Pembunuhan Kim Jong Nam: Wanita Vietnam 'Gadis Yang Baik’, Kata Saudara Mara
2017.02.28
Saudara-mara wanita Vietnam, yang didakwa membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bulan ini, memberitahu entiti BeritaBenar, Radio Free Asia (RFA), bahawa dia adalah seorang "gadis yang baik" semasa tinggal di tanah airnya tetapi apa yang berlaku selepas dia meninggalkan Vietnam adalah misteri.
"Kami hanya tahu bahawa dia adalah seorang gadis yang baik semasa tinggal di rumah," kata Nguyen Thi Ha, kakak ipar wanita itu kepada Perkhidmatan Vietnam RFA pada Selasa. "Kita tidak tahu apa yang berlaku kepadanya di luar sana."
Doan Thi Houng dan rakyat Indonesia Siti Aisyah telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia dan dijangka didakwa pada Rabu bagi pembunuhan Kim Jong Nam di lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu.
Laporan tempatan mendakwa bahawa Doan Thi Huong melarikan diri daripada rumahnya untuk bekerja dalam industri hiburan pada waktu malam. Sejak tangkapan itu, gambar Doan Thi Houng memakai bikini dan pakaian lain muncul dalam media sosial.
Kedua-dua suspek itu memberitahu polis mereka telah ditipu untuk membunuh Kim Jong Nam oleh "kawan-kawan" yang memberitahu mereka ia hanyalah gurauan tidak berbahaya bagi satu rancangan realiti, menurut laporan berita.
Aisyah dan Huong dipercayai telah dipilih untuk misi itu kerana penampilan mereka menunjukkan mereka tidak berbahaya.
Pihak berkuasa Malaysia menyatakan bahawa Korea Utara telah mengatur supaya agen saraf VX yang membawa maut diletakkan dalam tangan Aisyah dan Huong, yang kemudian menyapu toksin itu pada muka Kim.
Dengan laporan-laporan berita memberi tumpuan kepada kedua-dua wanita itu dan penggunaan VX, saudara-mara Doan Thi Huong berkata mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
"Mereka memberitahu kami tentangnya hari ini," kata bapanya, Doan Van Thanh, kepada RFA. "Kami tidak tahu apa yang perlu ditanya. Kami berada di luar bandar dan tanpa wang. Bagaimana kami boleh meminta (bantuan undang-undang)? Bagaimana kami boleh mencari seorang peguam? Kami tidak mempunyai wang untuk membayar seorang peguam. "
Pada 25 Feb lalu, Kementerian Luar Negeri Vietnam menyiarkan pengumuman dalam laman webnya yang mengesahkan Doan Thi Huong sebagai warganegara Vietnam dan tahap kesihatannya adalah baik.
"Kami semua terkejut. Semua orang menyatakan dia tidak bersalah," kata Nguyen Thi Ha kepada RFA. "Kami perlu mempunyai wang untuk memberinya bantuan."
"Yang sebenarnya, kami terpaksa serahkan kes ini kepada mahkamah," katanya. "Kami tidak dapat menyelamatkan dia walaupun jika kami menjual seluruh kampung untuk mendapatkan wang bagi membantunya."
Korea Selatan telah menyalahkan Korea Utara di atas kematian Jong Nam, dengan memetik "perintah tetap" daripada Kim Jong Un untuk membunuh abangnya itu, dan cubaan pembunuhan yang gagal pada 2012 selepas abang tirinya mengkritik rejim itu.
Rakaman CCTV yang menjadi tular di internet menunjukkan dua wanita melakukan serangan itu. Phak berkuasa Malaysia menahan suspek beberapa hari kemudian.
Seorang lelaki Korea Utara yang dalam tahanan Malaysia, Ri Jong Chol, yang mempunyai ijazah doktor falsafah dalam bidang kimia, adalah seorang daripada lapan rakyat Korea Utara yang dinamakan polis sebagai suspek dalam pembunuhan itu, menurut laporan berita.