Ahli Perniagaan Korea Utara Gagal Dalam Rayuan Terakhir Sekat Ekstradisi Ke AS
2021.03.09
Putrajaya
Ahli perniagaan Korea Utara pada Selasa gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah tertinggi Malaysia supaya beliau tidak dieskstradisi ke Amerika Syarikat untuk berdepan dengan pendakwaan pengubahan wang haram yang berpunca daripada tuduhan melanggar sekatan Washingtion terhadap Pyongyang.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara dengan keputusan mereka membenarkan keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak rayuan Mun Chol Myong.
"Berdasarkan sebab penghakiman yang telah dibuat, kami mendapati tiada sebab untuk tidak bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Oleh itu, rayuan ini ditolak dan arahan dari mahkamah tinggi adalah disahkan," kata Tengku Maimun, yang membuat keputusan bersama dengan dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat dan Rhodzariah Bujang.
"Dalam mempertimbangkan rayuan ini, kami maklum bahawa permohonan datang dari satu perjanjian ekstradisi yang dimeterai di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan AS, dan prosiding ekstradisi ini bukanlah satu perbicaraan tetapi isunya adalah sama ada semua kehendak dalam ekstradisi adalah dipatuhi, mahkamah memutuskan setelah mendengar hujahan dari kedua-dua belah pihak pendakwaan dan pembelaan yang berjalan selama sejam.
Mun, 55 telah mengemukakan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Oktober tahun lalu memutuskan untuk menolak rayuan beliau bagi mendapatkan satu writ habeas corpus, dan menegakkan waran ekstradisi yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada masa itu berkata yang mahkamah percaya terdapat bukti mencukupi menunjukkan kesalahan Mun adalah perbuatan jenayah di Malaysia dan AS, dengan tiada petunjuk bahawa pertuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik seperti yang didakwanya.
Selepas prosiding itu, peguam Mun, Gooi Soon Seng berkata Menteri Dalam Negeri mempunyai keputusan terakhir berhubung ekstradisi ahli perniagaan itu, dan masih kurang jelas bila beliau akan diekstradisi ke AS.
Pada Selasa juga, seorang jurucakap Jabatan Kehakiman AS di Washington enggan mengulas mengenai ekstradisi tersebut, sementara Menteri Dalam Negeri Malaysia tidak segera menjawab pertanyaan dari BeritaBenar.
Barangan mewah
Mun tidak berada di mahkamah semasa keputusan diumumkan pada Selasa itu, kerana undang-undang Malaysia tidak memerlukan subjek dalam pendengaran habeas corpus untuk hadir. Isteri dan anak perempuan beliau bagaimanapun hadir bersama pegawai dari Kedutaan Korea Utara.
Mun menafikan dakwaan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS bahawa beliau telah mengetuai satu kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan ke atas Korea Utara dengan membekalkan barangan mewah kepada negara asalnya, dan menjalankan kegiatan pengubahan wang haram bertopengkan beberapa buah syarikat.
Mun yang tinggal di Malaysia bersama-sama keluarganya sejak sedekah lalu, berada dalam tahanan pihak berkuasa Malaysia sejak 14 Mei 2019 dengan dinafikan jaminan oleh mahkamah atas alasan berisiko melarikan diri.
Semasa prosiding pada Selasa, peguam yang mewakili Mun, Gooi Soon Seng berhujah bahawa dakwaan-dakwaan yang dibuat ke atas anak guamnya adalah bersifat politik, dan Mun hanyalah bidak dalam 'ribut politik' di antara Washington dan Pyongyang.
"Ia bermula dengan sekatan oleh AS ke atas Korea Utara. Transaksi itu adalah sah, tetapi mereka perlu menggunakan dolar AS. Dolar AS telah dijadikan senjata oleh kerajaan AS.
"Tanpa sekatan itu, tidak ada kesalahan. Beliau (Mun) adalah seorang mangsa yang terperangkap dalam ribut politik," hujah Gooi.
Mun menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram AS dan dua pertuduhan konspirasi untuk pengubahan wang.
Gooi turut berhujah bahawa kes itu gagal memenuhi syarat 'dual criminality' seperti yang dikehendaki untuk diekstradisi, di mana jenayah yang disebut oleh negara pemohon adalah jenayah yang sama di negara asal.
"Tidak ada jenayah 'fraud' (penipuan) di dalam undang-undang Malaysia. Yang terhampir adalah menipu (cheating). Penipuan bukanlah satu kesalahan luar negara (extraterritorial) di Malaysia,” kata Gooi sambil memaklumkan bahawa Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang setara dengan undang-undang AS mengenai konspirasi yang memerlukan ekstradisi.
"Jika tiada kesalahan, maka tiada kes. Beliau tidak sepatutnya direman lebih lama," tambah peguam bela itu lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar dalam maklum balasnya berpendapat bahawa kesalahan tidak perlu tepat di bawah kedua-dua kod jenayah tersebut untuk memenuhi syarat untuk diekstradisi.
"Tidak semestinya tepat demi kata; kita tidak perlu memberikan cas cermin. Itu bukan kehendak undang-undang, tidak hanya di negara kita tetapi juga di negara lain,” kata Dusuki kepada mahkamah. "Sangat jelas dalam hal ini bahawa kesalahan itu adalah pengubahan wang haram. Ini sangat jelas dari dokumen yang kami berikan."
Menjawab pertuduhan Gooi bahawa pendakwaan itu bermotifkan politik, Dusuki berkata sekatan yang disebut oleh Gooi adalah maklumat latar belakang dan tidak penting bagi kes tersebut.
"AS hanya menjalankan pertuduhan jenayah terhadap seorang penjenayah yang didakwa, tidak ada perseteruan antara dua negara. Ini tidak relevan untuk mempertimbangkan perseteruan antara kedua negara,” tambahnya lagi.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang dalam laporan ini.