Penceroboh Lahad Datu kekal ke tali gantung
2024.10.02
Kuala Lumpur
Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Selasa mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas tujuh warga Filipina kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, lebih sedekad setelah insiden pencerobohan di Sabah yang telah mengorbankan 70 nyawa termasuk anggota pasukan keselamatan negara itu.
Keputusan tersebut dibuat ketika Malaysia masih bergelut dengan proses perundangan berasingan di Mahkamah Agung Perancis berikutan tuntutan berbilion dolar berkaitan dengan tanah zaman kolonial yang melibatkan waris kesultanan Sulu.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya berkata keputusan menolak permohonan semakan hukuman mati tertuduh dibuat secara sebulat suara.
“Hukuman mati terhadap setiap seorang daripada mereka dikekalkan,” kata beliau ketika membuat keputusan itu tanpa mengulas lanjut.
Tertuduh, Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, anak saudara kepada individu yang mengaku dirinya sebagai Sultan Sulu Jamalul Kiram III; Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H. Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70, dan Julham Rashid, 75, telah membuat permohonan supaya hukuman mati mereka diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023
Akta tersebut yang berkuat kuasa pada 4 Julai tahun lalu membolehkan hakim menggunakan budi bicara bagi menentukan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Ketika ini kesemua tertuduh ditempatkan sebagai banduan akhir di Penjara Kajang, Selangor.
Pada asalnya, seramai sembilan individu telah dikenakan hukuman mati pada 2017 oleh Mahkamah Rayuan namun demikian Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC) Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan kepada BenarNews bahawa dua lagi tertuduh, Salib Akhmad Emali dan Ismail Yasin meninggal semasa sedang menjalani hukuman.
Kedua-dua mereka berusia 64 dan 77 tahun ketika hukuman dijatuhkan.
Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas ketujuh-tujuh tertuduh berdasarkan kekurangan bukti yang mengaitkan penglibatan mereka secara langsung dalam pencerobohan bersenjata itu atau pembunuhan mana-mana pegawai keselamatan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan tersebut pada 2017 dengan menjatuhkan hukuman mati. Mahkamah Persekutuan seterusnya mengekalkan keputusan tersebut pada 2018.
Tiada penglibatan
Di mahkamah pada Rabu, peguam bela Mervyn @ Hasan Sainy berkata kesemua tertuduh tidak terlibat secara langsung dengan pertempuran yang tercetus di Sabah pada 2013.
“Tiada bukti menunjukkan mereka yang menarik picu,” kata beliau. “Mereka tidak ditahan ketika kejadian tetapi di lokasi lain di Sabah.”
“Kami percaya keputusan Mahkamah Tinggi adalah tepat,” kata Mervyn sambil merujuk kepada hukuman penjara seumur hidup yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 2016.
Beliau turut berhujah bahawa tujuh warga Filipina itu tidak melepaskan sebarang tembakan mahupun membunuh anggota pasukan keselamatan Malaysia.
Sebaliknya, mereka telah didakwa susulan perbualan telefon yang mencurigakan dan identiti mereka sebagai ahli Askar Diraja Sulu (Sulu Royal Force), pengikut kepada Allahyarham Jamalul Kiram III yang mengaku dirinya sebagai Sultan Sulu di Selatan Filipina.
“Mereka seharusnya diberikan peluang untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan,” kata beliau.
Bagaimanapun, Dusuki menentang hujah tersebut dan menekankan keseriusan jenayah tersebut yang mewajarkan hukuman mati.
“Terdapat elemen konspirasi dalam kes ini, merentasi sempadan untuk melancarkan perang bagi menuntut Sabah," kata Dusuki kepada mahkamah.
“Tindakan melancarkan perang adalah sesuatu yang amat serius dan harus dikenakan hukuman mati demi kedaulatan negara. Ia hendaklah mencerminkan keseriusan jenayah itu.”
Beliau turut menekankan impak serangan itu ke atas Malaysia.
“Pencerobohan itu telah mendatangkan banyak masalah kepada negara kita,” kata Dusuki. “Ini bermaksud hukuman mati adalah wajar.”
Ketujuh-tujuh lelaki yang berpakaian seragam banduan akhir berwarna merah dan putih itu kelihatan murung di kandang tertuduh, dengan penterjemah Tagalog menyampaikan prosiding mahkamah kepada mereka.
Konflik sedekad
Pada Februari 2013, kira-kira 200 lelaki bersenjata tiba dengan bot flotila yang usang daripada Kepulauan Sulu yang berdekatan dengan Sabah dan menceroboh sebahagian besar pantai di negeri itu.
Memperkenalkan diri mereka sebagai pengikut Sultan Sulu, Jamalul Kiram III, mereka menuntut hak Kesultanan Sulu yang mengikut sejarah pernah memerintah Sabah.
Pencerobohan itu bertukar menjadi insiden keganasan antara puak militan dan anggota keselamatan Malaysia.
Selama beberapa minggu, seramai 72 orang terkorban termasuk 56 anggota tentera Sulu yang bersenjata, 10 anggota keselamatan Malaysia dan enam orang awam.
Kesultanan Sulu pada suatu masa dahulu pernah memerintah sebahagian kawasan yang kini dikenali sebagai Selatan Filipina dan Sabah.
Kesultanan Sulu memerintah pulau-pulau di Kepulauan Sulu, sebahagian kawasan Mindanao di Selatan Filipina dan sebahagian daripada pulau Borneo, termasuk Sabah, sehingga kira-kira awal abad ke-19.
Sabah menyertai Malaysia pada 1963 tetapi negara itu masih membayar sewa kepada Kesultanan Sulu setiap tahun namun telah menghentikannya sejak pencerobohan pada 2013.
Kumpulan Filipina itu menuntut supaya diiktiraf sebagai wakil dari Kesultanan Sulu dan tuntutan mereka ke atas Sabah telah sekian lama menjadi pertikaian antara Malaysia dan Filipina.
Bulan lalu, Malaysia telah tampil di hadapan Cour de Cassation, Mahkamah Agung Perancis dalam pertarungan undang-undang yang berterusan menentang kumpulan yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.
Sejak tahun lalu, Malaysia telah mengambil tindakan undang-undang tegas untuk melindungi kedaulatan negaranya dengan mencabar tuntutan waris Sulu di mahkamah antarabangsa, di mana kejayaan berpihak kepada negara itu apabila keputusan mahkamah menolak keabsahan tuntutan mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said yang menghadiri prosiding itu berkata mahkamah itu mendengar cabaran yang dikemukakan oleh Kumpulan Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.
Mahkamah tersebut telah menolak pengiktirafan di Perancis terhadap anugerah separa berjumlah AS$ 15 bilion kepada kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa setelah mendapati beliau telah mempertahankan bidang kuasanya secara salah.
"Malaysia membuktikan dan mengukuhkan kemenangan 6 Jun 2023 itu," kata Azalina dalam satu kenyataan di akaun media sosial beliau pada 18 September.
"Kerajaan Malaysia memandang serius isu-isu yang melibatkan kedaulatan negara dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang cubaan mana-mana pihak untuk mengganggu gugat kedaulatan dan maruah Malaysia demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau.