Konvensyen pertama Kerajaan Perpaduan bukti kerjasama kukuh, kata PM Anwar

Penganasisi bagaimana pun berkata, Pilihan Raya Negeri di enam negeri jadi penentu kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan terutamanya semasa rundingan agihan kerusi.
Iman Muttaqin Yusof
2023.05.15
Kuala Lumpur
Konvensyen pertama Kerajaan Perpaduan bukti kerjasama kukuh, kata PM Anwar Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang pertama kali diadakan dihadiri oleh ahli-ahli parti gabungannya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, 14 Mei, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menganjurkan konvensyen bersama yang dihadiri ahli-ahli parti gabungan buat julung kali pada hujung minggu, satu langkah disifatkan para penganalisis bertujuan untuk membuktikan wujudnya perpaduan, di sebalik desas desus berlakunya perpecahan dalaman, selain persiapan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal ditandingi sebagai sebuah blok.

Anwar yang mengetuai blok terbesar dalam pentadbiran perpaduan itu, pada Isnin menegaskan konvensyen tersebut membuktikan sebarang usaha untuk melemahkan gabungan berkenaan tidak akan berhasil.

“Perhimpunan Konvensyen Perpaduan yang berlangsung pada Ahad adalah pengukuhan jelas bahawa ini adalah Krajaan yang kukuh. Pada awal pembentukannya terdapat macam-macam percubaan (untuk merampas kuasa) dengan mengemukakan Akuan Bersumpah yang sampai kepada Yang di-Pertuan Agong.

“(Kini) komitmen yang ditunjukkan oleh ketua-ketua parti yang membentuk Kerajaan begitu jelas pada konvensyen dan dengan pengesahan ini, sebarang usaha untuk mensabotaj Kerajaan tidak akan dilayan,” ujarnya dalam satu perjumpaan dengan para kakitangan Jabatan Perdana Menteri pada Isnin.

Konvensyen sehari, yang dihadiri oleh lebih 10,000 delegasi dari pelbagai parti komponen termasuk gabungan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Anwar, gabungan Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO, serta blok parti dari Kepulauan Borneo, melakar sejarah apabila buat kali pertama Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Anwar berhimpun dalam dewan keramat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), yang juga ibu pejabat UMNO.

Agihan kerusi

Tatkala para pemimpin parti-parti komponen melaungkan “dulu lawan, kini kawan” bagi meyakinkan para pengundi mengenai kestabilan kerajaan, para penganalisis menyifatkan PRN di enam negeri akan menjadi ujian pertama kepada kerjasama yang dibentuk, apabila mereka merundingkan agihan kerusi bagi menewaskan blok pembangkang Perikatan Nasional.

Syaza Shukri, professor madya dalam bidang sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, signifikan terhadap konvensyen itu adalah untuk menghantar isyarat kepada khalayak pengundi bahawa kepimpinan serius untuk membentuk komitmen yang jitu di antara satu sama lain.

“Untuk matlamat itu, saya fikir ia berjaya kerana mesej yang disampaikan adalah kuat dan jelas bahawa parti-parti terlibat bersedia mengetepikan pelbagai perbezaan yang lalu,” ujar Syaza kepada BenarNews.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada November lalu, Pakatan Harapan memenangi 82 daripada 222 kerusi Parlimen yang ditandingi, seterusnya membentuk gabungan dengan bekas seteru politiknya, UMNO, yang sekadar memenangi 30 kerusi, bagi menubuhkan kerajaan.

Setelah ditewaskan pada dua PRU yang lalu oleh Pakatan Harapan yang diketuai oleh Parti Keadilan Rakyat, UMNO - yang telah memerintah Malaysia selama enam dekad – kini hanya menguasai bilangan kerusi yang kecil, namun amat penting kepada kerajaan gabungan pimpinan Anwar.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun telah melantik Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dibicarakan di mahkamah atas pertuduhan rasuah dan Fadillah Yusof dari Parti Persaka Bumiputra Bersatu Sarawak sebagai Timbalan Perdana Menteri, dengan Anwar turut memberikan enam jawatan Kabinet kepada UMNO, termasuk beberapa portfolio penting.

Pada konvensyen berkenaan, Anwar melahirkan penghargaannya kepada pemimpin-pemimpin parti, dengan menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebagai sebuah “usaha kolektif”, sambil memuji Zahid, yang diarahkan membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram oleh mahkamah – dengan mengakui komitmen jitu Presiden UMNO itu membolehkan Kerajaan Perpaduan dibentuk.

