Malaysia beri amaran ia bukan tapak lupus sisa elektronik berbahaya

Pesalah boleh didenda sehingga maksimum RM10 juta (AS$2.12 juta) serta hukuman penjara melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling yang bakal berkuat kuasa pada 7 Julai depan.
Noah Lee dan Minderjeet Kaur
2024.06.26
Kuala Lumpur
Malaysia beri amaran ia bukan tapak lupus sisa elektronik berbahaya Pasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggempur lebih 100 kontena sisa elektrik, elektronik dan skrap logam yang diseludup masuk secara haram melalui perairan negara dari Amerika Syarikat (AS) di Pelabuhan Klang, Selangor, 26 Jun 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Rabu memberi amaran kepada penyeludup sisa elektronik (e-waste) bahawa negara itu bukan "tapak pembuangan" bahan berbahaya tersebut, dengan turut mengumumkan hukuman lebih berat bakal menanti mereka yang bertanggungjawab mengimport sisa bernilai AS$1.7 juta melalui pelabuhan utama negara itu sepanjang tempoh tiga bulan lepas.

Peringatan itu dibuat selepas pihak berkuasa Malaysia merampas sisa yang dibawa masuk secara haram menggunakan kapal ke Pelabuhan Klang, Selangor di mana kebanyakan sisa tersebut adalah peralatan dan bahagian yang turut mengandungi bahan toksik.

Ia didapati datang dari sebuah pelabuhan di Los Angeles, Amerika Syarikat dan diisytiharkan secara salah sebagai skrap logam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata negara itu tidak akan berkompromi dengan mereka yang didapati terlibat dalam aktiviti mengimport e-waste yang telah diharamkan oleh kerajaan sepenuhnya.

"Saya ingin menegaskan bahawa adalah menjadi dasar negara untuk tidak membenarkan pengimportan e-waste dan tindakan akan diambil ke atas pihak pengimport, ejen penghantaran dan logistik, pengangkutan kargo dan syarikat 'liners' atau 'carriers' yang terlibat dalam pengimportan bahan buangan berbahaya termasuk e-waste secara haram.

"Kita berusaha kuat supaya Malaysia tidak menjadi 'tapak pelupusan'. Kerajaan mengambil serius perkara ini dan mesti ada usaha bersepadu untuk membanteras ativiti ini," tegas beliau dalam satu sidang media pada Rabu.

Menurut Nik Nazmi, Parlimen Malaysia telah meluluskan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling pada awal tahun ini supaya tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap mereka yang terlibat membawa masuk e-waste ke negara itu. 

Katanya pindaan termasuk meningkatkan jumlah denda sehingga maksimum RM10 juta (AS$2.12 juta) serta hukuman penjara jika sabit kesalahan.

Kerajaan sedang dalam proses mewartakan undang-undang baharu melibatkan pindaan tersebut yang dijangka berkuat kuasa pada 7 Julai depan, tambahnya.

Dalam kes terbaharu di Pelabuhan Klang, menteri itu berkata pihak berkuasa kastam telah menahan sebanyak 301 buah kontena yang tiba di pelabuhan tersebut di antara 21 Mac dan 19 Jun, termasuk 106 yang didapati mengandungi skrap logam.

Susulan penemuan itu, satu pemeriksaan bersepadu telah dijalankan oleh agensi-agensi berkaitan berserta siasatan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Tambah Nik Nazmi kontena yang terlibat didapati dibawa masuk oleh kapal-kapal antarabangsa termasuk sebuah kapal dari Amerika Syarikat.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan termasuk menghantar balik e-waste import ke negara asal," tegas Nik Nazmi.

KONTENA E-WASTE_01.jpg

Antara sisa elektrik, elektronik dan skrap logam yang terdapat dalam kontena yang diperiksa oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang diseludup masuk secara haram melalui perairan negara dari Amerika Syarikat, di Pelabuhan Klang, Selangor, 26 Jun, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Rosak alam sekitar

Sementara itu, amaran tegas yang dibuat kerajaan terhadap aktiviti penyeludupan e-waste disokong beberapa kumpulan dan pertubuhan bukan kerajaan pencinta alam, yang turut menyelar tindakan tidak bertanggungjawab syarikat yang sanggup merisikokan alam sekitar bagi menjimatkan kos mereka.

Nadzri Yahaya, Pengerusi Persatuan Perunding dan Syarikat Alam Sekitar Malaysia, berkata negara itu tidak boleh mengambil risiko dengan menguruskan sisa elektronik dari negara lain.

"Kita mempunyai sisa sendiri yang perlu diproses dengan pemantauan Jabatan Alam Sekitar. Kita tidak perlu menguruskan e-waste orang lain kerana bahan itu boleh merosakkan alam sekitar sekiranya tidak dikendalikan dengan baik dan boleh menyebabkan pencemaran toksik terhadap sumber air negara," kata beliau kepada BenarNews.

Menurut Nadzri yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Malaysia telah mengharamkan secara total aktiviti import sisa elektronik kerana terdapat operator yang enggan mengikut prosedur yang betul, selain terdapat mereka yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram bagi mendapatkan keuntungan.

Tambahnya pihak berkuasa terutama kastam perlu lebih berwaspada di pintu-pintu masuk negara supaya tidak terlepas pandang dan menyebabkan bahan berbahaya masuk ke dalam negara.

Bagi Randolp Jeremiah dari Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia, terdapat syarikat yang memilih untuk membuang sisa elektronik secara haram disebabkan kos untuk memproses bahan itu adalah sangat tinggi dan tidak membawa pulangan yang baik untuk perniagaan.

"Jadi, pihak yang tidak bertanggungjawab memilih untuk membuang e-waste secara haram hanya kerana isu kos. Bagi mereka yang berada di negara yang mempunyai peraturan ketat mengenai alam sekitar, pilihan kedua mereka adalah untuk menghantar sisa tersebut ke negara lain untuk dibuang atau dilupuskan melalui cara yang tidak selamat," kata beliau kepada BenarNews.

Jeremiah percaya bahawa peningkatan penyeludupan e-waste juga adalah disebabkan tindakan China mengharamkan pengimportan bahan berkenaan pada 2018. Negara itu sebelum ini merupakan pengimport terbesar e-waste di dunia.

"Adalah sukar untuk kita mengukur tahap masalah ini dan berapa lama ia telah berlaku, terdapat keperluan untuk kita meningkatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan e-waste," tambahnya.

Presiden Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia, Andrew Sebastian menggesa semua pihak memainkan peranan masing-masing, termasuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti sedemikan kepada pihak berkuasa.

"Semua orang perlu tahu bahawa sisa elektronik adalah berbahaya, memudaratkan kepada kesihatan serta kawasan sekitar sekiranya dilepaskan ke dalam air atau udara dan tidak dikendali dengan betul."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.