Malaysia denda dua warga asing berpakaian tidak senonoh semasa larian Pan Asia

Pihak berkuasa mendakwa mereka melanggar norma sosial dengan mengenakan pakaian bertentangan gender dalam acara awam.
Iman Muttaqin Yusof dan Ili Shazwani Ihsan
2024.10.07
Kuala Lumpur
Malaysia denda dua warga asing berpakaian tidak senonoh semasa larian Pan Asia Dua warga asing Arthur Wang (belakang) dan Satyanarayana Prasad Papoli (depan) berjalan keluar selepas dijatuhkan hukuman denda di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, 7 Oktober 2024.
[Z. Akmal/BenarNews]

Mahkamah Malaysia pada Isnin mendenda dua warga asing masing-masing RM5,000 (AS$1,168) selepas mereka mengaku bersalah menyinggung sensitiviti agama dengan memakai pakaian yang tidak senonoh semasa acara larian global di negeri Johor pada minggu lalu, tindakan yang dikritik kumpulan hak asasi manusia sebagai menyekat kebebasan bersuara dalam negara majoriti Islam.

Pihak berkuasa mendakwa mereka melanggar norma sosial dengan mengenakan pakaian bertentangan gender dalam acara awam.

Menurut dokumen mahkamah, Arthur Wang, 66, ditahan kerana memakai "pakaian tidak senonoh" di jalan utama di daerah Pengerang manakala Satyanarayana Prasad Papoli, 70, dari India didakwa melakukan kesalahan serupa berhampiran Hotel Lotus Desaru semasa menyertai Red Dress Run, larian tradisi global anjuran kelab Hash House Harriers.

Mahkamah Sesyen Kota Tinggi menjatuhkan hukuman denda masing-masing sebanyak RM5,000 setelah kedua-dua lelaki itu mengaku salah dan mereka membayarnya serta menyatakan kekesalan di atas kesalahan tersebut. 

Wang, yang berasal dari Taiwan, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak biasa dengan adat tempatan dan tidak berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa.

“Sejak 10 tahun lalu, saya telah mempromosikan budaya Orang Asli Pulau Orkid di Taiwan. Kalaulah saya tahu pakaian itu akan dilihat tidak senonoh di sini, saya tidak akan memakainya,” katanya dipetik akhbar tempatan The Star.

Prasad, dalam pembelaannya berkata pakaian bertentangan gender adalah amalan biasa dalam acara Hash House Harriers di seluruh dunia.

“Saya datang ke sini untuk amal. Bagaimanapun, saya akui kesilapan saya memakai pakaian wanita,” katanya dipetik.

Difahamkan, kedua-dua lelaki itu menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing pada petang Isnin.

Kemarahan orang ramai 

Perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran awam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan Malaysia yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda atau kedua-duanya sekali.

Pada Isnin, Ketua Polis Johor M. Kumar mengesahkan bahawa tiga lelaki termasuk dua warga asing telah ditahan semasa Larian Hash Pan Asia pada hujung minggu lalu.

Mereka didakwa berpakaian tidak senonoh dan lucah dengan pihak berkuasa merampas sari merah, skirt merah dan aksesori lain yang dipercayai dipakai ketika larian.

Walaupun larian itu secara tradisinya merupakan acara amal yang menyeronokkan di mana para peserta berhias dengan pakaian merah, acara di Johor menimbulkan kritikan dengan pengguna media sosial menganggap ia adalah perhimpunan LGBTQ+.

Pendirian tegas Malaysia terhadap hak LGBTQ+ telah menjadi pertikaian selama bertahun-tahun, dengan pihak berkuasa mengharamkan acara dan produk yang dianggap mempromosikan tingkah laku bukan heteronormatif, kata pakar hak asasi manusia sebelum ini.

“Tindakan telah diambil dan pesalah telah ditangkap. Toleransi sifar di Johor,” kata Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam hantaran di X.