“Zahid adalah salah seorang pemimpin yang teruk diserang, termasuklah saya, namun saya ingin menegaskan di sini, tanpa komitmen beliau sebagai Presiden UMNO dan juga sokongan Ahli-Ahli Parlimen dari UMNO, sejarah politik negara kita akan berlainan,” ujarnya dalam ucapan di konvensyen yang berlangsung di ibu pejabat UMNO, parti yang telah memecatnya 25 tahun yang lalu.

Walaupun UMNO kelihatan cuba memperlihatkan pendirian yang bersederhana dengan membentuk gabungan dengan Pakatan Harapan, Azmil Mohd Tayeb, professor madya di Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia percaya langkah itu tidak akan disambut dengan baik oleh para pengundi Melayu serta ahli akar umbi parti itu.

Pada Khamis, Zahid menyeru UMNO untuk menjunjung gerakan progresif dan menolak politik negatif, sambil mengingatkan para ahlinya mengenai sejarah asal usul penubuhan parti itu yang bertunjangkan kepada sebuah gerakan murni.

“Langkah UMNO mengambil pendirian bersederhana adalah keputusan yang baik namun saya tidak fikir ia akan diterima baik di negeri-negeri majoriti Melayu di mana masih ada keperluan untuk parti-parti politik mempertahankan hak-hak Melayu dan Islam,” ujar Azmi kepada BenarNews.

“Menonjolkan imej yang lebih sederhana mungkin akan membantu UMNO supaya lebih diterima oleh para penyokong Pakatan Harapan. Bagi UMNO sendiri, malangnya ia tidak selari dengan apa yang dihasratkan oleh akar umbi. Ramai di kalangan mereka telah mengalihkan sokongan pada PRU yang lalu. Tidak nampak sokongan mereka telah kembali (kepada UMNO).”

Tinggalkan UMNO

Dalam satu hantaran di media sosial pada Ahad, bekas pemimpin kanan UMNO, Annuar Musa berkata kehadiran parti-parti lain, khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP), salah sebuah komponen Pakatan Harapan, akan menyebabkan lebih ramai ahli UMNO meninggalkan parti itu.

“Kehadiran pendokong gerakan sosialis, liberal, kumpulan DAP di WTC KL hari ini akan menyebabkan berjuta orang, termasuk ahli-ahli UMNO, untuk terus meninggalkan UMNO dan UMNO akan ditolak oleh rakyat pada pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.

Dalam responnya, pemimpin kanan UMNO, Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan Annuar yang disifatkannya sebagai tidak berasas, sambil menegaskan UMNO kekal komited untuk mempertahankan kerajaan perpaduan.

“Beliau sangat marah apabila ramai pemimpin DAP memasuki Dewan Merdeka di WTC KL. Beliau mendakwa ramai ahli UMNO akan meninggalkan parti. Namun, kita tidak mendengar mana-mana ahli meninggalkan UMNO selepas kita menyertai Kerajaan Perpaduan,” ujar Puad dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

James Chin, penganalisis politik dari Universiti Tasmania, berkata PRN yang akan berlangsung di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menjadi medan ujian kepada penyatuan Kerajaan Perpaduan serta kemampuannya untuk bertahan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

“Saya menjangka rundingan agihan kerusi akan tegang di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu, di mana Pakatan Harapan dan UMNO mencatatkan prestasi yang buruk.

“Rundingan juga kelihatan sukar bagi negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang yang menjadi kubu kuat Pakatan Harapan,” ujarnya kepada BenarNews.

Bagaimanapun, penganalisis Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya percaya, ‘gelombang hijau’ yang memberikan kemenangan besar kepada PAS para PRU lalu, tidak lagi begitu kuat dalam PRN yang dijangka berlangsung pada Julai atau Ogos depan.

“Saya fikir gelombang hijau tidak akan sekuat pada PRU lalu kerana ia terhad di negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan,” ujarnya kepada BenarNews.

“Ini berdasaran kepada isu kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin-pemimpin Bersatu, yang kelihatan menjejaskan reputasi dan imej mereka, sekaligus akan memberi kesan kepada populariti Perikatan Nasional,” jelasnya lagi.

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang dalam laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.