Laut China Selatan: Pembangkang kecam kenyataan ‘cuai’ PM mengenai hak Beijing
2023.04.07
Kuala Lumpur

Blok pembangkang utama Malaysia mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung satu kenyataan 'cuai' yang didakwa dikeluarkan oleh beliau awal minggu ini bahawa Kuala Lumpur sedia berunding dengan Beijing mengenai pertindihan tuntutan kedua-dua negara ke atas wilayah di perairan Laut Cina Selatan.
Kenyataan itu, yang didakwa dikeluarkan oleh Anwar selepas lawatan ke China minggu lepas, telah merisikokan kedaulatan negara kerana beliau merujuk kepada kawasan yang merupakan wilayah milik Malaysia, kata pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu hantaran di laman Facebook pada lewat Khamis.
Anwar memaklumkan Parlimen pada Selasa bahawa isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan telah dibincangkan semasa beliau melawat Beijing minggu lepas apabila China membangkitkan aktiviti cari gali minyak di lautan yang dijalankan oleh syarikat Petronas milik Malaysia.
Perdana Menteri berkata beliau telah memberitahu China bahawa Petronas akan terus menjalankan aktivitinya di Laut Cina Selatan kerana "Malaysia bertegas bahawa ia dilakukan di kawasan milik Malaysia" tetapi "kalau negara China anggap ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan."
Muhyiddin, Presiden Parti Bersatu yang mengetuai PN, menyifatkan kenyataan Anwar sebagai tidak bertanggungjawab.
"Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri. Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan," kata Muhyiddin.
"Pada hakikatnya, kawasan cari gali Petronas yang dirujuk oleh Perdana Menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China."
Anwar tidak menyebut secara spesifik projek yang dimaksudkan namun beliau dipercayai merujuk kepada projek Kasawari di perairan Sarawak dan terletak di tenggara Luconia Shoals yang berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.
Menurut sebuah badan pemikir Washington, kerja-kerja semakin giat dijalankan dalam projek Kasawari ketika ini dan dijangka mula mengeluarkan hasil petroleum pada tahun ini.
Muhyiddin berkata kenyataan Anwar di Parlimen telah mengundang risiko ancaman terhadap kedaulatan Malaysia.
"Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara," katanya.
"Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing."
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk perairan dalam zon ekonomi eksklusif Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan. Walaupun Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai pihak dalam pertikaian Laut China Selatan, Beijing turut menuntut hak bersejarah di bahagian perairan yang bertindih dengan EEZ Indonesia.
Laut China Selatan adalah satu daripada laluan perairan paling sibuk di dunia dan mempunyai banyak sumber semula jadi. Beberapa ketegangan pernah berlaku di kawasan itu yang melibatkan pertikaian maritim mengenai projek penerokaan minyak dan gas serta hak menangkap ikan.
China menonjolkan kehadirannya di Laut China Selatan dengan menempatkan kapal-kapalnya, sama ada kapal tentera atau bukan tentera, hampir setiap masa di perairan yang menjadi pertikaian itu berhampiran Beting Patinggi Ali, yang dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Luconia Shoals, kata penganalisis.
Malaysia telah menghantar kapal tenteranya untuk memantau sebuah kapal China yang meronda berhampiran projek Kasawari di tenggara Luconia Shoals.
Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI) di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Washington telah menyatakan bahawa kapal Pengawal Pantai China CCG 5901 tiba di Luconia Shoals pada 17 Feb dan sehingga Khamis lepas masih berada di kawasan itu.
Kedudukan ASEAN
Tambah Muhyiddin, sebarang rundingan mengenai tuntutan dibuat China mesti selari dengan konsensus dibuat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Tata Kelakuan Untuk Laut Cina Selatan.
"Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali," kata Muhyiddin.
"Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN."
Indonesia, yang merupakan pengerusi ASEAN untuk tahun ini, telah memulakan kembali rundingan dengan China mengenai kod tata kelakuan untuk Laut Cina Selatan. Negara-negara ahli ASEAN dan pegawai kerajaan China telah mengadakan siri pertama rundingan mereka pada minggu kedua Mac.
Negara-negara ASEAN mahukan satu kod tata kelakuan yang "efektif, substantif dan boleh dilaksanakan" di kawasan tuntutan bertindih di Laut Cina Selatan, kata Jakarta selepas perbincangan itu, walaupun seorang pegawai Kementerian Luar Negeri Indonesia mengelak daripada mengulas mengenai isu tersebut ketika ditanya sama ada kod berkenaan akan menjadi satu peraturan yang mengikat.
Anwar dilaporkan memberitahu sebuah agensi media China bahawa isu Laut Cina Selatan sepatutnya tidak menjadi satu "perbalahan", dan dialog bersama negara-negara Asia Tenggara lain yang turut membuat tuntutan sepatutnya menjadi cara yang digunakan bagi mencari jalan penyelesaian.
"Saya telah menyatakan bahawa kita mempunyai potensi minyak dan gas di kawasan itu dan kita perlu meneruskan tuntutan di kawasan itu, tetapi pihak China mahu membincangkannya, jadi kita berbincang," Anwar dilaporkan memberitahu media China itu, menurut agensi berita kerajaan Malaysia, Bernama.
"Saya percaya tiada penyelesaian mudah untuk masalah itu. Sambil kita menganggap satu sama lain sebagai kawan, kita terus berdialog, masalah ini bukanlah satu yang tidak boleh diatasi."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.