COVID-19: Malaysia Benarkan Gereja, Kuil dibuka Semula
2020.06.15
Kuala Lumpur, Malaysia
Malaysia pada Isnin membenarkan lebih 5,000 gereja, kuil dan rumah ibadat bukan Islam beroperasi semula selepas tiga bulan ditutup berikutan penularan wabak COVID-19 demikian menurut pihak berkuasa, dengan masjid-masjid bagi populasi rakyatnya yang agama Islam telah dibenarkan beroperasi semula sejak minggu lepas.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan yang dibuat dengan semua prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi itu, telah mendapat konsultasi bersama 16 buah badan dan persatuan agama serta permohonan rasmi daripada Kementerian Perpaduan Negara.
"Mesyuarat Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin bersetuju membenarkan 5,230 rumah ibadat di seluruh negara untuk dibuka semula. Mereka boleh beroperasi dengan bilangan kehadiran penganut agama tidak melebihi 1/3, tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat tersebut,” kata Menteri itu pada sidang media hariannya di Putrajaya.
Beliau juga menambah semua rumah ibadat yang mahu beroperasi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan seperti memuat turun aplikasi MySejahtera, memberi maklumat secara manual dan juga diminta memeriksa suhu badan pengunjung termasuk mengamalkan penjarakan sosial.
Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan sebelum itu berkata waktu beroperasi kembali seperti biasa dengan amalan kawalan kendiri dan kebiasaan baharu serta mematuhi garis panduan pihak kerajaan negeri.
"Semua rumah ibadat dibenarkan untuk dibuka semula kecuali yang berada di Zon Merah. Pelaksanaan aktiviti keagamaan tertakluk kepada SOP dan Senarai Aktiviti Yang Dilarang seperti perarakan keagamaan, kenduri dan perhimpunan yang ramai serta sukar dikawal," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, walaupun dibenarkan beroperasi, ia masih tertakluk kepada peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri.
Zon merah adalah daerah yang merekodkan jangkitan aktif melebihi 40 kes manakala zon hijau adalah daerah yang tidak merekodkan sebarang kes jangkitan yang aktif.
Sebelum ini pada 21 Mei, kerajaan Malaysia telah memberikan kebenaran hanya kepada 174 buah rumah ibadat di zon hijau selain masjid dibuka yang dibenarkan beroperasi pada 10 Jun lalu. Antara rumah-rumah ibadat tersebut ialah 84 adalah kuil, 15 tokong, 67 gereja dan lapan gurdwara.
Kebenaran untuk membuka rumah ibadat di seluruh negara walaubagaimanapun mendapat reaksi yang bercampur aduk daripada orang ramai.
"Meskipun saya suka pergi ke gereja pada setiap hujung minggu atau hari biasa, namun buat masa sekarang saya berpendapat gereja harus ditutup dulu memandangkan keadaan masih belum selamat.
"Yang pentingnya adalah agama dan kepercayaan kita kepada Tuhan. Sebuah rumah ibadat adalah sesuatu yang indah dan perlu ada tetapi dalam keadaan seperti sekarang, Tuhan akan faham," kata Pamela Poh, 67 kepada BeritaBenar.
Carlos Sebastien John, 18, turut berkongsi sentimen yang sama dan menyatakan masyarakat kita masih kurang berdisiplin untuk patuh kepada SOP.
"Ini terbukti seperti di restoran apabila keluar makan beramai-ramai. Apa lagi untuk ahli tempat ibadat yang tidak bertemu antara satu sama lain untuk tempoh beberapa bulan? Akan banyak berlakunya sentuhan seperti pelukan dan berjabat tangan," katanya kepada BeritaBenar.
Tasha Sugumani,28, turut menyuarakan kebimbangan yang sama dan menyatakan beliau akan mengelak dari mengunjungi kuil buat sementara waktu meskipun sudah dibuka semula.
"Akan ada upacara merenjis air dan pengedaran bahan makanan yang menjadi sebahagian daripada upacara, saya rasa masih belum selamat,” katanya.
Bagi Gengammal Valayutham,57, golongan sepertinya yang teruja untuk sembahyang di kuil pasti patuh kepada semua SOP di kuil.
"Saya tidak sabar untuk hadiri 'pooja' dan bertafakur di kuil. Auranya tidak sama meskipun saya bersembahyang setiap hari di rumah," katanya kepada BeritaBenar.
Masjid dibuka lebih awal
Bermula 12 Jun lalu Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan bahawa solat Jumaat dan berjemaah dibenarkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan manakala negeri-negeri tertakluk kepada pengumuman kerajaan negeri masing-masing.
Masjid dan surau di beberapa negeri seperti Terengganu, Melaka dan Kelantan sudah dibenarkan oleh kerajaan negeri masing-masing untuk membenarkan solat Jumaat dan fardu berjemaah pada hari yang sama.
Bagaimanapun, jumlah kehadiran umat ke masjid pada waktu solat adalah berbeza mengikut negeri dan Kedah adalah negeri yang menetapkan jumlah umat paling minima iaitu 12 orang ketika solat Jumaat.
Bagi negeri seperti Terengganu, Melaka dan Kelantan, bilangan jemaah boleh melebihi 40 orang mengikut keluasan masjid serta SOP yang diluluskan kerajaan pusat dengan menjaga penjarakan sosial selain merekod kehadiran.
Negeri Sembilan pula hanya membenarkan majid dan surau di zon hijau dibuka semula sepenuhnya bermula 19 Jun.
Pada 15 Mei lalu, Ismail Sabri menyatakan cadangan SOP untuk penganut agama lain menjalankan aktiviti keagamaan mereka akan dibentangkan pada minggu ini berikutan perlu mengadakan perbincangan dengan kepimpinan wakil lima agama berkaitan.
Tadika dibuka semula 1 Julai
Sementara itu, Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan pada Isnin semua prasekolah, tadika dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di bawah kerajaan mahupun swasta dibenarkan untuk beroperasi semula bermula 1 Julai ini.
Menurutnya, terdapat 24,414 prasekolah dan tadika iaitu 6,216 prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan; 7,887 tadika swasta; 8,530 tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan 1,781 Tabika Perpaduan di bawah Kementerian Perpaduan Negara sementara di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula sebanyak 8,530.
"Kita sudah bersetuju dengan SOP yang dibentangkan mengenai cadangan pembukaan prasekolah dan tadika. SOP telah dibentangkan oleh Kementerian Pendidikan dengan lengkap yang bermula sebelum kemasukan kanak-kanak, sewaktu mereka belajar dalam kelas, begitu juga waktu pulang.
“SOP cara bermain juga ada, waktu makannya.. tetapi perincian SOP ini akan diumumkan Kementerian Pendidikan sendiri, dalam waktu terdekat," katanya pada Isnin.
Pada hari yang sama Malaysia mencatatkan 41 jangkitan baru dengan kes aktif masih di bawah 1,000.
Dari data harian, tiga kes berkaitan dengan rakyat Malaysia yang dijangkiti ketika berada di luar negara sementara 38 yang lain adalah jangkitan domestik dengan 32 melibatkan bukan warganegara Malaysia dari beberapa kelompok termasuk tahanan dari Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil.