Akaun Fleksibel: Pejabat KWSP di seluruh negara diserbu pencarum
2024.05.13
Kuala Lumpur
Ribuan rakyat Malaysia menyerbu premis-premis yang menempatkan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh negara pada Isnin, dua hari selepas tabung dana persaraan bagi pekerja swasta mengubah polisinya untuk membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian wang simpanan mereka ketika rakyat berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, di sebalik sambutan hangat dalam kalangan ahli KWSP terhadap polisi baharu tersebut, pakar ekonomi menyuarakan kebimbangan mengenai kebajikan jangka panjang para pencarum yang mempunyai simpanan rendah, terutama sekali selepas mereka memasuki usia persaraan.
Berdasarkan pemerhatian di media sosial dan laporan media tempatan, pencarum mula menyerbu pejabat KWSP di pelbagai lokasi di seluruh negara sebaik sahaja agensi tersebut memulakan operasi pada jam 8 pagi Isnin, dengan ramai daripada mereka dilaporkan mahu mengemas kini maklumat akaun serta pengesahan digital untuk membolehkan mereka memohon pengeluaran wang simpanan secara dalam talian.
"KWSP Seberang Jaya tadi penuh dengan orang ramai. Dari awal pagi sampai waktu tutup kaunter. Esok pun rasanya masih sama," menurut pengguna laman media sosial Facebook Norazmin Abdullah, merujuk kepada pejabat agensi itu di sebuah daerah di negeri Pulau Pinang.
"Ramai betul orang di KWSP. Kena pergi semula pagi esok. Sampai jam 2.30 petang, orang penuh beratur sehingga ke Maybank," kata seorang lagi pengguna Facebook, Yanie Yahaya yang profilnya menyatakan berasal dari negeri Perlis.
Sabtu lalu, KWSP melancarkan penstrukturan semula akaun ahli dana berkenaan dengan memperkenalkan akaun ketiga dikenali sebagai Akaun Fleksibel yang membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada simpanan hari tua mereka pada bila-bila masa tanpa sebarang syarat atau permohonan.
Langkah tersebut dipercayai sebagai respon kepada desakan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas bagi membantu mereka yang menghadapi kesulitan kewangan.
Sebelum ini, kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri terdahulu pernah membenarkan pencarum KWSP membuat beberapa pengeluaran khas bagi membantu menampung kos sara hidup selepas negara dilanda wabak COVID-19.
Menurut laman web KWSP, Akaun Fleksibel itu merupakan tambahan kepada akaun sedia ada iaitu Akaun Persaraan yang dikenali sebagai Akaun 1 dan Akaun Sejahtera (Akaun 2).
Pengeluaran simpanan dalam Akaun 1 hanya dibenarkan selepas ahli mencapai usia persaraan 55 tahun manakala wang di dalam Akaun 2 pula boleh dikeluarkan melalui cara permohonan bagi beberapa tujuan yang ditetapkan KWSP bagi keperluan pra-persaraan seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan.
Di bawah polisi baharu, pencarum boleh memohon untuk memindahkan sebahagian daripada wang yang ada di dalam Akaun 2 mereka ke dalam Akaun 3 manakala bagi mereka yang tidak berbuat demikian, Akaun 3 mereka akan bermula dari kosong.
Dengan penstrukturan semula itu, kadar agihan bagi caruman bulanan akan dibuat dengan 70 peratus disalur ke Akaun Persaraan, 15 peratus ke Akaun Sejahtera dan selebihnya 10 peratus ke Akaun Fleksibel.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn ketika mengumumkan inisiatif itu berkata, kaedah itu diperkenalkan bagi membantu pencarum mengimbangi keperluan persaraan mereka dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
"Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak," kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan KWSP pada 25 April.
Situasi buruk
Sementara itu, pakar ekonomi memberikan amaran mengenai risiko pengenalan Akaun Fleksibel kepada masa depan persaraan pencarum dan menasihatkan para ahli KWSP supaya mengamalkan disiplin kendiri dalam menggunakan kemudahan itu.
