Laporan Pemerdagangan Manusia AS: Malaysia Jatuh Tahap Paling Rendah – Tahap 3

Rasuah memudahkan pemerdagangan manusia, kerajaan menangkap dan menyiasat, tetapi tidak mendakwa atau menghukum pegawai terlibat, kata laporan itu.
John Bechtel & Nani Yusof
2021.07.01
Washington
Laporan Pemerdagangan Manusia AS: Malaysia Jatuh Tahap Paling Rendah – Tahap 3 Pekerja asing tanpa dokumen telah ditahan dalam beberapa siri operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia di sekitar Selangor, 7 Jun 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 8.30 malam waktu tempatan ETS - 2021-07-01

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis telah menurunkan kedudukan Malaysia kepada tahap paling rendah - Tahap 3 - dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021, dengan berkata Putrajaya tidak mendakwa pegawai terlibat dalam jenayah berkaitan.

Dalam laporan tahunan yang dilancarkan oleh Setiausaha Negara AS Antony Blinken itu berkata Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimuan dan tindakan signifikan terhadap usaha mengekang pemerdagangan manusia.

“Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum bagi menghapuskan pemerdagangan orang dan tidak melakukan usaha yang signifikan serta mengambil kira kesan pandemik COVID-19 terhadap keupayaannya dalam mengekang pemerdagangan; oleh itu Malaysia diturunkan ke Tahap 3.

"Walaupun ada kebimbangan yang berterusan bahawa rasuah memudahkan pemerdagangan manusia, kerajaan menangkap dan menyiasat, tetapi tidak mendakwa atau menghukum, pegawai yang didakwa terlibat dalam jenayah berkaitan dengan pemerdagangan manusia," kata laporan itu.

Blinken, diplomat tertinggi Amerika Syarikat itu semasa mengumumkan laporan TIP pertama pentadbiran Presiden Joseph Biden berkata, "Memperdagangkan manusia merupakan jenayah teruk. Ini adalah krisis global; ia adalah sumber penderitaan manusia yang amat besar. Secara semula jadinya, ia sering disembunyikan daripada pandangan."

Menurut anggaran, jumlah mangsa pemerdagangan manusia membabitkan hampir 25 juta orang di seluruh dunia, katanya.

"Jenayah ini mencabuli hak asasi manusia; ia mencabuli maruah manusia. Kami menentangnya, anda pun menentangnya, kerana ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

"Kami juga mahu menghentikan pemerdagangan. Kami tahu ia menjejaskan kestabilan masyarakat dan negara. Oleh itu, kita mesti melakukan semua yang boleh sebagai sebuah negara, serta sebagai komuniti global untuk menyekat pemerdagangan di mana sahaja ia berlaku. " kata Blinken.

Dalam bab mengenai Malaysia, laporan lebih 600 halaman itu menyalahkan negara Asia Tenggara tersebut kerana tidak melakukan dengan secukupnya untuk mensabitkan pegawai yang terlibat dalam pemerdagangan manusia supaya mereka dipenjarakan.

"Meskipun adanya kebimbangan berterusan bahawa rasuah memudahkan pemerdagangan manusia, kerajaan telah melakukan tangkapan dan siasatan tetapi tidak mendakwa atau menjatuhkan hukuman terhadap para pegawai yang didakwa terlibat dalam jenayah yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia," menurut laporan itu.

Malaysia sebelum ini berada dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2 selama tiga tahun.

Malaysia sepatutnya diturunkan dari Tahap 2 pada tahun lalu tetapi diberi pelepasan "kerana kerajaan telah memberikan sumber mencukupi untuk satu perancangan bertulis yang, jika dilaksanakan, akan menjadi usaha yang signifikan bagi memenuhi standard minimum," menurut laporan 2020 itu.

Sebaliknya, Malaysia kembali ke Tahap 3 untuk pertama kalinya sejak 2014 dan diletakkan bersama-sama dengan Myanmar, China, Korea Utara, Rusia serta 12 negara lain dalam senarai tahap paling bawah itu. Kesemua 17 negara itu boleh dikenakan sekatan AS untuk pembiayaan bukan berkaitan kemanusiaan dan bukan perdagangan selama tahun fiskal bermula Oktober di bawah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000.

