Malaysia Benarkan Pengeluaran Dana Persaraan, Tindakan Populis Ringankan Beban
2022.03.16
Kuala Lumpur
Rakyat Malaysia dibenarkan membuat pengeluaran sebanyak RM10,000 (AS$2,383) dari caruman persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu para pencarum yang masih terkesan akibat pandemik, umum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu.
Pengumuman itu menunjukkan kerajaan akhirnya tunduk kepada tekanan daripada rakyat, langkah yang menurut seorang penganalisa sebagai langkah populis namun tidak dapat dielakkan dengan mengambil kira keadaan semasa.
“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. Justeru itu, pada hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
“Ini berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan,” demikian kata Ismail Sabri pada satu sidang media khas yang disiarkan secara langsung di kesemua platform oleh media tempatan.
Mengakui langkah tersebut sebagai keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat, Ismail Sabri menyifatkan pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan para pencarum.
Ujarnya, walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP berkenaan, beliau merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” katanya lagi sambil menambah penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
Untuk rekod kerajaan Malaysia sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM101 bilion (AS$24 bilion), melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara itu dua tahun lalu.
Pengeluaran Khas simpanan KWSP yang pertama iaitu i-Lestari telah diperkenalkan pada April 2020 bagi meringankan beban para pencarum yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan yang melibatkan pengeluaran maksimum sebanyak RM6,000(AS$1,429) yang dibenarkan pengeluarannya secara berperingkat dengan had RM500(AS$119) sebulan.
Pada Julai 2021 kerajaan memperkenalkan pula Skim i-Citra dengan had kelayakan pengeluaran maksima sehingga RM5,000(AS$1,190) dan pada November tahun yang sama, Putrajaya juga meluluskan Pengeluaran Khas KWSP yang ketiga di bawah skim i-Sinar bagi membantu pencarum yang masih terkesan akibat pandemik dengan membenarkan mereka mengeluarkan wang simpanan secara bersyarat mengikut status simpanan akaun masing-masing.
Kerajaan tiada pilihan
Nazari Ismail, ahli ekonomi dan profesor dari Universiti Malaya berkata pengeluaran khas terbaru yang diumumkan kerajaan itu tentunya akan memberi kesan langsung kepada simpanan persaraan pencarum, di samping memberi kesan kepada jumlah simpanan keseluruhan KWSP.
Walaupun ia dilihat sebagai langkah populis, namun ianya perlu memandangkan ramai rakyat yang masih terkesan akibat pandemik.
“Secara tidak langsung, ia adalah langkah populis tetapi rakyat juga dalam keadaan terdesak dan [pengeluaran KWSP] sangat membantu khususnya kepada mereka yang benar-benar berada dalam kesusahan, jadi kerajaan tidak mempunyai pilihan,” katanya kepada BenarNews.
Nazari berkata dalam keadaan semasa, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat memandangkan beban hutang kerajaan akibat ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran terdahulu.
“Semua orang perlu belajar untuk hidup berdasarkan kemampuan mereka dan mengelakkan berhutang untuk berbelanja. Ini terpakai untuk semua individu termasuklah kerajaan sendiri.
“Bagi mereka yang sangat terdesak, mereka seharusnya mendapat pembelaan dari golongan yang berkemampuan yang mampu membantu,” ujar Nazari.
Pada 3 Mac lalu, Kementerian Kewangan berkata implikasi pengeluaran khas khususnya daripada Akaun 1 bakal memberikan kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara kepada ahli terlibat.
"Daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, setakat 31 Disember 2021, seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000(AS$2,381) setelah majoriti ahli mengeluarkan simpanan melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
"Amaun RM10,000 menunjukkan ahli dijangka hanya mempunyai pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun.
“Pengeluaran khas tersebut juga telah menyebabkan penurunan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada 30 peratus pada akhir 2021,” ujar kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menurutnya, ini secara langsung menunjukkan bahawa 70 peratus atau lebih dua pertiga daripada ahli berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.
Tekanan politik
Pengumuman kerajaan itu disambut baik presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(UMNO) Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan ia sebagai satu kejayaan kepada desakan berterusan oleh parti itu.
“Hasil kesungguhan dan usaha secara istiqamah UMNO, akhirnya hari ini Perdana Menteri telah memutuskan untuk membenarkan pengeluaran sekaligus RM10 ribu dari simpanan KWSP oleh mereka yang memerlukan.
“Saya sangat bersyukur kerana usaha gigih UMNO ini akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan. Walau pun terdapat pelbagai alasan, kelengahan dan tentangan dari banyak pihak, UMNO tidak berganjak dari perkara yang benar dan bermanfaat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada petang Rabu.
Awang Azman Awang Pawi, penganalisis dari Universiti Malaya berkata pengumuman itu sesuatu yang harus Ismail Sabri umumkan jika tidak mahu ianya menjadi isu besar ketika Perhimpunan Agung Tahunan UMNO yang sedang berlangsung.
“Jadi bagi elak kepimpinan perdana menteri dikritik oleh ahli UMNO sendiri maka tindakan politik terpaksa dibuat walaupun PM sendiri pernah menolak cadangan ini pada mulanya,” katanya kepada BenarNews.
Menurutnya, dalam hal ini, Zahid dilihat sebagai juara kepada desakan suara rakyat dan ahli UMNO.
Pandangan itu dipersetujui oleh Mazlan Ali, penganalisis politik dari di Universiti Teknologi Malaysia.
“Jelas sekali selepas pilihan raya negeri Johor, PM diberi tekanan yang hebat oleh UMNO kerana isu pengeluaran KWSP ini telah digunakan sebagai bahan kempen parti itu di Johor,” ujarnya.
Katanya Ismail Sabri yang merupakan naib presiden UMNO akhirnya akur kepada tekanan politik walaupun mengakui pengeluaran khas KWSP akan memberi kesan kepada kehidupan ahli selepas bersara.
Mazlan turut menjangka dalam Perhimpunan Agung UMNO ini perwakilan parti akan mendesak kepada satu resolusi untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.
“Sebagai naib presiden UMNO, beliau akan akur dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO, saya jangka dia akan menerima tekanan apatah lagi Zahid dan Najib Razak (bekas perdana menteri) berada pada kedudukan yang selesa susulan kemenangan parti itu di Johor,” katanya lagi.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.