Malaysia Bebaskan Aktivis Tayang Dokumentari Perang Sri Lanka

Fahirul N. Ramli
2016.03.10
Kuala Lumpur
160310-my-lenahendry620 Pengarah program Pusat Komunikasi Masyarakat (KOSMAS), Lena Rasathi Hendry, ditemani oleh peguam New Sin Yew di luar mahkamah Majistret Kuala Lumpur sebaik saja mahkamah itu melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan menayangkan filem dokumentari 'No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka', yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia, 10 Mac, 2016.
Fahirul N. Ramli/BeritaBenar

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis, membebaskan seorang aktivis hak asasi manusia daripada tuduhan menayangkan filem dokumentari, menggambarkan perang saudara Sri Lanka, yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia.

Pengarah program di Pusat Komunikasi Masyarakat (KOSMAS) Lena Rasathi Hendry, 31 dibebaskan selepas Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menolak keperluan baginya membuat pembelaan dan memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu.

"Setelah meneliti keterangan dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," kata majistret itu.

Dokumentari 'No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka' terbitan sebuah syarikat produksi dari United Kingdom memaparkan penindasan berpanjangan yang didakwa telah dilakukan oleh kerajaan Sri Lanka terhadap rakyat negara itu.

Kerajaan Sri Lanka yang menafikan penindasaan itu, cuba untuk menghentikan tayangan dokumentari berkenaan, walaupun tayangannya telah dibuat secara meluas di peringkat antarabangsa sebagai usaha memberitahu dunia mengenai jenayah perang yang dahsyat telah berlaku di negara itu sekitar tahun 2009.

Filem berkenaan juga telah membantu menyakinkan perwakilan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk melancarkan siasatan utama ke atas peristiwa yang menyaksikan puluhan ribu masyarakat Tamil, Sri Lanka yang tidak bersalah terbunuh selepas dipercayai diserang oleh tentera kerajaan negara itu.

Pada 3 Julai 2013, beberapa pegawai dari Kementerian Dalam Negeri Malaysia menangkap Lena dan dua lagi rakannya dari KOSMAS, di dalam satu serbuan apabila mereka cuba menayangkan dokumentari kontroversi yang tidak ditapis itu.

Tayangan itu diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela di ibu negara Kuala Lumpur.

Sebelum filem dokumentari itu ditayangkan, pihak Kedutaan Sri Lanka di Kuala Lumpur  cuba  menghentikannya dengan meminta pihak Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor agar tidak membenarkan tayangan itu dibuat di dewan berkenaan.

Pada 19 September 2013, Lena telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002 kerana menayangkan satu dokumentari tanpa kelulusan Lembaga Penapisan.Filem.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM30,000 atau kedua-duanya.

Peruntukan undang-undang Malaysia, melarang mana-mana filem atau bahan publisiti filem yang tidak diluluskan, berada dalam simpanan atau dipamerkan. Lena, ketika dihubungi BeritaBenar berkata, pertuduhan terhadapnya "membuang masa mahkamah dan semua pihak yang terlibat."

"Mereka perlu membenarkan pembela hak asasi manusia seperti kami untuk melakukan kerja kami," katanya.

‘Kemenangan kecil’

Beliau menambah, pembebasan beliau adalah kemenangan kecil dalam perjuangan besar dan berpanjangan, terhadap pelbagi isu kebebasan bersuara dan maklumat di Malaysia.

"Saya gembira bahawa kes ini ditolak, tetapi perjuangan hak untuk mendapatkan maklumat dan bersuara tidak akan berakhir di sini.

"Tidak ada individu yang harus ditindas untuk perkara ini, dan saya percaya bahawa kes saya telah menampilkan satu lagi undang-undang zalim di negara ini," kata beliau, sambil menambah bahawa, semua orang perlu terus menuntut ruang untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

KOSMAS adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 1993 bagi memperjuangkan kesedaran hak asasi manusia menerusi platform media moden dan kreatif.

"Kita tidak perlu takut untuk bersuara tentang hak-hak kita," tambah Lena lagi.

Sementara itu, peguamnya New Sin Yew berkata, pasukan pembelaan berasa lega apabila mahkamah bersetuju dengan hujah yang kemukakan kepada mereka, bahawa kes itu "tidak mempunyai asas" dan pertuduhan pula remeh.

"Kes-kes seperti ini biasanya hanya dikompaun tanpa perlu mengenakan caj di mahkamah dan menjalani perbicaraan," kata New kepada BeritaBenar.

‘Keadilan dilaksanakan’

Beliau berkata, anak guamnya didakwa hanya kerana perjuangan menentang pembunuhan beramai-ramai di Sri Lanka dan menekankan bahawa hak asasi manusia negara hanya boleh diperbaiki jika semua orang berpegang teguh kepada "kata-kata dan semangat perlembagaan."

Sementara itu, Timbalan Pengarah Human Rights Watch (Asia) Phil Robertson berkata, "keadilan akhirnya dilaksanakan" dalam pembebasan Lena dan menggesa supaya akta itu dimansuhkan.

"Ini adalah kes yang bermotifkan politik yang tidak sepatutnya didakwa pun, dan pelanggaran secara terang-terangan ke atas hak untuk bersuara secara bebas.

"Pada masa akan datang, daripada filem berakhir di lantai bilik tapisan atau diharamkan sama sekali oleh pihak penapis Malaysia; sepatutnya peruntukan yang zalim dalam Akta Penapisan Filem yang harus dipotong oleh penggubal undang-undang Malaysia. Tiada siapa pun yang harus melalui pengalaman yang dihadapi oleh Lena hanya kerana menayangkan sebuah filem,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil bermula pada Disember tahun lalu sehingga Januari 2016 sepanjang perbicaraan lima hari itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.