Bekas kubu komunis Malaysia di Thailand dijadikan kawasan tarikan pelancongan
2025.01.15
Chulabhorn Pattana 12, Narathiwat, Thailand

Chulabhorn Pattana 12, sebuah kampung di selatan Thailand berhampiran Malaysia, pernah menjadi kubu kuat pemberontak komunis Malaysia, namun veterannya yang tinggal dan keturunan mereka telah mengubahnya menjadi destinasi pelancongan.
Kampung itu, yang terletak di Narathiwat, sebuah wilayah di selatan Thailand yang majoritinya Melayu Muslim, mempunyai populasi sekitar 500 orang dan menjadi kediaman kepada kira-kira sedozen bekas anggota Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) dan keluarga mereka.
Semasa pemberontakan komunis, sayap tentera PKM menggunakan wilayah itu sebagai pangkalan untuk operasi merentas sempadan ke Malaysia. Kini, keturunan bekas komunis menjadi pemandu pelancong dalam aktiviti ekopelancongan dan lawatan sejarah yang berkaitan dengan pemberontakan Malaysia, yang berakhir dengan perjanjian damai pada 1989.
"Semasa perang, propaganda menggambarkan komunis sebagai raksasa yang menggunakan manusia untuk membajak sawah dan memakan daging manusia," kata Sanya Boonkerd, 66, seorang veteran PKM yang juga dikenali dengan nama perjuangannya, Kawan Abdi.
Sanya menyertai parti pada usia 14 tahun, tertarik dengan keinginan untuk pengembaraan dan senjata api. Sepanjang 20 tahun berikutnya, beliau berkhidmat sebagai penterjemah, menghubungkan bahasa Melayu dan Thailand untuk komunikasi parti.
"Selepas mempelajari ideologi dan berkhidmat untuk rakyat, saya memutuskan untuk tidak meninggalkan parti," katanya.
Chulabhorn Pattana 12 masih mengekalkan elemen-elemen piawaian komunis yang pernah mentakrifkannya, khususnya semangat komuniti, penekanan pada kesamarataan dan penghormatan terhadap alam, kata bekas ahli PKM.
"Sejarah kami adalah sebahagian daripada siapa kami," kata bekas pejuang Waisaiton Wani, 57, kepada BenarNews.
"Kami telah menyesuaikan diri dengan kehidupan moden, tetapi kami tidak melupakan perjuangan yang membawa kami ke sini."
Sanya Boonkerd, yang berkhidmat sebagai penterjemah selepas menyertai Parti Komunis Malaya pada usia 14 tahun, menceritakan sejarah parti di hadapan muzium sejarah kampung tersebut, 30 Disember 2024. [Arifeen Paehohele/BenarNews]
Akar Parti Komunis Malaya bermula pada era penjajahan British dan apa yang dikenali sebagai Malaya pada masa itu. Ditubuhkan pada tahun 1930, parti ini berusaha untuk menggulingkan pemerintahan British dan mencapai kemerdekaan.
Semasa Perang Dunia II, parti tersebut bersekutu dengan pasukan British menentang penjajah Jepun, tetapi ketegangan kembali tercetus selepas perang. PKM melancarkan perjuangan bersenjata, membentuk Tentera Pembebasan Nasional Malaya (MNLA).
"Ideologi komunis berakar pada kesamarataan dan kepelbagaian," kata Apisit Binza, 37, seorang keturunan pejuang PKM.
"Dalam Rejimen ke-10, orang Melayu adalah majoriti, tetapi pergerakan ini turut melibatkan ahli daripada kaum Cina, India dan bahkan Jepun. Mereka semua berkongsi matlamat yang sama – mengusir imperialisme British."
PKM berdepan dengan tindakan keras apabila pihak berkuasa British mengisytiharkan darurat pada 1948 dengan mengerahkan pasukan tentera bagi menentang pemberontakan itu.
Rejimen ke-10 mencari perlindungan di hutan tebal di Pahang – yang kini merupakan sebuah negeri di Malaysia selepas penjajahan – bergantung pada pengetahuan mereka mengenai medan untuk meneruskan perjuangan mereka.
Melarikan diri
Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, PKM menghadapi tindakan keras daripada kerajaan baharu.
"Ramai antara kami mencari perlindungan di Thailand akibat penganiayaan. Bahkan rundingan damai seperti Rundingan Baling pada 1955, gagal kerana kerajaan Malaya enggan mengiktiraf kami sebagai pergerakan politik yang sah," imbas Sanya.
Menjelang akhir 1980-an, dengan jumlah dan sumber yang semakin berkurang semasa fasa kedua pemberontakan komunis, PKM mencari penyelesaian damai bagi konflik bersenjata tersebut.
Sebuah papan tanda menyambut pelawat ke Chulabhorn Pattana 12 di wilayah Narathiwat, Thailand, 30 Disember 2024. [Arifeen Paehohele/BenarNews]
Titik perubahan berlaku pada 1989 dengan Perjanjian Damai Hat Yai dengan Thailand menjadi orang tengah. Perjanjian itu menawarkan dua pilihan kepada ahli PKM – kembali ke Malaysia atau menetap di Thailand dengan mendapat tanah dan janji kewarganegaraan.
