Laut China Selatan: Duta dipanggil, nota diplomatik dihantar - semuanya berlaku dalam sebulan
2024.11.16
Washington
Dalam bulan yang tegang secara luar biasa di rantau Laut China Selatan, beberapa negara yang mempunyai pertikaian wilayah di laluan air mempertahankan tuntutan masing-masing dengan tindakan yang secara kolektif meningkatkan 'suhu' di Asia Tenggara.
Duta telah dipanggil, protes dibuat dan nota diplomatik bertukar antara negara terbabit.
China membuat tuntutan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan, tetapi tuntutannya bertindih dengan tuntutan Brunei, China, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya lima tuntutan bercanggah lain yang melibatkan gabungan negara yang berbeza, di perairan rantau ini.
Lima daripada pihak yang menuntut iaitu China, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam, dikaitkan dengan perkembangan dalam tempoh empat atau lebih minggu lalu.
Tiada ketegangan
Namun, beberapa penganalisis serantau dan keselamatan memberitahu BenarNews bahawa mereka tidak percaya berlaku peningkatan ketegangan.
Kadang-kadang, walaupun jarang terjadi, lebih daripada satu pertikaian wilayah Laut China Selatan meletus pada masa yang sama, kata Orson Tan dari Institut Hal Ehwal Indo-Pasifik di Christchurch, New Zealand.
“Tuntutan itu sentiasa ada dan tidak pernah digugurkan. Apa yang berlaku pada ketika ini adalah reaksi terhadap pergerakan daripada pihak lain,” kata Tan, seorang felo penyelidik kanan di institut itu kepada BenarNews.
“Saya fikir situasi yang sama berlaku walaupun Filipina memfailkan kes timbang tara [terhadap China pada 2013].”
Berikut adalah perkembangan yang berlaku dalam tempoh hampir empat minggu, mulai 20 Oktober lalu:
1 - Pada minggu pertama pentadbiran baharu Presiden Indonesia Prabowo Subianto, perkhidmatan pengawal pantai negara itu, Bakamla mengejar dan mengusir kapal pengawal pantai China dari perairan Jakarta, bukan sekali tetapi tiga kali seminggu pada 20 Oktober lalu.
Penganalisis berkata tindakan Prabowo menunjukkan beliau bertegas dalam melindungi kedaulatan Indonesia.
Bakamla berkata kapal China itu "mengganggu" aktiviti tinjauan Jakarta. Beijing pula berkata kawasan itu berada di bawah bidang kuasanya.
2 - Anehnya, hampir tiga minggu kemudian, Indonesia dan China menandatangani perjanjian kerjasama maritim baharu yang dikritik kerana kelihatan memberikan pengiktirafan kepada tuntutan meluas Beijing ke atas Laut China Selatan.
Selepas Prabowo bertemu Presiden China Xi Jinping di Beijing pada 8 November, China mengeluarkan kenyataan "bersama" mengatakan kedua-dua negara telah mencapai "persefahaman mengenai pembangunan bersama dalam bidang tuntutan bertindih."
Pengkritik di dalam dan luar negara mengecam Indonesia atas perjanjian itu dengan mengatakan ia akan menjejaskan negara penuntut lain juga, kerana China boleh menekan mereka memetik pengiktirafan Indonesia terhadap tuntutannya.
Dua hari kemudian, Kementerian Luar Indonesia berkata ia sama sekali tidak mengiktiraf tuntutan China.
Namun kerosakan telah berlaku, kata penganalisis.
3 - Sementara itu laporan berita mendedahkan minggu lalu bahawa jiran Indonesia, Malaysia telah membuat aduan terhadap Vietnam pada bulan lepas mengenai perluasan Hanoi di terumbu Laut China Selatan.
Tindakan tersebut dianggap jarang berlaku antara kedua-dua negara, menurut agensi berita Reuters.
Sekiranya Malaysia memang membuat bantahan sedemikian, penganalisis memberitahu BenarNews bahawa Vietnam bersalah dalam episod ini.
Malaysia telah mengadu tentang pembangunan Vietnam sebuah landasan terbang di terumbu Barque Canada, sebuah pulau buatan yang turut dituntut oleh Kuala Lumpur, kata Reuters.
4 - Di tengah-tengah konfrontasi yang makin meruncing dan berbahaya antara kapal China dan Filipina di Laut China Selatan, Manila minggu lalu menggubal dua undang-undang untuk mengisytiharkan tuntutan maritimnya selaras dengan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Duta dipanggil
Seorang senator Filipina berkata undang-undang itu menguatkuasakan keputusan timbang tara 2016 oleh mahkamah antarabangsa di The Hague. Keputusan itu telah membatalkan tuntutan meluas China di laluan air dalam kes yang dibawa oleh Filipina.
Kesal dengan undang-undang baharu itu, Beijing memanggil duta Manila untuk mengemukakan bantahan dan berkata ia sudah menolak keputusan 2016.
5 - Secara kebetulan atau sebaliknya, dua hari kemudian pada Ahad, Beijing membuat pengumuman yang menurut penganalisis mengukuhkan tuntutannya terhadap Scarborough Shoal di Laut China Selatan.
Beting itu terletak di zon ekonomi eksklusif Filipina.
China mengumumkan garis pangkal laut wilayahnya di sekeliling beting, sambil menambah bahawa ia "mengikut undang-undang antarabangsa" dan beting itu sentiasa menjadi sebahagian daripada wilayahnya.
Kini tiba giliran Manila pula memanggil duta Beijing untuk membantah tentang garis dasar baharu yang dilakukannya pada Rabu.
6 - Dua undang-undang maritim baharu Filipina juga tidak menggembirakan Malaysia.
Kerajaan Malaysia pada Khamis berkata ia membantah undang-undang yang didakwa menceroboh negeri Sabah yang kaya dengan minyak, yang bersempadan dengan Laut China Selatan.
Secara tidak biasa, ia adalah protes kedua Malaysia berkaitan Laut China Selatan dalam tempoh dua bulan setelah sebelumnya dalam memprotes Vietnam.
Setakat Jumaat, Filipina belum memberikan maklum balas terhadap protes itu.
Dengan Malaysia mengambil bakal mengambil alih jawatan pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan, ia perlu bertindak balas sewajarnya kepada rakan-rakan Filipina dan Vietnam mengenai pelanggarannya terhadap kawasan yang dituntut negara itu, kata Tan dari Institut Hal Ehwal Indo-Pasifik New Zealand.
“[Tetapi] tindakan Malaysia tidak akan menjejaskan keadaan keseluruhan di Asia Tenggara. Negara-negara ASEAN sangat biasa bekerjasama sebagai satu blok,” katanya.
“Nota diplomatik ini adalah untuk menyatakan segala niat bagi menunjukkan bahawa Malaysia masih menganggap kedaulatannya tidak boleh dipertikaikan.”