Bagaimanapun, presiden Johor Bahru Hash House Harriers, A. Magendran, menolak bantahan orang ramai sambil menegaskan bahawa acara itu tidak mempunyai agenda politik atau sosial.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami memahami dengan jelas sentimen dan sensitiviti rakyat Malaysia, justeru kami tidak berhasrat untuk mempromosikan apa-apa yang boleh mengganggu keharmonian atau mencetuskan kontroversi,” katanya kepada BenarNews.

“Ia adalah satu kesilapan kerana terdapat 2,000 peserta dan kesemua mereka berpakaian merah.

“Mereka tidak mengetahui adat resam, budaya dan sensitiviti di Malaysia. Justeru itu, warga Taiwan yang memakai kostum asalnya berpendapat tidak mengapa untuk berpakaian seperti itu, begitu juga dengan warga India yang memakai pakaian penari tradisional India.”

Menurut Magendran, larian amal itu setakat ini telah mengumpul RM10,100 (AS $2,357) untuk kanak-kanak yang menghidapi cerebral palsy.

Kelemahan penguatkuasaan

Insiden yang dikaitkan dengan LGBTQ+ itu dianggap sebagai satu bentuk kelemahan penguatkuasan undang-undang di negara ini.

“Akibat penguatkuasaan undang-undang yang lemah, insiden lalu tidak pernah dijadikan pengajaran. Isu-isu seperti ajaran sesat, LGBT, militan, jenayah, pelbagai aktiviti penyeludupan, pendatang tanpa izin dan rasuah terus berlarutan,” kata seorang pengguna Facebook Samion Ahmad yang memberi reaksi kepada acara itu.

"Ia seperti hanya bertindak balas selepas kerosakan telah dilakukan."

Majlis Perbandaran Pengerang turut mengambil berat terhadap perkara itu dengan mengkritik penganjur acara kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa atau mendapatkan permit yang diperlukan.

"Penganjur melanggar Akta Kerajaan Tempatan 1976. Kami akan mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti yang tidak menghormati sensitiviti Islam," kata majlis itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut poster dikongsi dalam kumpulan pelari, acara yang diadakan dari 4 hingga 6 Oktober, dipanggil "Larian Pakaian Merah," dengan peserta digalakkan memakai pakaian merah.

Larian itu merupakan sebahagian daripada tradisi global yang bermula dengan San Diego Hash House Harriers pada 1987 dan acara sama telah diadakan di negara Asia Tenggara yang lain termasuk Indonesia pada 2022.

Bagaimanapun, edisi tahun ini menjadi kontroversi kerana iklim sosial Malaysia yang tegang di mana isu jantina, seksualiti dan agama kekal menjadi pertikaian.

Pada awal tahun ini, pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart kerana menjual stokin yang tertera kalimah “Allah” menyebabkan syarikat itu membuat permohonan maaf dan dikenakan hukuman denda.

Kerajaan juga telah mengharamkan jam tangan bertema LGBTQ oleh jenama Switzerland Swatch tahun lepas.

Malaysia, sebuah negara berbilang etnik dengan kaum Melayu merangkumi hampir 70 peratus penduduk yang semuanya beragama Islam telah dikritik di peringkat antarabangsa kerana layanannya terhadap individu LGBTQ+.

Di bawah undang-undang Malaysia, hubungan sesama jantina adalah menyalahi undang-undang dan paparan awam atau sokongan terhadap LGBTQ+ sering kali dikenakan tindakan tegas.

Kawalan sosial 

Kumpulan hak asasi berpendapat bahawa mengenakan hukuman denda terhadap dua warga emas itu merupakan lambang corak kawalan sosial yang lebih luas di Malaysia.

“Ini adalah satu lagi percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara yang dijamin di bawah perlembagaan Malaysia dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” kata Josef Benedict, penyelidik Asia bagi kumpulan hak asasi manusia CIVICUS kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.