Pertikaian Diplomatik Berhubung Kematian Kim Uji Had Hubungan Malaysia – Korea Utara

SC Lei
2017.02.22
Kuala Lumpur
170222-MY-NK-bilateral-1000.jpg Ri Tong Ill, jurucakap Kementerian Luar Korea Utara, pada sidang berita semasa mesyuarat ASEAN di Kuala Lumpur, 6 Ogos, 2015.
AFP

Pertikaian diplomatik berikutan dakwaan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Malaysia kini menguji hubungan dua hala yang sekian lama terjalin dan membangkitkan persoalan sama ada Kuala Lumpur akan memutuskan hubungannya dengan Pyongyang.

Sesetengah penganalisis membuat spekulasi bahawa Malaysia boleh mengusir diplomat Korea Utara di Kuala Lumpur jika Pyongyang enggan menyerahkan seorang diplomat yang dicari oleh pihak polis untuk disoal siasat berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam.

"Saya tidaklah menjangka hubungan itu menjadi teruk namun, satu tahap kemerosotan nampaknya tidak dapat dielakkan pada peringkat ini. Saya rasa pihak berkuasa Malaysia sedang mengkaji untuk melaksanakan sekatan antarabangsa dengan lebih meluas," kata Shahriman Lockman, seorang penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) kepada BeritaBenar.

Malaysia telah memanggil pulang dutanya dari Pyongyang selepas sumber-sumber kerajaan di Amerika Syarikat dan Korea Selatan mendakwa ejen Korea Utara terbabit dalam pembunuhan Kim di lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb.

Pada sidang berita di Kuala Lumpur pada Rabu, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada Pyongyang melakukan pembunuhan itu, tetapi berkata, "apa yang jelas ialah mereka  yang terlibat adalah rakyat Korea Utara," lapor Associated Press.

Beliau mengumumkan bahawa pihak berkuasa telah meminta kedutaan itu pada Rabu supaya menyerahkan Setiausaha Kedua Hyon Kwang Song dan  pekerja syarikat penerbangan Korea Utara Kim Uk Il - kedua-duanya dipercayai berada di Malaysia dan dikehendaki berhubung dengan kes itu.

"Malaysia perlu mengambil kira semua aspek sebelum mengambil tindakan lanjut. Senario kes terburuk adalah kita boleh memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara. Bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk meramalkan perkara ini, " kata Mohd Azizuddin Mohd Sani, profesor hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia, kepada BeritaBenar minggu lalu sebelum berlakunya pertikaian hubungan dua hala itu.

Perdagangan dua hala

Kedua-dua negara Asia itu menjalin hubungan diplomatik sejak 1973, dan Malaysia kekal menjadi satu daripada beberapa rakan dagangan Korea Utara walaupun negara komunis itu diasingkan melalui sekatan berikutan program senjata nuklear dan ujian peluru berpandu balistiknya yang menyalahi undang-undang.

Jumlah perdagangan dua hala pada 2015 adalah agak kecil - berjumlah hampir RM23 juta (AS$5 juta), menurut The Star. Malaysia mengeksport getah, minyak sawit dan petroleum ke Korea Utara, yang menghantar besi, keluli dan bahan kimia ke negara Asia Tenggara itu, kata akhbar berkenaan.

Rakyat Korea Utara dan Malaysia juga boleh melawat negara satu sama lain tanpa visa.

Hubungan itu terjejas sejak perang mulut  meletus dalam tempoh lima hari lalu di antara Duta Korea Utara ke Kuala Lumpur dan kerajaan Malaysia tentang bagaimana pihak berkuasa tempatan mengendalikan siasatan terhadap kematian Kim Jong Nam.

Walaupun Korea Utara belum lagi mengambil tindakan menyerupai Malaysia dengan memanggil pulang dutanya ke Kuala Lumpur, kerajaan Malaysia mungkin terpaksa memberi tekanan kepada Pyongyang untuk menyerahkan diplomatnya, menurut Shahriman.

Ia boleh melakukannya, kata beliau, dengan memohon peruntukan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2321 yang membolehkan negara anggota "untuk mengurangkan bilangan  kakitangan dalam perwakilan diplomatik dan jawatan konsular [Korea Utara]’’ - dalam erti kata lain, mengusir beberapa kakitangan kedutaan Pyongyang.

"Jika Korea Utara tidak melepaskan imuniti diplomatik seorang daripada diplomat mereka yang sedang dicari oleh polis Malaysia berhubung dengan pembunuhan Kim Jong Nam, Malaysia mungkin mendapati ia perlu menarik balik peruntukan berkenaan," kata Shahriman.

Kata-kata berang

Hubungan dua hala sudah semestinya “agak terjejas" dalam masa seminggu yang lalu terutamanya dengan komen yang dibuat oleh duta Pyongyang, Kang Chol, kata Hoo Chiew Ping,  pakar dasar Korea Utara di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Di tengah-tengah keengganan pegawai-pegawai Malaysia menyerahkan mayat Kim kepada Korea Utara tanpa bedah siasat dan desakan mereka supaya anggota keluarga terdekat Kim tampil memberi sampel DNA kepada pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada siasatan mereka, duta itu secara umumnya menuduh  Malaysia menjalankan penyiasatan yang tidak profesional dan "bersekongkol" dengan Seoul berhubung pembunuhan Kim.

Dalam komennya secara umum, bagaimanapun duta itu tidak pernah merujuk mangsa sebagai Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara yang sudah lama terpisah. Duta berkenaan mengenal pasti lelaki yang mati itu sebagai Kim Chol, pemegang pasport diplomatic Korea Utara.

"Tetapi, reaksinya itu boleh difahami berikutan keperluan untuk menyatakan pendirian rejim Korea Utara mengenai isu itu: mereka perlu mendapatkan mayat rakyat Korea Utara walaupun enggan mengakui mayat itu [milik siapa] atau [sama ada orang itu]  ada kaitan dengan pemimpin rejim, Kim Jong Un, " kata Hoo kepada BeritaBenar.

"Jika Duta Korea Utara tidak bercakap selari dengan apa yang dimahukan rejim atau hampir mengiktiraf Kim Chol sebagai Kim Jong Nam, hidupnya berada dalam bahaya," katanya kepada BeritaBenar.

Azmi Hassan, seorang profesor  geo-politik Malaysia berkata, setakat ini, Kuala Lumpur  telah menunjukkan bahawa ia memberi lebih keutamaan bagi menyelesaikan kes itu walaupun ini bermakna ia mengetepikan had hubungan dua hala  44 tahun dengan Pyongyang.

"Tetapi, apabila Ketua Polis Negara menamakan seorang suspek adalah diplomat kedutaan, ia menunjukkan keazaman Malaysia untuk mengetahui siapa pelakunya tanpa menghiraukan hubungan diplomatik," kata Azmi kepada BeritaBenar.

"Apabila kedaulatan sebuah negara dicabar, kepentingan diplomatik tidak lagi penting," kata beliau.



Fadzil Aziz dan Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.