Bangunan Ikonik KWSP Petaling Jaya Terbakar Teruk

Hareez Lee
2018.02.13
Petaling Jaya, Selangor
180213-MY-kwsp2-620.jpg Anggota bomba Malaysia sedang memadamkan saki-baki api di Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja [KWSP] di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor, 13 Februari, 2018.
[Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia]

Sebuah bangunan ikonik enam tingkat milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Selangor mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran dipercayai berpunca daripada bahan penebat haba dan penghalang air ‘polyurethane foam’ yang mudah terbakar.

Kejadian itu menyaksikan api bersemarak dengan cepatnya di bahagian luar bangunan KWSP, sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab menyimpan dana simpanan pekerja Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah [Operasi] Jabatan Bomba dan Penyelamat Soiman Jahid berkata, bangunan berusia 58 tahun itu didapati menggunakan ‘polyurethane’ atau juga dikenali sebagai ‘polyfoam’ yang dipasang di dinding bangunan itu.

"Siasatan awal pihak Bomba mendapati dinding bangunan dipasang menggunakan bahan mudah terbakar dan tidak diluluskan oleh mana-mana pihak.  Kebakaran dipercayai bermula dari tingkat satu, di mana kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan dan keadaan pada masa itu pula ditambah dengan angin serta cuaca panas yang turut menjadi pendorong kepada kebakaran tersebut,"

Bahan mudah terbakar itu, kata Soiman, tidak memenuhi spesifikasi seperti ditetapkan dan kontraktor telah melanggar Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Polyfoam adalah bahan sama yang terdapat pada bahagian luar pangsapuri Grenfell Tower di Barat London yang terbakar dan menyaksikan lebih 70 nyawa terkorban pada 14 Jun tahun lalu.

Polis Malaysia pada Selasa juga menolak terdapatnya unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, KWSP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas kejadian pada Selasa memaklumkan mengenai penutupan sementara operasi di bangunan berkenaan bagi sementara waktu dan meminta orang awam melawat cawangan lain bagi urusan rasmi.

Bangunan ikonik melebihi setengah abad itu pernah beroperasi sebagai Ibu Pejabat KWSP selama 35 tahun dari tahun 1960 sehingga 1995, mudah dikenali kerana terletak bersebelahan dengan Lebuhraya Persekutuan dan sering menjadi panduan rakyat Malaysia yang melalui perjalanan ke Selangor atau Kuala Lumpur.

Dalam kejadian di Jalan Gasing lebih kurang 11.50 pagi itu, lebih seratus orang termasuk pekerja KWSP berada di dalam bangunan tersebut dan sempat menyelamatkan diri, menurut seorang pegawai bomba.

Alimaddia Bukri, pegawai bahagian operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, memberitahu BeritaBenar tindakan pantas pekerja yang berada di dalam bangunan semasa  kejadian dengan lari keluar dari bangunan adalah antara faktor yang menyelamatkan mereka.

Difahamkan sejumlah 70 anggota bomba dengan lapan jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dan Kuala Lumpur dikejarkan ke lokasi kejadian.

Alimaddia berkata, latihan kebakaran yang selalu dijalankan oleh pengurusan KWSP terhadap pekerjanya serta kepantasan jentera bersama anggota bomba yang berjaya sampai ke tempat kejadian dalam tempoh lima minit dapat mengawal api daripada merebak dan kemalangan jiwa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 11.52 pagi ini dan tiba di lokasi sekitar 11.58 pagi.

Jaminan KWSP

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang Selasa, memberi jaminan kepada pencarumnya bahawa semua maklumat ahli berada dalam keadaan selamat "kerana data server berada di lokasi yang selamat dengan sistem sokongan serta pemulihan bertaraf dunia."

“Kami ingin memberi jaminan kepada ahli bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas,” kata kenyataan itu.

Pada tahun 2004, kerja-kerja pengubahsuaian telah dilakukan keatas bangunan itu dalam usaha meningkatkan ciri keselamatan bagi Jabatan Teknologi Maklumat serta pejabat KWSP Negeri Selangor.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.