Pembunuhan Kim: Tiga Suspek Dijangka Didakwa Atas Kesalahan Membunuh
2017.02.27
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu dijangka mendakwa seorang ahli kimia Korea Utara dan dua wanita yang ditahan berikutan pembunuhan abang tiri diktator Korea Utara, Kim Jong Un, atas kesalahan membunuh, menurut sumber dan laporan berita.
Kedua-dua suspek wanita, iaitu Siti Aisyah, warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, warga Vietnam, telah menyerang dan meracun mangsa Kim Jong Nam dengan menyapu agen saraf yang diharamkan ke muka mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Februari lepas, kata polis.
"Ya, kesemua mereka akan didakwa di mahkamah pada Rabu, 1 Mac," seorang pegawai kanan Malaysia memberitahu BeritaBenar dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan pada Isnin.
“Kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 302," kata sumber itu, merujuk kepada sebahagian daripada kod jenayah Malaysia yang turut merangkumi pembunuhan dengan niat.
Wanita berkenaan didakwa telah dilatih untuk mengendalikan agen saraf sarin VX dengan diarahkan untuk mencuci tangan mereka dengan serta-merta selepas itu, mengikut Ketua Polis Khalid Abu Bakar.
Lelaki Korea Utara yang berada di dalam tahanan Malaysia, dikenali sebagai Ri Jong Chol, seorang pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang kimia dan merupakan seorang daripada lapan rakyat Korea Utara yang telah dinamakan oleh polis sebagai suspek dalam kematian abang tiri Kim Jong Un, kata laporan berita.
Satu perintah reman yang membenarkan pihak polis untuk menahan dua wanita berkenaan bagi siasatan lanjut akan tamat Rabu, tetapi kedua mereka dan Chol dijangka menghadapi tuduhan membunuh di sebuah mahkamah tempatan pada hari berkenaan, akhbar The Sun Daily melaporkan pada Isnin.
"Sumber yang rapat dengan siasatan yang sedang dijalankan berkata - keputusan bedah siasat telah diperolehi oleh penyiasat menunjukkan agen saraf dipanggil VX digunakan untuk membunuh mangsa yang dikenali sebagai Kim Chol di dalam dokumen perjalanannya. Ada kemungkinan Peguam dari Jabatan Peguam Negara akan memberikan "lampu hijau" kepada pihak polis untuk mendakwa suspek dengan tuduhan membunuh, " menurut akhbar itu.
Sementara itu di Seoul, seorang ahli parlimen Korea Selatan pada Isnin memetik satu laporan dari perisikan negara itu yang mendakwa bahawa bukti-bukti semakin menunjukkan penglibatan kerajaan Korea Utara dalam pembunuhan Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
"Antara lapan suspek dalam kes itu, empat adalah daripada Kementerian Keselamatan Negara dan dua lagi yang mengambil tindakan bertugas di Kementerian Luar," Lee Cheol-woo, salah seorang daripada ahli kumpulan penggubal undang-undang yang diberi taklimat oleh pihak perisikan Korea Selatan, memberitahu pemberita, menurut agensi Reuters .
"Ini semua menunjukkan bahawa ini adalah kes keganasan yang diketuai oleh kerajaan, secara langsung dianjur oleh Kementerian Keselamatan Negeri dan Kementerian Luar," kata Lee.
Lapangan terbang dilanda
Di Kuala Lumpur, Polis Malaysia telah menamakan Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara sebagai salah seorang daripada lapan suspek Korea Utara. Pihak berkuasa juga telah memberi amaran untuk mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan seorang pekerja syarikat penerbangan negara yang dikendalikan Korea Utara, jika kedutaan itu tidak menyerahkan mereka untuk disoal siasat oleh pihak polis.
Kim telah menanggung kesakitan luar biasa dan meninggal dunia kira-kira 15 hingga 20 minit selepas diserang dengan agen saraf VX - bahan kimia yang diharamkan dan diklasifikasikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB] sebagai senjata pemusnah besar-besaran, Menteri Kesihatan Malaysia S. Subramaniam berkata demikian kepada pemberita pada Ahad.
Pendedahan kepada agen saraf tersebut telah melumpuhkan lantas membunuh Kim, menteri itu berkata, menurut Agence France-Presse.
Juga pada Ahad, pasukan Hazmat Malaysia membersihkan balai berlepas di KLIA2, di mana serangan itu berlaku, dalam usaha untuk mengesan VX.
Pihak berkuasa kemudiannya mengisytiharkan kawasan tersebut selamat untuk perjalanan, menurut laporan.