Agen Saraf Ditemui Pada Muka Kim Jong Nam: Hasil Ujian Malaysia
2017.02.24
Kuala Lumpur
Kemaskini pada 15.20 p.m ET - 2017-2-24
Kim Jong Nam mempunyai kesan senjata kimia di muka dan dalam matanya pada masa kematiannya, kata polis Malaysia pada Jumaat dengan memetik hasil ujian toksikologi.
Hasil ujian itu mengesahkan spekulasi meluas bahawa abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, yang terpisah daripadanya, diracun oleh dua wanita yang mendekatinya secara tiba-tiba di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb, sebelum menyapu cecair pada mukanya dan terus melarikan diri.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata hasil ujian awal yang dijalankan di Jabatan Kimia Malaysia "menunjukkan dengan pasti bahawa bahan yang terlibat adalah ethyl S-2-diisopropylaminoethyl methylphosphonothiolate atau Agen Saraf VX."
Analisa itu dijalankan ke atas sampel dari lendir mata dan muka mangsa, kata Khalid.
"Bahan bukti lain masih sedang dikaji," katanya.
Agen saraf itu diklasifikasikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia 1997, kata kenyataan itu.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (C.D.C), kimia itu adalah agen perang kimia buatan manusia yang tidak berbau dan tanpa rasa serta dibangunkan di United Kingdom pada awal tahun 1950-an.
"VX adalah agen paling kuat di antara semua agen saraf. Berbanding dengan agen saraf Sarin (juga dikenali sebagai GB), VX dianggap lebih toksik dengan serapan melalui kulit, dan lebih toksik melalui penyedutan," kata C.D.C. dalam laman webnya.
"Pendedahan kepada VX boleh menyebabkan kematian dalam beberapa minit sahaja," kata pusat itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengklasifikasikan agen saraf VX sebagai senjata kimia pemusnah besar-besaran dan menggesa penghapusan dalam Konvensyen Senjata Kimia pelbagai hala di bawah perjanjian kawalan senjata yang mula berkuatkuasa 20 tahun yang lalu.
Diharamkan
Pihak berkuasa akan menyiasat bagaimana bahan terlarang itu dibawa masuk ke Malaysia, Khalid berkata demikian kepada pemberita secara berasingan.
"Ini senjata kimia yang diharamkan. Kami akan menyiasat bagaimana bahan kimia itu telah dibawa masuk ke Malaysia. Ia akan menjadi sukar untuk dikesan jika ianya dibawa dalam kuantiti yang kecil, ke negara ini" agensi berita nasional Malaysia [Bernama] memetik beliau sebagai berkata.
Mangsa itu, yang pihak berkuasa Malaysia kenal pasti sebagai Kim Jong-Nam, meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital selepas mengadu kepada kakitangan perubatan bahawa beliau berasa sakit setelah seorang wanita menyerangnya dengan semburan bahan kimia ketika bersedia menaiki penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Putrajaya pada 13 Feb.
Korea Selatan menyalahkan Korea Utara terhadap kematian Kim, dengan memetik "perintah yang dikeluarkan" oleh Kim Jong Un untuk membunuh abang tirinya selepas beliau mengkritik rejim. Bagaimanapun, usaha pembunuhan gagal pada tahun 2012.
Rakaman CCTV yang disiarkan oleh Fuji TV yang menular di internet menunjukkan dua wanita melakukan serangan itu. Pihak berkuasa Malaysia telah menahan dua suspek wanita, yang mereka kenal pasti sebagai warganegara Indonesia dan Vietnam, beberapa hari kemudian.
Dalam kenyataan sebelum ini, Khalid mendakwa dua wanita telah dilatih untuk mengendalikan toksin itu dan menjalani latihan di dua pusat membeli-belah di kawasan Kuala Lumpur sebelum melakukan serangan 13 Feb itu.
Selain dua wanita itu, polis Malaysia turut menahan seorang lelaki Korea Utara dan telah mengenal pasti tujuh suspek Korea Utara yang lain termasuk empat orang yang telah melarikan diri dari Malaysia.
Pada lewat Rabu, polis melepaskan seorang lelaki Malaysia yang dikatakan teman kepada wanita Indonesia itu.
Di Korea Utara, agensi berita negeri kendalian KCNA menerbitkan laporan pada Khamis dengan memetik kenyataan daripada Jawatankuasa Pakar Undang-undang Korea Utara yang mengecam pengendalian siasatan oleh Kuala Lumpur.
"Malaysia bertanggungjawab untuk menyerahkan mayatnya kepada pihak DPRK kerana membuat pemeriksaan bedah siasat dan forensik dengan cara yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral," kata laporan KCNA itu.
"Tanggungjawab terbesar kematian itu terletak kepada kerajaan Malaysia sebagaimana warganegara DPRK mati dalam negara itu," kata laporan berkenaan tanpa menamakan orang yang telah meninggal dunia tetapi mengenal pasti beliau sebagai "seorang warganegara DPRK yang memiliki pasport diplomatik. "
Malaysia telah memanggil pulang dutanya dari Pyongyang selepas sumber-sumber kerajaan di Amerika Syarikat dan Korea Selatan mendakwa ejen Korea Utara bertanggung jawab di dalam pembunuhan tersebut.
Di sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu, Khalid tidak dapat mengesahkan sama ada Pyongyang telah melakukan pembunuhan itu, tetapi berkata, "apa yang jelas ialah orang-orang yang terlibat adalah rakyat Korea Utara."