Limau mandarin naik harga, lokam ‘tetap di hati’ menjelang Tahun Baru Cina
2025.01.22
Kuala Lumpur

Limau mandarin yang melambangkan simbol tuah bagi masyarakat Tionghoa dan menjadi buah tangan serta ‘hidangan wajib’ pada sambutan Tahun Baru Cina mengalami kenaikan harga menjelang perayaan itu pada tahun ini.
Kenaikan itu disebabkan penurunan 30 peratus import bekalan buah itu dari China yang merupakan pengeksport terbesar limau mandarin ke Malaysia, demikian menurut pengimport tempatan serta data kerajaan.
“Pembekal di sana (China), termasuk di Yongchun dan Xiamen kurang bekalan limau mandarin, terutamanya jenis 'lokam' yang paling banyak diimport. Tahun ini kurang 20 peratus ke 30 peratus (limau mandarin dari China) masuk ke Malaysia.
“Biasanya, setiap tahun kita beli kira-kira 2,000 kontena, tapi tahun ini sekitar lebih 1,000 kontena sahaja. Biasanya satu kontena boleh memuatkan kira-kira 6,000 kotak dengan setiap kotak memuatkan 24 hingga 28 biji limau mandarin,” jelas Presiden Persatuan Pemborong Buah-Buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy kepada BenarNews.
Chin berkata penurunan bekalan import limau mandarin juga dipengaruhi situasi musim penanaman kurang baik yang menjejaskan hasil pengeluaran.
Namun limau mandarin dari China terutamanya jenis lokam tetap menjadi pilihan pemborong kerana faktor kos yang lebih murah serta rasanya lebih manis berbanding limau dari negara lain selain permintaannya yang tinggi dalam kalangan pembeli.
“Dianggarkan 60 hingga 70 peratus pembeli masih pilih lokam. [Ia] memang popular sebab sesuai untuk semua golongan, mudah didapati dan harga pun berpatutan,” katanya.
Perkara itu diakui pemborong buah-buahan, Song Heng Fruits yang berpengkalan di Melaka.
“Kebanyakan pemborong memang memilih untuk import limau mandarin dari China. Jika tidak cukup baru mereka ambil dari sumber negara lain bagi menampung permintaan daripada pembeli," katanya kepada BenarNews.

Tiada kawalan harga
Menurut data dibekalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada BenarNews, Malaysia telah mengimport 289,149.67 tan metrik limau mandarin dari 2021 hingga Oktober 2024 bernilai lebih RM1.35 bilion (AS$599.5 juta) dengan China terus menjadi negara pengeksport tertinggi sejak 2021.
Tahun lalu, hampir 85 peratus dari 73,280.52 tan metrik stok limau mandarin yang diimport adalah dari China menurut data kementerian dari Januari hingga Oktober .
Empat negara lain yang turut mengeksport limau mandarin ke Malaysia ialah Afrika Selatan, Australia dan Mesir.
Malaysia bergantung sepenuhnya kepada sumber import bagi memenuhi keperluan domestik limau mandarin dan tidak mengeluarkannya secara komersial kerana faktor cuaca kerana ia memerlukan iklim subtropika untuk pertumbuhan optimum, jelas kementerian itu.
“Kerajaan Malaysia tidak menetapkan harga kawalan bagi limau mandarin dan ia bergantung kepada harga pasaran semasa,” ujarnya.
Kata kementerian, berdasarkan tinjauan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sebuah pasar borong di Kuala Lumpur, harga borong semasa sekotak limau mandarin ditetapkan pada kadar RM22-RM24 [AS$4.9-AS$5.4] untuk saiz XL (20 hingga 22 biji) dan RM18-RM20 [AS$4.05 -AS$4.50] untuk saiz L (24 hingga 26 biji).
Bagi saiz M (28 hingga 30 biji) pula ditetapkan pada kadar harga RM16-RM18 [AS$3.60-AS$4.05] sekotak.
Menurut peniaga kecil, harga jualan runcit limau mandarin meningkat sekitar RM3 hingga RM4 (AS$0.67 - AS$0.89) sekotak berbanding tahun lalu.
Harapkan tuah
Walaupun peningkatan harga dikatakan masih pada tahap yang minimum, pembeli Sara Liu Cheng, 35, berpendapat, ia membebankan pengguna sekiranya dibeli dalam kuantiti yang banyak.
“Memanglah kenaikan tidak begitu tinggi kerana saya membeli dua kotak, tetapi bagi mereka yang perlu membeli dalam kuantiti banyak, rasanya terbeban juga,” katanya kepada BenarNews.
Meskipun terpaksa menghadapi kenaikan harga, masyarakat berketurunan Cina di Malaysia tetap tidak melepaskan peluang untuk membeli buah tersebut kerana ia melambangkan tuah kepada mereka.
“Kerana ‘ong’ [tuah] jadi boleh dijadikan bahan sembahyang oleh masyarakat Cina, boleh dihidangkan kepada tetamu sebab manis dan diberi kepada rakan-rakan dan saudara-mara,” kata seorang lelaki Cina yang hanya mahu dikenali sebagai Teh kepada BenarNews.
Ratu cantik serta selebriti berketurunan Cina berasal dari Malaysia, Soo Wincci turut menyediakan beberapa kotak limau mandarin untuk dihadiahkan kepada kenalannya.
“Kadang-kadang saya akan beli sekitar enam hingga tujuh kotak untuk disimpan di rumah, jadi bila ada majlis rumah terbuka, semua orang boleh makan bersama-sama,” katanya.
Malah, beliau berpendapat walaupun kehidupan semakin moden, limau mandarin tetap relevan sebagai pemanis mulut dan dijadikan pemberian istimewa kepada tetamu pada sambutan Tahun Baharu Cina.
“Limau mandarin jika disebut dalam bahasa Kantonis dipanggil ‘kam’ yang bermaksud emas…sebab itu kami akan menghadiahkan buah limau untuk rakan dan keluarga sebagai simbolik kepada kekayaan,” katanya.
Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang dalam laporan ini.