Selain itu, Presiden Biden boleh mengarahkan pengarah eksekutif bank pembangunan multilateral AS dan Dana Kewangan Antarabangsa untuk "menolak sebarang pinjaman atau penggunaan dana institusi lain ke negara Tahap 3 bagi pelbagai tujuan," kata laporan itu.

Seorang pegawai polis Malaysia menjangkakan tahap negara itu akan naik, lapor agensi berita Bernama yang dikendalikan oleh kerajaan awal minggu ini.

“Kami (berusaha) untuk meletakan Malaysia di Tahap 2 atau Tahap 1 seperti yang dicapai oleh negara Singapura dan Filipina. Kita sudah mencapai Tahap 2 pada 2017, dan kita akan memastikan usaha terbaik bersama agensi di bawah MAPO (Majlis Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) walaupun kami tetap berada di senarai Tahap 2 Pemerhatian tahun lalu,” kata Abdul Jalil Hassan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia.

Kebimbangan rakyat Malaysia

Laporan itu juga menyalahkan Malaysia kerana melakukan "57 penyiasatan terhadap majikan dalam sektor pembuatan produk getah berhubung pematuhan terhadap undang-undang perumahan, tetapi tidak menyiasat tuduhan itu sebagai potensi jenayah pemerdagangan manusia."

Pada Disember 2020, kerajaan Malaysia mengemukakan 19 pertuduhan terhadap syarikat pengeluar sarung tangan pakai buang, yang tidak dinyatakan namanya, di bawah Akta Perumahan dan Kemudahan Minimum Pekerja kerana membiarkan keadaan tidak berperikemanusiaan di asrama pekerja migran.

Ia juga mengemukakan 30 pertuduhan terhadap pengeluar sarung tangan getah, yang tidak dinyatakan namanya, susulan siri serbuan di mana pemeriksa buruh menemukan lebih 200 pekerja asing yang hidup dalam keadaan tidak berperikemanusiaan dan tidak bersih, menurut laporan itu.

Kerajaan tidak melaporkan, menyiasat atau mendakwa syarikat-syarikat itu bagi jenayah pemerdagangan manusia walaupun ada bukti kukuh mengenai pemaksaan berdasarkan hutang, menurut laporan itu.

Jurucakap Jabatan Negara mengenal pasti syarikat tersebut sebagai Top Glove Sdn Bhd dan Brightway Holdings.

Pada Julai 2020, ketika penularan meluas pandemik koronavirus, agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengumumkan bahawa ia mengenakan sekatan import terhadap Top Glove dan anak syarikatnya, TG Medical Sdn Bhd, kerana masalah buruh paksa. Top Glove adalah pengeluar sarung tangan getah perubatan terbesar di dunia.

"Bukti menunjukkan pelbagai petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai penggunaan buruh paksa termasuk tunggakan hutang, kerja lebih masa melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri serta keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang buruk," kata seorang jurucakap CBP dalam kenyataan berita pada ketika itu.

Top Glove menyatakan ia mempunyai 19,000 pekerja yang menghasilkan 78.7 bilion sarung tangan pada setiap tahun untuk lebih 2,000 pelanggan di 195 negara.

Sementara itu, laporan itu turut mengkritik kebanyakan negara di Asia atas dakwaanya adanya penglibatan pegawai dalam jenayah pemerdagangan manusia.

Dalam Tahap 3 Malaysia, laporan itu menyatakan, rasuah terus menyukarkan usaha anti-pemerdagangan manusia.

"Laporan yang boleh dipercayai menunjukkan beberapa pegawai yang korup melindungi rumah-rumah pelacuran, tempat seks komersial lain, pemilik kilang dan pemilik bot-bot nelayan daripada serbuan, pemeriksaan dan pendakwaan serta bersekongkol dengan mereka yang melakukan pemerdagangan manusia," kata laporan itu.

"Beberapa polis tempatan dilaporkan tidak memberikan maklumat kepada pihak pendakwa demi untuk melindungi mereka yang melakukan pemerdagangan manusia. Segelintir pegawai kerajaan mendapat keuntungan daripada rasuah dan penglibatan langsung dalam pemerasan dan eksploitasi migran. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.