Malaysia Kekal Tahap 2 Pemerhatian Kerana Tidak Penuhi Piawaian Minimum
2019.06.20
Washington, District of Columbia
Malaysia tidak memenuhi piawaian minimum dalam menghapuskan pemerdagangan manusia walaupun sudah melakukan usaha penting kearah itu, demikian menurut demikian Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Khamis, sekaligus menjadikan negara itu kekal berada di Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist).
Laporan TIP memuji tindakan kerajaan Malaysia yang telah menjalankan pendakwaan terhadap pegawai yang terlibat dalam penemuan kubur dan mayat etnik Rohingya dan warga Bangladesh pada 2015 di kem-penyeludupan manusia sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand.
“Bagaimanpun Kuala Lumpur tidak menunjukkan peningkatan usaha keseluruhan berbanding tahun sebelumnya dalam memerangi pemerdagangan manusia yang sekaligus menjadikan kedudukan Malaysia kekal pada senarai Tahap 2 Pemerhatian untuk tahun kedua,” kata laporan yang membuat penilaian terhadap 187 negara termasuk Malaysia.
Malaysia berada pada Tahap 2 dalam laporan yang dikeluarkan pada 2017.
Usaha-usaha signifikan yang telah dibuat Malaysia adalah seperti lebih banyak pertuduhan terhadap penyeludup, pengeluaran sejumlah besar pas untuk kebebasan pergerakan mangsa dari tempat perlindungan dan mewujudkan tempat perlindungan tambahan bagi wanita dewasa, tetapi semua itu masih tidak mencukupi bagi mangsa.
Laporan yang dibuat merangkumi aspek pendakwaan, perlindungan, pencegahan dan profil pemerdagangan turut menyebut bahawa Malaysia sebenarnya tidak menunjukkan keseluruhan peningkatan terhadap semua usaha seperti mengenal pasti mangsa, siasatan dan pendakwaan kes yang jauh lebih sedikit berbanding tahun lalu.
"Rasuah yang berkaitan dengan proses bagi warga asing untuk bekerja di Malaysia terus berleluasa dengan kerajaan juga tidak melaporkan pendakwaan baru terhadap pegawai yang terlibat semasa tempoh laporan itu disediakan," menurut laporan itu.
Usaha perlindungan mangsa oleh pemerintah masih tidak mencukupi dan beberapa perkhidmatan pemulihan seperti penjagaan perubatan, panggilan telefon, kebebasan pergerakan, dan pengeluaran kebenaran kerja tidak dilaksanakan secara konsisten sama sekali.
Laporan itu juga menyebut yang kerajaan berhenti membiayai badan bukan kerajaan-NGOs dalam memberi perlindungan manakala rasuah berhubung proses bagi warga asing untuk bekerja di Malaysia terus berleluasa.
Laporan TIP bagi Malaysia itu turut menyebut untuk tempoh lima tahun Malaysia menjadi negara destinasi, sumber dan transit dengan wanita, dan kanak-kanak terdedah kepada buruh paksaan pemerdagangan seks.
“Wanita muda asing yang kebanyakannya dari Asia Tenggara direkrut kononnya untuk bekerja secara sah di restoran, hotel, dan salun kecantikan di Malaysia, tetapi dipaksa melakukan pekerjaan yang menawarkan khidmat seks,” menurut laporan itu.
Selain itu, laporan itu juga menyebut lebih 163,000 pelarian berdaftar dan pencari suaka di Malaysia tidak mempunyai status formal serta keupayaan untuk mendapatkan permit kerja sah, yang sekaligus mendedahkan mereka kepada pemerdagangan manusia.
Pemerdagang juga mengeksploitasikan kanak-kanak pelarian untuk menjadi pengemis dan ini menambahkan kes pemerdagangan buruh kanak-kanak.
Laporan TIP itu mengenal pasti negara terbaik berada pada Tahap 1 dan paling teruk pada Tahap 3.
Negara Tahap 1 mematuhi sepenuhnya piawaian minimum dalam melindungi mangsa pemerdagangan manusia. Negara Tahap 2 melaksanakan usaha-usaha signifikan untuk memenuhi piawaian tersebut manakala negara-negara yang dikategorikan di bawah Tahap 3 menampilkan prestasi paling buruk dalam memerangi masalah tersebut.