Barjoyai Bardan dari Universiti Tun Abdul Razak berkata ramai pencarum KWSP kini mempunyai simpanan di paras membimbangkan dan dijangka tidak akan mempunyai wang yang cukup untuk menampung keperluan mereka di hari tua.
"Terdapat 5.2 juta pencarum yang mempunyai wang simpanan kurang daripada RM50,000 untuk persaraan mereka. Tidak kira sekuat mana mereka bekerja, kumpulan ini tidak akan dapat menyimpan dengan secukupnya iaitu sekurang-kurangnya RM250,000.
"Manakala 3.7 juta lagi pencarum pula mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Kedua-dua kumpulan ini memerlukan bantuan dan kini mereka boleh memindahkan sehingga maksima RM3,000 ke Akaun 3, tetapi akan menyebabkan mereka mempunyai baki simpanan yang sedikit selepas persaraan.
"Langkah ini sebenarnya tidak mencapai apa-apa objektif, malah ia memburukkan lagi situasi mereka. Sudah tentu mereka akan berbelanja apabila perlu, tetapi mereka perlu melakukannya dengan berhemah," kata beliau kepada BenarNews.
Sebaliknya, kata Barjoyai kumpulan yang akan dapat menikmati kemudahan Akaun 3 itu adalah mereka dari golongan pertengahan dan golongan kaya yang akan tetap mempunyai wang mencukupi untuk persaraan walaupun setelah menggunakan wang dari Akaun Fleksibel mereka.
Yeah Kim Leng, ahli ekonomi dari Universiti Sunway pula berpandangan bahawa inisiatif KWSP itu akan dapat membantu mereka yang sedang bergelut dengan situasi kewangan.
Namun kata beliau para pencarum perlu mempunyai disiplin dan hanya membuat pengeluaran sebagai jalan terakhir dan tidak mengambil wang simpanan sekiranya tidak betul-betul memerlukan.
"Sekiranya mereka berdepan situasi yang memerlukan mereka untuk membuat pengeluaran, pencarum perlu menambah semula simpanan mereka (pada masa akan datang).
"Ia adalah mustahak untuk pencarum mempunyai kefahaman bahawa mereka perlu menambah wang simpanan supaya mempunyai wang mencukupi apabila masuk ke alam persaraan. Kerana dengan peningkatan jangka hayat serta kos penjagaan kesihatan terutama bagi yang sudah lanjut usia, mereka perlu menyimpan lebih banyak," kata Yeah kepada BenarNews.
Sentimen serupa turut disuarakan oleh beberapa pengguna media sosial Malaysia yang menyambut baik penstrukturan semula akaun KWSP tetapi turut menasihati para pencarum supaya mengamalkan cara perbelanjaan berhemah.
Pengguna X @aliffshanusi berkata para pencarum perlu beringat dalam menggunakan kemudahan Akaun 3 supaya tidak ditimpa kesusahan pada masa depan.
"Akaun 3 KWSP sudah aktif. Dengan ini kita boleh ada pilihan untuk alihkan baki akaun 2 kepada akaun 3. Akaun 3 boleh dikeluarkan. Tapi ingat sebelum keluarkan. Apa perancangannya? Memang seronok dapat durian runtuh tapi jangan sakit dikemudian hari sudah," kata beliau.
Mohd Ezairol Rezan Zainol pula menulis di Facebook mengenai keperluan merancang untuk hari persaraan kerana terdapat ramai individu dikenalinya terpaksa bekerja semula pada hari tua disebabkan tidak mempunyai wang mencukupi untuk menampung kehidupan selepas usia persaraan.
"Kawan, sebaik saja kita mula bekerja, kena rancang juga pelan persaraan kita. Kalau kita tidak ada keperluan yang mendesak, biarkan saja duit itu dalam akaun 3. Ia boleh juga dijadikan sebagai dana kecemasan untuk kita.
"Selepas dana kecemasan dan dana pendidikan anak, dana persaraan adalah perkara yang wajib kita usahakan sewaktu kita masih mampu bekerja."