Delegasi Korea Utara Cuba Dapatkan Mayat Kim Jong Nam

Anis Natasha
2017.02.28
Kuala Lumpur
170228-MY-NK-envoy-620.jpg Ri Tong Il, bekas Timbalan Wakil Tetap Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB], bercakap dengan wartawan di luar Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, Feb 28, 2017.
AFP

Satu delegasi pegawai Korea Utara tiba di Kuala Lumpur pada Selasa dalam usaha untuk mendapatkan mayat Kim Jong Nam serta pembebasan seorang rakyat Korea Utara yang ditahan berhubung pembunuhan Kim di lapangan terbang dengan menggunakan ejen saraf maut.

Polis telah menamakan lapan suspek warga Korea Utara dalam pembunuhan itu, tetapi dua wanita Asia Tenggara akan didakwa pada Rabu atas tuduhan membunuh Kim, yang Korea Selatan menganggap sebagai tindakan keganasan serta "mesej jelas kepada dunia" dari Pyongyang.

Jurucakap Delegasi Ri Tong Il memberitahu pemberita isu yang akan dibincangkan dengan pegawai-pegawai Malaysia termasuk "soal memulangkan mayat si mati, yang juga seorang warganegara DPRK," serta "pembebasan seorang lagi warganya yang ditahan oleh polis Malaysia kerana mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan. "

"Pembangunan perhubungan mesra antara Korea Utara dan kerajaan Malaysia juga akan dibincangkan," kata diplomat itu kepada pemberita di luar kedutaan Korea Utara.

Malaysia minggu lalu telah memanggil balik dutanya di Pyongyang selepas Duta Korea Utara di Kuala Lumpur berulang kali mengecam siasatan dan keengganan Malaysia untuk menyerahkan mayat Kim.

Ri enggan menjawab soalan pemberita sama ada Setiausaha kedua kedutaan itu telah ditemuramah oleh polis Malaysia.

Setiausaha Kedua Hyon Kwang Song, 44, adalah seorang daripada tiga suspek rakyat Korea Utara yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan itu dan masih bebas di Malaysia. Empat yang lain telah meninggalkan Malaysia pada hari Kim meninggal dunia, kata polis.

‘Panggilan’

Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, meninggal dunia kira-kira 15 minit selepas dua wanita mendekatinya secara tiba-tiba di lapangan terbang dan menyerkup mukanya dengan bahan yang telahpun dikenal pasti sebagai senjata kimia yang boleh membawa maut, ejen saraf VX.

Rakyat Vietnam Doan Thi Huong dan seorang warga Indonesia Siti Aisyah akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada Rabu di bawah Seksyen 302 kerana membunuh, sumber memberitahu BeritaBenar. Wanita itu ditahan secara berasingan pada Feb 15 dan 16 lalu.

Malaysia telah berhenti menuduh kerajaan Korea Utara mengarahkan pembunuhan Kim Jong Nam, tetapi Korea Selatan dan pegawai kerajaan Amerika Syarikat percaya bahawa ejen Korea Utara telah menjalankan pembunuhan itu.

Antara lapan suspek Korea Utara dalam kes itu, empat adalah daripada Kementerian Keselamatan Negara manakala dua lagi daripada Kementerian Luar, Lee Cheol-woo, salah seorang daripada kumpulan penggubal undang-undang yang  memberi taklimat kepada perisikan Korea Selatan, memberitahu wartawan di Seoul pada Isnin, menurut Reuters.

"Ini merupakan kes keganasan yang mendapat arahan kerajaan, secara langsung dianjurkan oleh Kementerian Keselamatan Negeri dan Kementerian Luar," kata Lee.

Di Geneva pada Selasa, Menteri Luar Korea Selatan Yun Byung-se berkata Korea Utara perlu digantung daripada keanggotaan PBB kerana pembunuhan tersebut.

"Pembunuhan terkini itu memberikan kita kesedaran dan menunjukkan  keupayaan senjata kimia Korea Utara yang berniat untuk menggunakannya,” Yun memberitahu persidangan PBB mengenai Pelucutan Senjata, menurut AFP.

Beliau berkata, pembunuhan itu "menghantar mesej yang jelas kepada dunia: Iaitu satu tindakan yang tidak dijangka dan dijalankan sewenang-wenangnya oleh rejim kejam yang bersedia untuk menyerang sesiapa, pada bila-bila masa, dan di mana-mana sahaja"

"Jika kerajaan Malaysia secara yakinnya mendapati bahawa pihak berkuasa Korea Utara mendalangi perbuatan jenayah ini, Persidangan mengenai Pelucutan Senjata mungkin perlu mempersoalkan keanggotaan Korea Utara," katanya.

Seorang diplomat Korea Utara menyelar Seoul dalam tindak balasnya itu.

"Korea Utara menolak sepenuhnya kenyataan keji, biadap, tidak bertanggungjawab dan tidak logik yang dibuat oleh Korea Selatan," Ju Yong Choi memberitahu persidangan di Geneva, menurut Reuters.

"DPRK tidak pernah mengeluarkan, menyimpan, atau menggunakan senjata kimia dan pendirian kami adalah jelas. Kita menolak andaian dan spekulasi mengenai kejadian di Malaysia."

Jualan ketenteraan

Juga pada Selasa, pihak berkuasa Malaysia berkata mereka mengetahui tentang dua syarikat dikawal oleh Korea Utara yang menurut laporan Reuters telah menggunakan syarikat Malaysia untuk menjual peralatan radio medan perang yang melanggar sekatan PBB.

Kedua-dua syarikat telah dikeluarkan daripada pendaftaran entiti perniagaan di negara ini, Ketua Malaysia Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan mengulas laporan Reuters.

Syarikat palsu Glocom, mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi "tentera dan para-tentera" di laman web di Malaysia, glocom.com.my, kata Reuters.

The PBB telah mengharamkan Pyongyang daripada membeli atau menjual peralatan ketenteraan berikutan program pelancaran senjata nuklear dan peluru berpandu balistik secara haram, yang terakhir yang dibuat pada 12 Februari lalu.

"Telah dibuktikan oleh sumber-sumber tertentu bahawa tiada syarikat dengan nama Glocom wujud di Malaysia," kata kenyataan Malaysia.

Dua syarikat yang berkaitan dengan laman web itu - yang berdaftar dan satu lagi untuk dihubungi - "dikatakan dikawal oleh pemegang saham Korea Utara dan pengarah-pengarah syarikat," kata kenyataan Khalid,

Ia menamakan syarikat-syarikat berkenaan sebagai International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd. Kedua-duanya dalam proses "ditutup," katanya.

"Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau dan mengambil langkah-langkah awal dalam memastikan Malaysia tidak diperalatkan untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara," kata kenyataan itu.

"Kami juga telah mengambil segala tindakan yang perlu untuk mematuhi peraturan-peraturan antarabangsa berkaitan sekatan yang berkaitan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.