Malaysia tukar strategi, pajak tren KTMB bernilai AS$2.42 bilion dengan China

Penganalisis berpandangan kaedah pajakan bakal meningkatkan hutang kerajaan termasuk caj melangsaikannya, selain kebolehpercayaan jangka masa panjang.
Iman Muttaqin Yusof dan Iskandar Zulkarnain
2024.08.14
Kuala Lumpur
Malaysia tukar strategi, pajak tren KTMB bernilai AS$2.42 bilion dengan China Seorang anggota Polis Bantuan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menggunakan 'smart helmet' semasa melakukan rondaan di dalam gerabak penumpang kereta api di stesen Sentral Kuala Lumpur, 14 Oktober 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia telah menukar strateginya kepada pajakan berbanding membeli tren-tren baharu, menurut menteri pengangkutan pada Rabu, ketika beliau mengumumkan perjanjian AS$2.42 bilion (RM10.7 bilion) untuk memajak 62 tren baharu daripada syarikat milik kerajaan China.

Perubahan tersebut disifatkan sebagai kontroversi dengan penganalisis berpandangan kaedah pajakan bakal meningkatkan hutang kerajaan, namun ada juga beranggapan negara membangun seperti Malaysia tidak mampu membuat pembelian terus tren baharu.

Putrajaya, bagaimanapun mempertahankan kaedah pajakan sebagai pilihan yang lebih praktikal kerana kos tersebut merangkumi semua tahap penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) oleh entiti yang membekalkan tren sepanjang tempoh pajakan.

“Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam, kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian kereta api KTMB dengan kaedah pajakan melalui mekanisme Kerajaan dengan Kerajaan (Government to Government - G2G) antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Rakyat China (PRC).

“Dalam tempoh Fasa 1 iaitu dari tahun 2024 hingga 2027, pelaksanaan dasar baharu ini menyasarkan penambahan 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 bilion (AS$2.42 bilion) yang akan ditampung secara ansuran selama tempoh pajakan 30 tahun,” umum Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam sidang media bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Putrajaya.

Menurut Loke, Malaysia berdepan dengan cabaran meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam dengan tren-tren penumpang syarikat milikan kerajaan – Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) terutamanya bagi perkhidmatan ETS dan KTM Komuter yang berdepan dengan cabaran dari segi ketersediaan dan kebolehpercayaan.

Tambah beliau, kos sebenar akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan dengan Kerajaan China dalam tempoh masa terdekat, sambil memberi jaminan “sudah tentu kita akan berunding dengan harga paling rendah.”

“Merujuk kepada keadaan semasa, jumlah bilangan tren dalam perkhidmatan yang reliable (boleh  dipercayai) secara keseluruhan hanya 68 set tren penumpang. Tanpa melaksanakan penambahbaikan segera, mutu perkhidmatan rangkaian KTMB dibimbangi akan merosot.

“Justeru itu, terdapat keperluan mendesak untuk menambah bilangan tren penumpang bagi setiap laluan perkhidmatan yang ditawarkan di samping memastikan setiap tren penumpang berada di dalam keadaan baik setiap masa,” jelasnya.

Hampir 90 peratus tren penumpang dalam rangkaian perkhidmatan KTMB adalah buatan syarikat China Railway and Rolling Stock Corporations (CRRC) iaitu sebuah syarikat milik kerajaan China.

ANTHONY_LOKE_RAFIZI_01.jpg

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semasa bercakap kepada sidang media di Kementerian Pengangkutan Malaysia di Putrajaya, 14 Ogos, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pemerolehan G2G

Melalui perjanjian berkenaan, penambahan sebanyak 62 set tren penumpang dalam Fasa 1 merangkumi: (i) 36 set Three Car Set (3CS) Electric Multiple Unit (EMU) set; (ii) 12 set Six Car Set (6CS) Electric Multiple Unit (EMU) set dan; (iii) 14 set Six Car Set (6CS) Diesel Multiple Unit (DMU) set.

“Perjanjian pajakan ini adalah selari dengan strategi pemerolehan G2G Malaysia,” jelas Loke sambil berkata ia bertujuan mempercepatkan perolehan aset-aset tren yang penting.

Loke memberikan justikasi bahawa kaedah pajakan mampu mengurangkan kos penyelenggaraan sepanjang tempoh 30 tahun.

“Penyelenggaraan berjadual yang dilaksanakan secara berstruktur oleh syarikat-syarikat ‘original equipment manufacturer’ (OEM) akan memastikan ketersediaan dan kebolehupayaan set tren pada tahap yang cemerlang dan ini secara langsung dapat memastikan operasi tren lebih efisien dan selamat demi kemudahan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kaedah perolehan secara pajakan juga dapat dilakukan dengan lebih cepat berbanding perolehan tren secara biasa serta membantu perancangan aliran tunai yang lebih teratur bagi pihak kerajaan.

“Selain dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kereta api, kadar penggunaan landasan juga dapat dipertingkatan daripada 30 peratus pada masa sekarang kepada 45 peratus menjelang 2027,” jelasnya lagi.

