Kumpulan hak asasi LGBTQ+ kutuk rampasan jam tangan pelangi Swatch
2023.05.24
Kuala Lumpur
Kumpulan hak asasi dan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ+) menyelar pihak berkuasa Malaysia berikutan tindakan merampas 172 jam tangan rona pelangi keluaran jenama Swatch, dengan menyifatkan serbuan di beberapa kedai di seluruh negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim tersebut sebagai “tidak wajar” dan “penuh kebencian”.
Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah merampas jam tangan Koleksi Pride keluaran syarikat Switzerland itu ketika melakukan serbuan di 11 kedai di antara 13 dan 15 Mei lalu, kata pengurus pemasaran Swatch Sarah Kok kepada BenarNews pada Rabu. Lima lagi kedai pula diarahkan untuk mengeluarkan produk tersebut dari rak-rak jualan.
Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN menggunakan akta kontroversi iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sebagai asas kepada serbuan yang dilakukan, menurut notis rampasan yang dilihat oleh BenarNews.
Akta tersebut mengandungi peruntukan berhubung kawalan jualan produk yang didapati memudaratkan moral.
Komuniti LGBTQ+ telah lama berhadapan dengan diskriminasi di Malaysia di mana perbuatan homoseksual adalah dilarang dan perbuatan meliwat boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan, dengan serbuan terkini itu telah meningkatkan kebimbangan dalam komuniti tersebut.
“Serbuan yang tidak wajar ke atas barangan berunsur ekspresi, yang mempamerkan warna simbol sejagat bagi kepelbagaian dan keterangkuman, secara langsung bercanggah dengan prinsip kebebasan berekspresi serta galakan untuk bertoleransi dan saling memahami,” kata Dhia Rezki Rohaizad, timbalan presiden Jejaka iaitu kumpulan hak asasi gay Malaysia dalam kenyataannya.
“Sama ada serbuan dan rampasan tersebut sah atau tidak, ia boleh diragui. Sebagai satu jenama antarabangsa, Swatch mempunyai hak untuk menjual koleksinya tanpa bimbang adanya campur tangan kerajaan selagi mana produk berkenaan tidak haram atau membahayakan,” kata Thilaga Sulathireh, pengasas bersama Justice for Sisters.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap serbuan itu dan berpendapat ia menunjukkan isyarat homophobia dan ekstremisme yang semakin menular di Malaysia.
“Malaysia mempunyai peranan untuk melindungi semua golongan termasuklah LGBT,” katanya kepada BenarNews.
“Melalui kajian, tinjauan yang kami lakukan ke atas komuniti tersebut, kami dapati diskriminasi dan peminggiran yang dialami oleh mereka membawa kepada tekanan dan bebanan kesihatan mental, pengasingan serta keinginan untuk bermigrasi atau memohon suaka di negara lain,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa diskriminasi yang berterusan juga mengurangkan kepercayaan golongan itu terhadap institusi kerajaan dan membuatkan mereka yang terkesan berasa berat hati untuk melaporkan kes penderaan atau mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Kempen anti-LGBT
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch Nick Hayek Jr. ketika mempertahankan Koleksi Pride pula menekankan mengenai mesej positif yang dibawa iaitu kegembiraan dalam kehidupan.
“Kami dengan sekerasnya tidak bersetuju bahawa koleksi jam tangan kami yang menggunakan warna pelangi dan menyampaikan mesej keamanan serta kasih sayang ini boleh mendatangkan mudarat kepada sesiapa sahaja,” katanya.
Joachim Bergström, duta besar Sweeden ke Malaysia, berkata semua orang mempunyai kesamarataan dari segi maruah dan juga hak.
“Mereka dikurniakan akal dan nurani, seharusnya mereka melayani satu sama lain dengan semangat persaudaraan,” kata Bergström kepada BenarNews.
Gerakan diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ+ di Malaysia sering diterajui ahli politik negara itu.
Pada Februari lalu, tindakan kerajaan telah menarik perhatian ramai apabila ia mengharamkan dua buah buku kanak-kanak yang didakwa mempromosikan “gaya hidup LGBT” beserta dengan sebuah novel yang disifatkan sebagai “mendatangkan mudarat kepada moral rakyat Malaysia.”
Terbaharu, parti politik konservatif di Malaysia telah menggesa agar persembahan konsert oleh kumpulan muzik ternama British, Coldplay, dibatalkan berikutan sokongannya terhadap Gerakan Pride.
Menteri Hal Ehwal Agama Islam Mohd Na’im Mokhtar, dalam satu jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin, menyatakan bahawa satu jawatankuasa khas antara agensi telah ditubuhkan untuk menangani isu berkaitan individu Muslim yang terlibat dalam aktiviti LGBTQ+.
“Walaupun begitu, kerajaan masih tidak mendiskriminasikan mana-mana golongan termasuk LGBT,” kata menteri tersebut.
Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch Asia melabelkan serbuan tersebut sebagai “amat mengarut” dan mengkritik “kempen anti LGBT yang penuh dengan kebencian”.
“Rakyat Malaysia yang bersifat konservatif di dalam dan di luar kerajaan seolah-olah sedang mengatur strategi untuk menjatuhkan moral dan meminggirkan komuniti LGBT dengan menyerang simbol mereka sama ada berbentuk bendera, jam tangan, baju berona pelangi mahupun acara komuniti tersebut,” kata Robertson kepada BenarNews.
“Persoalan utamanya ialah apakah pendirian sebenar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan dalam isu hak asasi kemanusiaan ini.
“Mereka tidak boleh terus menerus gagal dalam melindungi golongan LGBT di Malaysia dari serangan seumpama ini tetapi kemudian berpaling dan mendakwa di persada antarabangsa bahawa mereka adalah kerajaan yang menghormati hak individu.”
Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang dalam laporan ini.