Rejimen ke-10 dibubarkan dan sebuah penempatan dikenali sebagai Chulabhorn Pattana 12 dibuka untuk menempatkan bekas anggota PKM dan keluarga mereka. Pada mulanya ia dinamakan kampung Rattana Kitthi sebelum ditukar nama sempena nama Puteri Chulabhorn Walailak, anak perempuan bongsu Raja Bhumibol Adulyadej dan Permaisuri Sirikit, mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengintegrasikan bekas pejuang komunis itu ke dalam masyarakat.
Sekitar 350 bekas ahli PKM yang terdiri daripada 140 keluarga membuka kampung tersebut.
"Bapa saya berkata bahawa selepas perjanjian damai dicapai, Rejimen ke-10 memilih untuk meletupkan dan membuang senjata mereka daripada menyerahkannya kepada kerajaan Thailand atau Malaysia," kata Apisit, yang bapanya antara mereka yang tinggal di sini.
"Bagi beliau dan ramai yang lain, tinggal di sini melambangkan permulaan baharu dan peluang untuk memelihara maruah kami," kata Apisit, yang kini merupakan pengerusi Perusahaan Pelancongan Komuniti.
Cabaran
Peralihan daripada kehidupan sebagai anggota gerila kepada kehidupan sivil tidak berlaku tanpa cabaran.
"Selama berbulan-bulan lamanya, kami hidup secara bermasyarakat sambil membina rumah kami. Kerajaan menyediakan setiap keluarga dengan 15 rai (2.4 hektar) tanah, sebuah rumah kecil, dan 3,000 baht," kata Waisaiton. "Kami terpaksa belajar menanam pokok getah untuk mencari nafkah dan menghantar anak-anak kami ke sekolah."
Keluasan satu rai adalah 1,600 meter persegi manakala 3,000 baht bersamaan kira-kira AS$86.
Waisaiton, yang menyertai PKM pada usia 14 tahun selepas kehilangan ibunya, menggambarkan kesulitan yang dihadapi pada peringkat awal tetapi mengakui bahawa ikatan persahabatan antara bekas pejuang membantu mereka untuk menyesuaikan diri.
"Ikatan yang kami bina di hutan terus berlanjutan dalam kehidupan baharu kami," katanya.
Waisaiton Wani, 57, seorang bekas ahli Parti Komunis Malaya yang bekerja sebagai pembantu rumah menetap di Chulabhorn Pattana 12, Selatan Thailand, 30 Disember 2024. [Arifeen Paehohele/BenarNews]
Hari ini, Chulabhorn Pattana 12 dikenali dengan keindahan alam semulajadi dan kepentingan sejarahnya.
Dikelilingi hutan lebat, kampung ini telah menjadi destinasi popular untuk ekopelancongan yang melibatkan penginapan sederhana, pendakian alam melalui hutan, perjalanan rakit di Sungai Saiburi atau pencarian harta karun.
"Mendulang emas adalah mata pencarian alternatif bagi sekitar 80 keluarga di sini," kata pemandu pelancong, Soufian, 20, yang datuknya adalah ahli PKM dan ibu bapanya tinggal di kampung ini.
"Kami menggunakan kaedah tradisional untuk melindungi alam sekitar dan emas yang kami temui dijual dengan harga sekitar 2,500 baht [AS$72] pergram."
Komuniti itu juga mengendalikan sebuah muzium yang mempamerkan artifak dari era PKM termasuk peralatan yang digunakan, senjata dan barang-barang peribadi. Makanan pelawat dihidangkan dalam bekas buluh, mencerminkan teknik survival hidup dalam hutan yang digunakan oleh PKM pada satu ketika dahulu.
"Makanan dan artifak ini mengingatkan kami tentang perjuangan pada masa lalu, tetapi ia juga melambangkan sejauh mana kami telah berkembang," kata penduduk kampung, Prasert Boonkerd.
Imbangi sejarah, kehidupan modern
Walaupun kampung ini bertahan melalui pelancongan, ia tetap erat dengan akar sejarahnya. Bekas pejuang memainkan peranan aktif dalam memelihara legasi komuniti, berkongsi cerita dengan pelawat dan membimbing generasi muda.
"Ramai pelancong datang dengan tanggapan yang telah dibentuk mengenai komunisme," kata Prasert. "Selepas melawat, mereka mendapat pemahaman baharu tentang pengorbanan kami dan prinsip-prinsip yang kami perjuangkan."
"Sejujurnya, beberapa cerita menggambarkan komunis sebagai kejam dan tanpa belas kasihan, yang boleh mengecewakan. Tetapi hari ini, saya berbangga dengan pengorbanan yang dibuat oleh bapa saya dan orang-orang tua komuniti ini," kata Prast.
"Komuniti dan kampung ini wujud sepenuhnya kerana pengorbanan mereka."
Hari ini, golongan muda bekerja sebagai pemandu pelancong, keluarga memperoleh pendapatan daripada pelancongan dan anak-anak bersekolah yang dahulunya mustahil semasa tahun-tahun konflik.
"Pelancongan telah membawa kestabilan dalam kehidupan kami," kata Prasert. "Kami telah mengubah medan perang menjadi mercu tanda keamanan dan kemajuan."