Rampasan Dadah Terbesar, Kokain RM2.4 Bilion ditemui di Pulau Pinang
2019.09.20
Kuala Lumpur, Malaysia
Pihak berkuasa Malaysia merampas 12 tan dadah jenis kokain bernilai kira-kira RM2.4 bilion (AS$580 juta) di Pulau Pinang pada 10 September lalu, menjadikannya rampasan dadah terbesar di negara itu.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberitahu media pada Jumaat bahawa dadah itu yang dicampur bersama arang batu dari negara Latin Amerika dibawa masuk melalui Pelabuhan Butterworth bulan lepas.
Menurut beliau, sepasukan polis dari Bukit Aman menjumpai dadah tersebut yang dicampur dengan arang dalam 60 guni dari tiga buah kontena dalam satu operasi khas yang dinamakan ‘Ops Eagle’.
Kokain merupakan dadah simulasi yang kuat dan sering digunakan sebagai dadah rekreasi. Ia biasanya diambil dengan menyedut serbuk, dihisap asapnya atau dicairkan dan dicucuk dengan jarum ke pembuluh darah.
Menurut Hamid mencampurkan dadah dengan arang merupakan modus operandi baru sindiket dadah antarabangsa dalam usaha mereka untuk mengelak aktiviti penyeludupan itu dihidu pihak berkuasa.
“Kami baru-baru ini berjaya mengenalpasti sindiket dadah antarabangsa yang terlibat dalam penyeludupan kokain menggunakan Malaysia sebagai pusat transit sebelum dadah itu dihantar ke negara ketiga. Mereka cuba untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan kaedah baru dengan mencampurkan dadah itu dengan arang yang menyebabkan ianya susah untuk dikesan melalui teknologi dan cara konvensional.
“Walaubagaimanapun Alhamdulillah, dengan kerja kuat dan pengalaman pegawai dari Jabatan Kimia, kami berjaya mengesan dadah itu,” kata Hamid dalam satu sidang media di balai polis Bayan Baru di Pulau Pinang pada Jumaat.
Menurut Hamid berat awal bahan yang dirampas itu adalah 60 tan sebelum Jabatan Kimia berjaya mengesahkan kehadiran dadah dalam kandungan arang dan jumlah sebenar kandungan dadah dalam arang tersebut.
Kata Hamid lagi, nilai dadah yang dirampas adalah berdasarkan nilai pasaran bagi dadah tersebut yang antaranya bernilai RM200,000 (AS$47,964) bagi setiap satu kilogram.
Dalam operasi tersebut, Hamid berkata polis turut menangkap seorang lelaki warga tempatan berumur 29 tahun yang berperanan mengendalikan kontena yang mengandungi dadah itu.
Maklumat lanjut berkenaan kes tersebut masih lagi dalam siasatan kata Hamid bila diminta mengulas mengenai tangkapan terhadap lelaki berkaitan.
Lelaki terbabit kini ditahan reman selama 14 hari sehingga 23 Sept bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
Mengulas lanjut Hamid berkata, campuran arang dan kokain itu berjaya mengaburi kehadiran kokain dalam campuran berkenaan kerana anjing pengesan K9 milik polis juga tidak berjaya menghidu dadah tersebut.
“Dadah itu berjaya dikesan menggunakan sebuah mesin baru yang diperolehi Jabatan Kimia baru-baru ini,” tambah Hamid.
Ketua Pengarah Jabatan Kimia Zaini Abdul Rahman, yang turut hadir pada dalam sidang media berkenaan berkata, hanya satu mesin seperti itu wujud di Malaysia setakat ini.
“Mesin itu diperolehi baru-baru ini selepas Kementerian Hal Ehwal Ekonomi meluluskan peruntukan pembeliannya,” tambah beliau.
Zaini walaubagaimanapun enggan mendedahkan nama peralatan pengesan itu tetapi berkata ianya sangat mahal dan merupakan teknologi yang terbaru yang boleh mengesan kandungan dadah yang peralatan lain yang sebelum ini tidak boleh.
“Jabatan hanya mempunyai satu sahaja peralatan ini. Saya ingin memberitahu bahawa teknologi baru ini yang membolehkan kita mengesan dadah, yang tidak boleh dikesan oleh peralatan biasa yang kita guna sebelum ini,” kata Zaini.
Menurut Hamid rampasan kokain kali ini adalah yang kedua dan melibatkan kuantiti yang besar dengan rampasan pertama seberat 3.2 tan bernilai RM674 juta [AS$161juta] di Selangor pada 15 Ogos lepas.
Katanya dalam semua rampasan yang dibuat oleh jabatan kastam dan polis mendapati kesemua dadah jenis kokain itu berasal dari Amerika Latin dan siasatan sedang dijalankan untuk memastikan kedua-dua kes tersebut mempunyai kaitan dan didalangi sindiket sama.
Selain daripada itu, Hamid turut berkata dari Januari sehingga September tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah lain bernilai RM285.92 juta (AS$68.57 juta).
“Pihak jabatan turut berjaya menangkap 130,928 suspek berkaitan pelbagai kesalahan dadah termasuk 19,568 bagi kesalahan mengedar manakala 48,469 kerana kesalahan memiliki dadah,” tambah beliau.
Peningkatan strategi pembenterasan
Geshina A Mat Saat, pakar kriminologi dari Universiti Sains Malaysia berkata kejayaan rampasan oleh pihak berkuasa Malaysia itu adalah kerana adanya peningkatan surveilan dan strategi pembenterasan jenayah yang dibuat.
“Dengan peningkatan kawalan dan strategi dalam membenteras jenayah yang dilakukan, lebih banyak produk seperti ini berjaya dikesan menggunakan kaedah sebegini.
“Jadi peningkatan dalam jumlah tangkapan atau rampasan adalah kerana berlakunya peningkatan kawalan serta strategi membenteras jenayah dan bukannya disebabkan peningkatan dalam permintaan,” kata beliau kepada BeritaBenar.
Geshina berkata salah satu cara untuk menghalang sindiket daripada terus menggunakan Malaysia sebagai transit adalah dengan melakukan semakan yang lebih terperinci terhadap manifesto penghantaran, bil pendaratan, pesanan dan kertas kerja yang lain.
Kebelakangan ini rantau Asia menjadi destinasi kokain dan transit bagi kartel dadah dari Amerika Selatan kerana pasaran tradisi di Amerika dan Eropah sudah tepu.
Menurut laporan media sindiket dadah sedang meningkatkan aktiviti mereka di rantau ini bagi pasaran dadah jenis kokain yang turut memfokuskan kepada pasaran di China.