Tambah baik infrastuktur

Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan Malaysia komited untuk menambah baik infrastruktur pengangkutan awam, dengan meletakkan sasaran tinggi di bawah Dasar Pengangkutan Negara 2019 – 2030.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan untuk mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2030 - sebahagian daripada langkah mentransformasi landskap pengangkutan awam di Malaysia, dengan penekanan khusus di Lembah Klang.

“Masalah kepadatan kereta api dan ketersediaan bas yang masih pada tahap rendah menyebabkan kadar pemilikan kereta di Lembah Klang adalah antara yang tertinggi di dunia. Di Lembah Klang, hanya terdapat 0.21 bas yang beroperasi bagi setiap 1,000 orang.

“Bagi mencapai sasaran ini, Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Pengangkutan telah menjalankan satu bengkel strategik pada 17 Mei lalu bagi mengenal pasti pelaburan utama yang diperlukan untuk meningkatkan dan memperluas rangkaian pengangkutan awam,” katanya pada sidang media tersebut.

Rafizi berkata kerajaan sedang mempertimbangkan peningkatan tiga aspek utama dalam pengangkutan awam iaitu perkhidmatan bas, rangkaian rel dan ketersambungan ‘first and last mile’ yang bersepadu.

Menurutnya, usaha berkenaan akan menjadi salah satu tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan diperkenalkan menjelang tahun hadapan.

KTMB_02.jpg

Suasana orang ramai menaiki gerabak kereta api ETS di Stesen Kereta api Kuala Lumpur (KTMB) di Kuala Lumpur, 14 Oktober 2021. [S. Mahfuz/BenarNews]

Lama tertangguh

Di sebalik kepentingan strategik perjanjian ini, ia tidak terlepas dariapada kontroversi apabila para pengkritik membandingkan perjanjian itu dengan East Coast Rail Link (ECRL) project - yang disokong oleh Beijing, projek rel sepanjang 655-km yang terpalit dengan kelewatan, dakwaan rasuah serta kurang ketelusan.

Projek ECRL yang merentasi beberapa negeri di semenanjung Malaysia, pada awalnya dilancarkan pada 2017 namun telah berdepan dengan beberapa kali penangguhan pada 2018 disebabkan kebimbangan unsur rasuah.

Ia telah dihidupkan semua pada 2019 dengan beberapa perubahan dan pengurangan kos sebanyak RM11 billion (AS$2.37 billion). Kos asalnya adalah RM85 billion (AS$19.2 billion).

Shankaran Nambiar, ahli ekonomi yang juga fellow pelawat di Pusat Kajian Polisi Awam Crawford di Universiti Kebangsaan Australia mengakui kepentingan pelaburan berkenaan, namun menyuarakan kebimbangan mengenai kos dan kebolehpercayaan jangka masa panjang.

“Sudah tentu ia mahal…Namun perbandingan tidak dapat dibuat tanpa mengetahui maklumat lanjut mengenai spesifikasi dan kemampuan tren-tren tersebut,” ujarnya kepada BenarNews.

"Apa yang lebih penting adalah sama ada tren-tren itu akan dibina dalam tempoh masa ditetapkan dan sama ada pulangannya nanti akan melebihi nilai kos – serta untuk tempoh masa berapa lama.

“Selain itu, hutang kita juga akan meningkat serta caj melangsaikan hutang,” katanya sambil merujuk kepada tahap hutang semasa Malaysia, yang telah mencapai RM1.5 trillion (AS$339.37 billion).

Dalam pada itu, Nor Aziati Abdul Hamid, pakar rangkaian rel berpandangan langkah menggantikan tren usang telah tertangguh sekian lama.

“Set tren ETS yang digunakan sekarang telah berada dalam perkhidmatan sejak 2012 and sepatutnya telah diperbaharui selepas 15 tahun beroperasi,” demikian ujar ketua Pusat Kecemerlangan Industri Rel di Universiti Tun Hussein Onn itu kepada BenarNews.

“Kebiasaannya, tempoh hayat aset-aset rel adalah sehingga 20 tahun, bergantung kepada integriti tren. Tren-tren tersebut menghampiri fasa kritikal tempoh hayat mereka.”

Oh Ei Sun, penasihat kanan Pusat Kajian Pasifik Malaysia, percaya Malaysia tidak mempunyai pilihan selain memilih kaedah pajakan berbanding pembelian terus tren-tren baharu.

“Saya fikir ini adalah situasi di mana tiada pilihan lain yang lebih sesuai. KTMB memerlukan tren-tren baharu untuk menambah baik perkhidmatannya dan dalam kebanyakan keadaan, tren buatan China adalah lebih murah,” katanya kepada BenarNews.

“Bagi mengatasi kebimbangan mengenai kebolehpercayaan terhadap teknologi dan infrastruktur China untuk jangka masa panjang, negara-negara membangun tidak mempunyai kemampuan untuk memilih visi jangka masa panjang.

“Mereka memerlukan infrastruktur yang mampu-milik dan tersedia sekarang,” tambahnya. 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.