Indonesia Masih Cuba Dapatkan Akses Konsular Kepada Suspek Wanita Dalam Pembunuhan Kim

Tia Asmara & Anis Natasha
2017.02.23
Jakarta & Kuala Lumpur
170223_ID_Aisyah_1000.jpg Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zahrain Hashim Muhamed, bercakap kepada wartawan di Jakarta, 23 Februari, 2017.
[Tia Asmara/BeritaBenar]

Jakarta pada Khamis berkata ia terus menekan pihak berkuasa Malaysia supaya memberi akses konsular kepada seorang wanita warganegara Indonesia yang disyaki dalam pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Siti Aisyah, 25, ialah seorang daripada dua wanita yang ditahan di Malaysia setelah polis mengesyaki mereka menggunakan tangan mereka untuk menyapu toksin pada mangsa Kim Jong Nam di lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb. Kim meninggal dunia pada hari yang sama selepas mengadu kepada kakitangan perubatan lapangan terbang bahawa beliau berasa sakit setelah diserang dengan bahan kimia oleh seorang wanita.

"Selepas itu ... bolehlah kami mengambil langkah-langkah bagi melindungi  warganegara Indonesia, dan memutuskan panduan undang-undang yang boleh diberikan," katanya.

Aisyah didakwa menyapukan bahan itu pada muka Kim Jong Nam dan wanita kedua, yang dikenal pasti oleh polis Malaysia sebagai Doan Thi Huong, warganegara Vietnam, kemudian menekap mukanya dengan kain sebelum kedua-dua suspek berlalu pergi dan membasuh tangan mereka, kata Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar.

Tetapi, ketika masyarakat antarabangsa mengesyaki ejen-ejen kerajaan dari Pyongyang sebagai dalang di sebalik dakwaan pembunuhan Kim Jong Nam, polis Malaysia telah menamakan lapan warganegara Korea Utara sebagai suspek termasuk Setiausaha Kedua di Kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur.

Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Vietnam pada Isnin mengakui Doan memegang pasport Vietnam tetapi ia menyatakan bahawa kakitangan konsularnya di Malaysia masih cuba untuk berhubung dengannya dan mengesahkan identiti dirinya, menurut agensi berita negara itu Viet Nam News.

Prosedur polis: Duta


Peraturan polis di Malaysia tidak membenarkan suspek untuk bertemu dengan sesiapa sahaja semasa siasatan sedang dijalankan, kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia Zahrain Muhamed Hashim kepada pemberita di Jakarta pada Khamis.

"Adalah sangat penting siasatan polis tidak diganggu atau mendapat campur tangan mana-mana pihak, dan biasanya ia mengambil masa yang lama," kata beliau.

Beliau mengakui bahawa akses konsular mesti diberikan kepada warganegara asing yang terbabit dalam kes undang-undang, tetapi berkata ia akan diberikan selepas siasatan polis selesai.

"Ingatlah, kes ini masih dalam siasatan. Apabila siasatan telah selesai, ia terpulang kepada polis Malaysia sama ada untuk mendakwa suspek atau melepaskan mereka kerana kekurangan bukti, "kata Zahrain.

"Saya percaya keselamatan dan kebajikan Aisyah akan dilindungi di Malaysia, seperti mana  keadaannya di Indonesia," kata duta itu.

Selain penahanan dua wanita itu, polis Malaysia juga menahan seorang daripada lapan rakyat Korea Utara yang dikenal pasti berkaitan dengan kes itu, dan pada lewat Rabu mereka melepaskan  seorang lelaki Malaysia yang dikatakan teman lelaki Aisyah.

'Anda hendaklah bekerjasama'

Perbalahan diplomatik berhubung penyiasatan polis terhadap pembunuhan Kim Jong Nam berlaku di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang selepas pegawai Malaysia enggan menyerahkan mayatnya kepada pihak berkuasa Korea Utara tanpa menjalankan bedah siasat.

Malaysia juga telah meminta anggota keluarga terdekat Kim Jong Nam supaya tampil hadir untuk memberikan sampel DNA bagi tujuan pengesahan rasmi. Bedah siasat terhadap mayatnya telah dilakukan pada 16 Feb tetapi pegawai forensik belum mengeluarkan laporan penuh bedah siasat itu bagi mengetahui punca kematiannya.

Pada Khamis di Malaysia, Ketua Polis Khalid menafikan laporan bahawa para penyiasat telah ke Macau-di mana Kim Jong Nam tinggal dan mempunyai keluarga-untuk mengumpul DNA daripada anggota keluarga terdekatnya.

"Tidak betul. Kami tidak menghantar mana-mana pasukan untuk mengambil apa-apa sampel DNA atau menerima apa-apa sampel dari mana-mana negara," kata Khalid kepada wartawan di Kuala Lumpur.

Sehari sebelum itu, ketua polis itu memberitahu sidang media bahawa pihaknya telah meminta kedutaan Korea Utara supaya menyerahkan seorang diplomatnya yang ditugaskan di Kuala Lumpur bersama-sama dengan pekerja syarikat penerbangan Korea Utara untuk disoal siasat berhubung kes itu.

Khalid berkata pada Khamis bahawa polis Malaysia akan mengikut protokol dan menghormati imuniti diplomatik Setiausaha Kedua Hyon Kwang Song.

"Jika anda tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, oleh itu anda tidak perlu takut. Anda hendaklah memberi kerjasama, " kata Khalid.

Di luar kedutaan Korea Utara pada Khamis, ahli-ahli sayap pemuda parti pemerintah utama Malaysia mengadakan bantahan terhadap Pyongyang, yang sekian lama  mempunyai hubungan dengan negara mereka.

"Kami gesa kerajaan Malaysia supaya menimbang semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara," kata Khairul Azwan, naib ketua sayap Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu semasa membacakan satu kenyataan.

Sementara itu di Korea Utara, agensi berita negara, KCNA, menerbitkan laporan pada Khamis memetik kenyataan daripada Jawatankuasa Ahli Juri Korea Utara yang mengecam Kuala Lumpur dalam mengendalikan siasatan kes itu.

"Malaysia wajib menyerahkan mayatnya kepada pihak DPRK kerana ia menjalankan bedah siasat dan pemeriksaan forensik dalam cara yang menyalahi undang-undang dan tidak bermoral," kata laporan KCNA itu.

"Tanggungjawab terbesar bagi kematiannya terletak pada kerajaan Malaysia kerana warganegara DPRK itu mati di negara itu," kata laporan berkenaan tanpa menamakan lelaki yang mati itu tetapi mengenal pasti beliau sebagai "seorang warganegara DPRK yang memegang pasport diplomatik. "

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan membacakan nota bantahan di luar  pagar kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, 23 Feb 2017.akit setelah diserang dengan bahan kimia oleh seorang wanita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.