan sampel dimusnahkan selagi kes masih berlangsung.

“Jadi kini pihak pembelaan telah terkesan dan kami tidak dapat membuktikan bahawa bahan kimia itu bukanlah VX,” kata Gooi lagi.

Pihak pendakwaan gagal tunjuk motif

Kedua-dua peguam bela kepada Doan dan Siti Aisyah turut menegaskan bahawa pihak pendakwaan gagal menunjukkan sebarang motif pembunuhan kerana penyiasatan kes berlaku secara tidak menyeluruh dan juga empat saksi dari Korea Utara berjaya melarikan diri.

Hisyam memberitahu pemberita bahawa pembelaan Doan terkesan dengan ketiadaan dua orang warga Korea Utara yang disebutnya dalam kenyataan beliau kepada pihak polis, iaitu Mr. Y dan Hanamori.

“Kita tidak dapat menyoalbalas mereka dan menyoal penglibatan mereka dalam kes ini,” kata Hisyam.

Gooi terus menyoal kenapa saksi-saksi penting itu dibenarkan pulang ke negara asal oleh pihak pendakwaan.

“Kami mengatakan motif pembunuhan ini berkaitan dengan politik, dan mungkin ia merupakan satu pembunuhan politik,” kata Gooi.

Sepanjang perbicaraan, Gooi membawa bukti kepada mahkamah bahawa kedutaan Korea Utara ada terlibat secara langsung dengan kes ini.

“Jika mereka masih ada di sini kita pasti dapat membuktikan motif kes ini adalah politik semata-mata dan bukannya motif lain,” tambah Gooi.

Prosiding mahkamah pada 20 Mac, 2017 menyaksikan saksi utama pendakwaan, pegawai penyiasat utama kes, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz ketika disoal balas bersetuju bahawa empat ejen Korea Utara yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Kim namun menghilangkan diri, juga perlu dibicarakan.

Polis telah mengenal pasti empat lelaki itu sebagai Ri Ji Hyon (alias Mr Y), Ri Jae Nam (alias Hanamori), Ri Ji-u (alias James) dan Hong Song Hac (alias Chang) yang berjaya melarikan diri dari Kuala Lumpur beberapa jam selepas pembunuhan Kim.

“Adakah anda setuju dengan saya bahawa empat lelaki Korea Utara, Encik Y, Hanamori, James dan Chang sepatutnya berada di sini dan duduk di dalam dok ini?" soal Hisyam kepada Wan Azirul. "Jawapan anda sangat penting, seluruh dunia mahu tahu jawapannya."

"Saya setuju," jawab Wan Azirul.

Doan dan Siti Aisyah didakwa membunuh Kim Jong Nam di balai berlepas, Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 pada kira-kira 9 pagi, 13 Februari 2017.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.